Bertepatan dengan rancangan Kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun-tahun mendatang, Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) menegaskan bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan oleh Kerajaan adalah menetapkan kadar gaji minima bagi sektor swasta terutamanya sektor elektronik. Dengan anggaran pekerja sektor elektronik seluruh Malaysia sekitar 350,000 pekerja, langkah ini perlu diambil dengan kadar segera memandangkan kos sara hidup dan keperluan kaum pekerja semakin meningkat saban hari.
KSIEWSSM memandang serius terhadap tuntutan minima gaji ini, kerana setelah sekian lama tuntutan demi tuntutan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk MTUC dan sebagainya, ia tidak menjadi kenyataan dan diambil serius oleh Kerajaan. Sektor elektronik telah bertapak di Malaysia hampir mencapai ke generasi ke-3, tetapi taraf dan pendapatan kaum pekerja tetap hampir sama dengan generasi terawal.
Kebanyakan pekerja elektronik sekarang terpaksa bertukar kepada pekerjaan lain bagi menampung kos hidup mereka dan akhirnya majikan mendakwa bahawa pekerja tempatan tidak berminat untuk memohon kekosongan jawatan yang mereka tawarkan sedangkan gaji yang ditawarkan tidak berpatutan!. Dan sebagai jalan penyelesaiannya, majikan memohon kepada Kerajaan supaya membenarkan untuk "mengimport" pekerja asing dan ini adalah satu "penyakit" yang semakin tidak terkawal! Majikan sanggup untuk mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk pekerja asing tetapi tidak mahu untuk melabur lebih sedikit untuk gaji pekerja tempatan.
Peranan Kerajaan diperlukan untuk mengawal perkara-perkara sebegini. Janganlah menjadi seperti "kera dihutan disusukan, tapi anak dirumah mati kelaparan".
Kenyataan MEF berkenaan dengan gaji pekerja (Kosmo)
Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia
(KSIEWSSM)
24/8/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan