...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Sabtu, 21 Ogos 2010

Prosiding Tuntutan Pengiktirafan

Tindakan-Tindakan Yang Dilarang Semasa Diadakan Prosiding Tuntutan Pengiktirafan
  1.  Majikan adalah dilarang mengisytiharkan sekat-masuk (lock-out) atau menamatkan pekerjaan mana-mana pekerjanya kecuali atas alasan-alasan tatatertib (misconduct).
  2. Pihak Kesatuan pula dilarang daripada melancarkan apa-apa tindakan perusahaan seperti mogok atau piket.
Penalti Bagi Kesalahan Bersabit Tuntutan Pengiktirafan
 Seksyen 60, APP 1967 menetapkan penalti yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya atas pelanggaran mana-mana peruntukan dibawah Akta tersebut; atau atas ketidakpatuhan terhadap apa apa saman, perintah atau arahan yang diberi atau dibuat dibawah Akta berkenaan.

Berikut adalah langkah-langkah (proses) bagi Tuntutan Pengiktirafan
  1. Kesatuan mengemukakan tuntutan pengiktirafan kepada majikan dalam Borang A (Notis Tuntutan Untuk Mendapatkan Pengiktirafan).
  2. Kesatuan mengemukakan Borang A berserta satu salinan Perlembagaan Kesatuan/Peraturan-peraturan  Kesatuan Sekerja kepada majikan secara pos berdaftar dengan satu salinan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia (KPPPM)
  3. Majikan dikehendaki memberi maklumbalas dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan Notis Tuntutan.
  4. Jika majikan memberi pengiktirafan secara sukarela, kes tuntutan pengiktirafan dianggap selesai.
  5. Jika pengiktirafan tidak diberi, Kesatuan hendaklah mengemukakan aduan secara bertulis kepada KPPPM dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan maklumbalas majikan atau selepas tamat tempoh 21 hari. Jika Kesatuan gagal mengemukakan aduan tersebut, kes tuntutan pengiktirafan dianggap telah ditarik balik.
  6. KPPPM akan memohon Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) bagi menentukan kelayakan Kesatuan.
  7. KPPPM kemudiannya memohon majikan kemukakan senarai nama pekerja syarikat (Borang B)
  8. Proses undi sulit dijalankan bagi menentukan peratusan keahlian kesatuan sama ada mempunyai majoriti atau sebaliknya. (Majoriti = 50%+1)
  9. Laporan kepada Y.B Menteri Sumber Manusia untuk mendapat keputusannya dibawah seksyen 9 (5), APP 1967.
  10. Keputusan Y.B Menteri dimaklumkan kepada majikan dan Kesatuan.

  • Apabila sesebuah Kesatuan Sekerja telah mendapat pengiktirafan daripada majikan, tidak ada tuntutan pengiktirafan keatas majikan yang sama boleh dikemukakan oleh pihak Kesatuan Sekerja yang lain kecuali selepas tempoh tiga (3) tahun telah genap.
  • Apabila sesuatu tuntutan pengiktirafan telah diselesaikan oleh KPPPM atau telah diputuskan oleh Y.B Menteri Sumber Manusia yang menyebabkan Kesatuan Sekerja itu tidak mendapat pengiktirafan, Kesatuan Sekerja tersebut tidak boleh membuat apa-apa tuntutan lanjut untuk mendapatkan pengiktirafan sehingga selepas tempoh enam (6) bulan telah genap dari tarikh penyelesaian atau keputusan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan