...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Jumaat, 2 Disember 2011

Kata dua gabungan MTUC, batal pindaan Akta Kerja atau sedia hilang undi PRU

Dipetik dari Malaysian Insider (http://www.themalaysianinsider.com)
Mohd Roszeli Majid
SHAH ALAM, 2 Dis ― Kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) petang ini memberi kata dua kepada Putrajaya agar menarik balik Rang Undang-undang Kerja 2011, yang dijadual dibahas di Dewan Negara minggu depan, jika tidak bersedia menghadapi kesan ketika pilihan raya umum ke-13. Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Junior Tenaga Nasional Berhad Mohd Roszeli Majid berkata, jika kerajaan enggan mendengar suara pekerja agar tidak meneruskan peruntukan berkenaan sistem kontraktor tenaga kerja menerusi pindaan ke atas Akta Kerja, para pekerja akan menentukan nasib kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum nanti.
“Tengok apa terjadi ke atas Rang Undang-undang Perhimpunan Aman baru-baru ini, yang diteruskan pembentangan tanpa mempedulikan bantahan, saya pasti pindaan Akta Kerja juga akan mengalami nasib yang sama.
“Macam kata Majlis Peguam, peti undi ketika pilihan raya akan menjawab bantahan kesatuan sekerja,” kata beliau yang juga Naib Presiden MTUC pada perhimpunan berkenaan protes ke atas Rang Undang-undang Kerja 2011 di sini petang ini.Hujung minggu lalu, Setiausaha Kewangan MTUC Alias Awang Ibrahim ketika berucap pada Kongres Nasional PKR mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Barisan Nasional jika enggan memenuhi tuntutan MTUC agar ia ditarik balik.
Hari ini, Alias Awang ketika ditanya The Malaysian Insider berkata beliau akan membawa usul berkenaan ke mesyuarat majlis am MTUC yang dijadual diadakan dalam waktu terdekat.
“Saya akan bawa ke mesyuarat nanti,” katanya sambil menambah, “apa yang saya sebutkan sudah ada dalam resolusi.”
Perhimpunan hari ini meluluskan menentang Rang Undang-undang Kerja kerana mewujudkan pihak syarikat dengan sewenang-wenangnya akan menggunakan pekerja-pekerja kontrak secara berleluasa, menafikan hak rakyat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan tetap di syarikat-syarikat, melupuskan hak pekerja untuk mendapatkan faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso, rawatan perubatan, pekerja juga boleh ditamatkan perkhidmatannya pada bila-bila masa tanpa mendapat apa-apa faedah daripada syarikat, peluang tawar-menawar kesatuan akan lemah dan generasi rakyat Malaysia akan datang bakal dinafikan pekerjaan tetap.
Lebih 1,000 orang menghadiri perhimpunan hari ini - pertemuan ketiga sejak 3 Oktober lalu.
MTUC mengadakan piket 3 Oktober di pekarangan bangunan Parlimen dan disusuli dengan piket peringkat nasional pada 3 November lalu.
Dalam pada itu, bekas presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam ucapannya berkata, pindaan Akta Kerja perlu ditentang demi pekerja-pekerja masa depan.
Malah kata beliau, pindaan ini jika diterima bukan sahaja akan memberi kesan ke atas pekerja, malah akan menjejaskan masa depan kesatuan sekerja.

Khamis, 24 November 2011

Perutusan KSIEWSSM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu, KSIEWSSM melahirkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, dapat kita bersua kembali dalam ruangan ini. Perutusan pada kali ini akan menyentuh perihal yang berlaku dalam hal ehwal KSIEWSSM keseluruhannya.

Pertamanya, sekalung tahniah kepada para pekerja Precision Manufacturing Solution (PMS), Muar dan CMKS, Pasir Gudang kerana pekerja telah sebulat suara untuk memilih KSIEWSSM sebagai wadah pergerakan pekerja. Pengiktirafan yang diberikan kepada KSIEWSSM sebagai wakil pekerja untuk seterusnya hak untuk berbincang dengan majikan masing-masing berkenaan dengan Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) amat bermakna untuk pekerja itu sendiri. Ketika ini perbincangan CA untuk pekerja PMS dengan majikan dijangkakan akan berlangsung pada 24 November 2011 manakala, pekerja CMKS pula baru sahaja memperolehi majoriti melalui Undi Sulit hari ini walaupun secara rasminya masih menunggu dari pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Insya-Allah, KSIEWSSM akan segera untuk memulakan perbincangan kandungan CA dengan pekerja CMKS itu sendiri.

Kemenangan tuntutan pengiktirafan melalui Undi Sulit ini amat bermakna bagi KSIEWSSM dan pekerja itu sendiri. Sikap enggan mengiktiraf Kesatuan pada awalnya oleh majikan ibarat memalukan mereka sendiri. Kerana apa? Kerana pekerja mereka sendiri yang membuat keputusan melalui Undi Sulit!. Disamping itu, tidak mustahil juga para majikan akan mengenakan tekanan semasa tempoh tuntutan berjalan.

Sikap majikan yang berlainan dengan apa yang diistiharkan dalam Kod Amalan Sosial (Social Code of Conduct). Mereka menyatakan bahawa pekerja bebas untuk berkesatuan tetapi apabila tuntutan pengiktirafan dibuat, pelbagai alasan yang diberikan dan cuba dengan pelbagai helah untuk melambatkan proses tuntutan tersebut. Ini berlaku dan ia telah tergendala sejak 2010 lagi. Secara realitinya, syarikat seperti ini sebenarnya amat bermasalah kerana disamping tidak menghormati pilihan pekerja tetapi menekan dan mengabaikan pekerja yang berjasa dengan syarikat.

GES Manufacturing adalah salah satu daripadanya dimana Pengurus Sumber Manusia telah banyak berdolak dalih, bertindak seperti JHEKS dalam menentukan kategori pekerja yang layak mengundi semasa Undi Sulit seterusnya menafikan hak pekerja!. Hitachi PS Techno pula telah memfailkan di Mahkamah Sivil tentang keputusan JHEKS dalam menetapkan skop kerja terhadap perusahaan mereka. Sikap mereka ini pastinya akan membuakkan perasaan benci pekerja terhadap syarikat malah kepada pengurus itu sendiri. Apakah itu yang mereka mahu?

Dalam menuntut pengiktirafan sebenarnya adalah mudah dan ringkas. Tetapi sikap sesetengah pihak telah sengaja melambat-lambatkan proses ini. Salah satu contoh adalah penangguhan tarikh dimana mesyuarat untuk berbincang tentang proses undi sulit sahaja telah tertangguh lebih dari 6 kali dalam tempoh hampir 18 bulan!. Adakah majikan ikhlas dalam menjaga kebajikan pekerja?

Selain dari itu, KSIEWSSM juga menegaskan akan bersama berjuang bersama MTUC dalam membantah pindaan Akta Kerja 1955. Penilaian KSIEWSSM mendapati bahawa pindaan Akta ini akan membuatkan pendapatan pekerja tiada peningkatan, tiada masa depan serta jaminan kerja. Peranan kontraktor buruh dalam membekalkan pekerja tempatan kepada majikan prinsipal, amat tidak beradab dan terkebelakang. Ia seolah-olah mewujudkan semula sistem kanggani dalam industri swasta. Secara langsung, ianya seperti proses menjual manusia untuk keuntungan dan ia tidak bertanggungjawab!!!.

Akhir kata, KSIEWSSM berharap perhubungan pekerja, majikan dan Kesatuan akan sentiasa harmoni dan berkekalan dalam memajukan perusahaan, diri sendiri, masyarakat dan negara.

Dari Pekerja Untuk Pekerja,
Media KSIEWSSM.
24/11/2011

Ahad, 20 November 2011

Antara Perancangan dan Realiti

             Kerajaan dijangka akan mengumumkan dasar gaji minimum bagi pekerja yang berpendapatan rendah dan meliputi pekerja swasta keseluruhannya pada hujung tahun ini manakala perlaksanaannya dimatlamatkan pada awal tahun hadapan. Malang pula apabila terdapat pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini seolah-olah akan menjadikan jalan pintas yang mudah dan sah bagi majikan untuk culas dalam mengikuti dasar gaji minimum ini.

Benar, segala perancangan Kerajaan melalui Kementerian yang bertanggungjawab akan mencari jalan untuk membantu warga pekerja khususnya dan rakyat dalam mengharungi kos sara hidup yang semakin meningkat. Tetapi jika dasar gaji minimum diumumkan dan dikuatkuasakan, majikan dengan mudah untuk tidak mematuhinya kerana pindaan Akta Kerja tersebut!.

Antara lainnya, pekerja tetap akan ditawarkan pemberhentian secara sukarela bersama pampasan dan dalam masa yang sama majikan ini akan menawarkan pekerja tersebut pekerjaan melalui syarikat pekerja kontraktor (ikut kontrak). Tiada lagi pekerja tetap di syarikat tersebut akan diambil dan ianya tidak tertakluk dalam ketetapan dasar gaji minimum.

Secara realitinya, dasar gaji minimum ini hanya dibuat secara serentak dan dikuatkuasakan jika pindaan Akta Kerja 1955 diluluskan oleh Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara). Jalan keluar yang selamat bagi para majikan atau lebih tepat lagi, pelabur kepada "kantung" negara telah "dicipta" manakala kantung pekerja swasta tiada yang berubah atau bertambah malah status kerja mereka juga menjadi terumbang-ambing. Masakan tidak, majikan akan cuba mengurangkan kos operasi mereka dengan mengambil pekerja kontrak berbanding pekerja tetap.

Tahukah kita bahawa, dengan adanya status pekerja kontrak menggantikan pekerja tetap, majikan tidak akan;
  • perlu membayar cuti bergaji,
  • perlu membayar cuti sakit, perlindungan insurans dan bil perubatan,
  • perlu memikir untuk menaikan gaji pekerja apabila tiba masanya,
  • perlu untuk membayar bonus atau profit,
  • perlu menjaga kebajikan pekerja jika terdapat kemalangan atau kematian
dalam pada itu, pekerja juga dinafikan;
  • tidak dapat menyertai atau menubuhkan Kesatuan Sekerja kerana status pekerja adalah "sub-kontraktor" kepada majikan,
  • tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian kerana hanya ada perjanjian antara majikan dan main kontraktor (oursourcing),
 Jadi, adakah perancangan kerajaan selari dengan realiti yang wujud? Bagaimana melaksanakan gaji minimum dan dalam masa yang sama, "malapetaka" diatas besar kemungkinan berlaku?

Hilang jaminan pekerjaan, hilang punca pendapatan malah jauh sekali untuk mendapatkan gaji minimum yang diwar-warkan.

Inikah yang kita mahu untuk kita dan generasi kita akan datang? Selain bersaing dengan tenaga luar, ini pula berlaku...

Khamis, 3 November 2011

MTUC dan Pekerja Piket Seluruh Negara (Edisi Johor)

Piket Pekerja bersama MTUC secara besar-besaran telah pun berjalan secara serentak di hampir 22 lokasi seluruh negara bermula dari sejak pukul 4.00 petang tadi. Di Johor, piket ini diadakan di Pejabat Bahagian MTUC Johor, Jalan Mata Kucing, Batu 5, Kampung Pasir dan bergerak ke kawasan perhentian bas. Terdapat hampir 150 orang pekerja hadir dan menyuarakan bantahan mereka terhadap pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Mereka berhimpun dihadapan Pejabat MTUC sejak dari awal walaupun terdapat kengkangan kerana ramai sedang bekerja pada ketika itu. Antara wakil KSIEWSSM yang hadir, Presiden Sdr Faidzul, Tim. Presiden Sdr Othman, Setiausaha Agung Sdr Rizuan, Bendahari; Sdr Amin beserta pegawai-pegawai KSIEWSSM.

Disamping memegang hampir 5 kain rentang dan pelbagai placard, rata-rata pekerja melaungkan "Hidup Pekerja Hidup MTUC", "Tarik Balik" dan nyanyian lagu "Barisan Kita" yang diolah khas berkaitan pekerja. Tindakan ini dapat menarik perhatian orang ramai sehinggakan berlaku kesesakan jalanraya disitu.
Seperti keadaan cuaca yang agak memihak kepada pekerja, cuaca mendung dan kadang-kala gerimis menyebabkan majoriti yang hadir semakin bersemangat untuk meneruskan piket yang berakhir pada jam 6.30 petang.
Seperti mana yang dirancang oleh urusetia pengendali, piket ini berjalan dengan aman, lancar, mengikut masa dan boleh dikira agak berjaya dengan kehadiran dan kesedaran orang ramai.

Antara gambar-gambar yang telah dirakam:


HIDUP PEKERJA!!!
TARIK BALIK PINDAAN AKTA 1955!!!

Khamis, 20 Oktober 2011

Pekerja Swasta dianggap Pekerja Kelas 2?

Baru-baru ini, pembentangan Budget 2012 telah dibentangkan di Parlimen. Kebanyakan kaum pekerja terutama dalam sektor swasta menunggu apakah terdapat peruntukkan dari Kerajaan. Ramai juga yang beranggapan bahawa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama akan mengumumkan "sesuatu" untuk pekerja swasta selepas pekerja dalam sektor awam mendapat kenaikan gaji dan peruntukan bonus. Tetapi malangnya tiada. Tiada yang istimewa dan esklusif diumumkan untuk pekerja swasta. Tiada...

Lebih malang apabila Akta yang akan menindas pekerja swasta telahpun diluluskan walaupun didebatkan selama 5 jam di Parlimen pada sebelum itu. Lebih menyedihkan, 2 ahli Parlimen (gambar) telah mengeluarkan kenyataan yang ternyata tidak menghiraukan peranan pekerja swasta. Apakah mereka ini mengamalkan double standard terhadap kaum pekerja swasta? Adakah mereka ini mewakili RAKYAT iaitu PEKERJA itu sendiri?



Apakah rakyat Malaysia yang bekerja swasta akan dianggap sebagai warga kelas dua kerana tiada apa yang diperolehi dari Budget malah Akta yang jelas dan menindas akan dikenakan kepada mereka. Tiada lagi istilah "decent work" iaitu hak untuk pekerjaan akan digunakan. Malaysia akan kembali kearah sistem Kanggani sama seperti zaman pemerintahan British. Merdekakah kita dan pentingkah kita?

KSIEWSSM support MTUC NATIONWIDE PICKET (3rd Nov 2011)

Setitis kesah disebalik isu Pindaan Akta Kerja-Bangkitlah Kaum Pekerja!

Setitis kesah disebalik isu Pindaan Akta Kerja-Bangkitlah Kaum Pekerja!

Kesah sebenar disebalik bantahan akta ini mungkin ramai yang tidak mengetahuinya.Pada tahun 2010, isu ini telah dibincangkan antara MTUC dan pihak Kementerian Sumber Manusia.

Sebelum tamat perbincangan, pihak kementerian telah membawa pindaan akta ini ke parlimen sebanyak 2 kali. Pada bulan July 2010, Tn Syed Shahir Syed Mohamud (MTUC Presiden ketika itu) dan beberapa aktivist union yang berpusat di MTUC telah berusaha menyekat pindaan Bill D.R.25/2010-amendments to the Employment Act 2010 dengan mengadakan 2 perjumpaan dengan pihak Menteri dan kementerian Sumber Manusia disaat akhir ianya hendak dibentangkan di parlimen. Kami telah menerjah pejabat Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya tetapi masih gagal mendapat keizinan untuk ditangguhkan sesi bacaan pindaan akta tersebut. Akhirnya kami semua bersama beberapa ahli parlimen opposisi yang prihatin terhadap isu pekerjaan termasuk YB Charles Santiago, MP KulaSegaran, YB Abdullah Sani, YB Sivarasa telah menyerbu masuk bilik Menteri Sumber Manusia di bangunan parlimen setelah mendapat lampu hijau untuk memastikan menteri menangguhkan bacaan tersebut.

Dalam bilik Menteri pada masa tersebut terdapat ramai pemimpin Kesatuan veteran dan pemimpin opposisi yang diketuai Tn Syed Shahir, Bro Bruno Pereira, Bro Siva, Bro Bala Somoo, Bro Maniam,, Bro Praba, Bro Gopal, Bro Awang, YB Abdullah Sani, YB Sivarasa dan YB Charles Santiago dan saya sendiri.

Semua pemimpin kesatuan yang hadir bukanlah pegawai utama MTUC tetapi hanya merupakan Ahli Majlis Am MTUC kecuali Tn Syed Shahir yang merupakan Presiden pada masa tersebut. Kegagalan pemimpin utama MTUC yang lain hadir pada masa tersebut adalah berpunca dari perbezaan pendapat berhubung cadangan pindaan Akta Kerja tersebut. Terdapat sekelompok pemimpin MTUC yang pada masa tersebut merestui pindaan yang ingin dilakukan tetapi perkara ini terus diperjuangkan oleh Presiden MTUC -Tn Syed Shahir dengan bantuan rakan-rakan ahli Majlis Am yang telah dapat menghidu kesan negatif pindaan tersebut jika diluluskan kepada kaum pekerja. Tidak dapat dinafikan dalam masa yang sama pihak PSM dan NGO turut mengenakan tekanan kepada pemerintah terhadap cadangan pindaan akta tersebut melalui cadangan piket yang dirangka.

Setelah beberapa hujah konkrit dilontarkan kepada Menteri Sumber Manusia, akhirnya bacaan tersebut telah ditangguhkan. Kehadiran kami di parlimen pada masa itu turut bertujuan melobi ahli-ahli parlimen kerajaan dan opposisi. Tan Sri Nazri Aziz telah membantu kumpulan ini berjumpa dengan Menteri Sumber Manusia tetapi kebanyakan ahli parlimen BN mengambil sikap sambil lewa serta tidak berminat dengan isu pekerja. Hanya ahli parlimen opposisi membuka ruang untuk mengadakan perbincangan demi perbincangan.

Kesan pemilihan MTUC pada December 2010 menyaksikan Tn Syed Shahir tewas dalam pemilihan MTUC dan diambilalih oleh Bro Khalid Atan. Tewasnya Tn Syed Shahir adalah berpunca dari beberapa faktor dalaman dan luaran termasuk mainan parti politik tertentu yang mahukan kedudukan Tn Syed Shahir digugat bagi mengekang kebangkitan suara pekerja. Setelah cubaan membentangkan akta tersebut ditangguhkan, pihak kementerian dengan desakan MTUC telah mengadakan 18 sesi perundingan mengenai hal ini. Ketika rundingan dilakukan antara bulan Jan hingga Jun terdapat beberapa permintaan MTUC yang berkaitan 'protection to workers' telah gagal dimuktamatkan. Akhirnya pihak kementerian telah mengambil pendekatan ‘unilateral’ dengan cubaan membentangkan pindaan tersebut ke parlimen pada akhir bulan July 2011.

Ketika itu MTUC masih lagi membisu serta tidak begitu mengutamakan isu piindaan tersebut. MTUC Selangor dengan bantuan beberapa ahli parlimen yang dibantu oleh rangkaian Tn Syed Shahir terus mendesak supaya isu ini dijadikan keutamaan kepada MTUC. NGO seperti Sahabat Wanita, JERIT dan Suaram telah mengadakan beberapa perjumpaan dan perbincangan dengan kumpulan Tn Syed Shahir untuk merangka butiran bantahan secara sistematik. Malahan NGO seperti JERIT telah terlebih dahulu mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan piket di depan bangunan parlimen pada Julai 2011 untuk menyatakan bantahan terhadap Akta Majlis Konsultasi Gaji Negara dan cadangan pindaan Akta Kerja. Pihak JERIT juga telah mengedarkan flyers dan melakukan beberapa kempen berhubung kesan-kesan pindaan Akta Kerja dan tuntutan terhadap Gaji Minima. Pihak MTUC pada masa tersebut turut dijemput menghadiri pelbagai forum mengenai Gaji Minima dan pindaan Akta Kerja yang dianjurkan oleh YB Charles Santiago dan disertai oleh para akademik, NGO dan aktivist Kesatuan Sekerja tetapi pemegang-pemegang jawatan utama telah gagal hadir. Kegagalan kehadiran pemimpin-pemimpin utama MTUC dalam program-program anjuran NGO dan parti politik dikatakan berpunca kerana kepimpinan MTUC tidak mahu terlibat dengan apa yang dikatakan sebagai unsur-unsur politik pembangkang dalam mengani isu pekerjaan.

Akhirnya isu ini berjaya diangkat menjadi isu nasional bia Majlis Am MTUC meluluskan beberapa tindakan termasuklah berpiket di depan parlimen.

Menteri Sumber Manusia berjaya membentangkan pindaan Akta Kerja pada 6 Oktober 2011 dan diluluskan dengan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen partti pemerintah selepas ianya dibahaskan lebih dari lima jam. Amat malang sekali bila ada ahli parlimen parti pemerintah yang mempersoalkan keujudan Kesatuan Sekerja di negara ini dalam sesi perbahasan tersebut. Sikap acuh tidak acuh ahli parlimen pemerintah terhadap isu pekerjaan juga terserlah bila ada ahli parlimen pemerintah mendesak supaya perbahasan disegerakan tanpa mempedulikan implikasi kesan pindaan akta tersebut kepada kaum pekerja. Kegagalam MTUC mengambil tindakan awal didapati berpunca dari kurangnya kefahaman pemimpin utama terhadap isu tersebut. Selain itu pihak Kementerian mendakwa terdapat beberapa pemimpin utama MTUC pernah memberi persetujuan terhadap isu Contactor For Labour. Dakwaan ini gagal dibuktikan melalui minit mesyuarat oleh pihak kementerian sehingga ke hari ini.

Berdasarkan beberapa perbincangan mengenai pindaan Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja, didapati perjalanan mesyuarat dan perbincangan dengan pihak kementerian Sumber Manusia tidak menepati kehendak mesyuarat. Pihak kementerian didapati akan segera membuat konklusi dalam sesuatu perbincangan meskipun belum ada apa-apa kata sepakat dicapai dan sering membuat rumusan terhadap sesuatu perkara yang masih dibincangkan mengikut tafsiran dan kehendak mereka.

Kini Majlis Am telah memutuskan Piket Kebangsaan MTUC akan diadakan pada 3/11/11 dan ianya menjadi bualan pelbagai pihak serta berjaya menarik perhatian ramai. Pihak disebelah kerajaan membuat pelbagai tuduhan terhadap MTUC termasuk melalui kenyataan-kenyataan menterinya. MTUC dilihat dan dituduh seolah-olah dipergunakan pihak opposisi. Hakikat sebenarnya tindakan MTUC menangani isu pindaan Akta Kerja ini hanyalah berasaskan kepada perjuangan memartabatkan kaum pekerja. Pihak kerajaan tidak membantu dan tidak mahu melihat isu ini sebagai sesuatu yang perlu diperjuangkan kerana yakin tindakan Menteri Sumber Manusia mempunyai justifikasi yang betul.

Menteri Sumber Manusia dalam kenyataannya sering memberikan alasan isu Contractor For Labour adalah penyelesaian kepada permasalahan pekerja ladang sebagaimana yang pernah dibangkitkan oleh kesatuan NUPW. Persoalannya adalah mengapa untuk menyelesaikan isu pekerja ladang maka Menteri mahu membuat sesuatu pindaan yang akan mampu menjejaskan keseluruhan system pekerjaan?

Ternyata Menteri mempunyai agenda yang lebih besar dari melindungi pekerja sektor perladangan. Dengan memasukkan isu Contractor For Labour ini, pihak menteri akan melindungi kepentingan seluruh majikan dan memaximumkan gunatenaga pekerja secara amalan ‘cheap labour market’. Kesatuan Sekerja akan dapat dikekang kebangkitannya. Majikan juga diberi hak untuk mengambil pekerja kontrak secara besar-besaran. Majikan melali MEF memberikan sokongan terhadap pindaan ini kerana mereka tidak lagi perlu mengadakan Perjanjian Kolektif (CA) dimasa depan.

Mereka tidak perlu lagi menanggung staff cost yang tinggi kerana mereka tidak lagi bertanggungjawab terhadap pekerja secara lansung. Contractor For Labour juga akan memusnahkan hubungan antara majikan dan pekerja kerana pekerja tidak lagi bekerja dengan majikan ditempat mereka bekerja tetapi sebaliknya mereka bekerja dengan syarikat atau kontraktor yang membekalkan tenaga kerja. Apa yang perlu dilakukan oleh majikan adalah hanya melantik kontraktor pembekal tenaga kerja yang kemudiannya akan melakukan sesuatu kerja dipremis kilang atau tempat kerja melalui khidmat pekerja-pekerja yang diambil secara kontrak pekerjaan.

Contractor For Labour akan mengembalikan zaman ‘hamba pekerjaan’ dimasa depan dimana pekerja akan dikerah tenaganya dengan kos yang amat murah! Hal sebegini terbukti telah berlaku di negara-negara Filipina, Indonesia dan Thailand yang melaksanakan sistem ini. Kebajikan pekerja tidak akan menjadi keutamaan. Hak untuk menubuhkan Kesatuan akan terhapus. Hakikat yang perlu difahami oleh kerajaan dan semua pekerja ialah sejarah membuktikan pekerja tidak akan menikmati faedah-faedah pekerjaan yang baik jika Kesatuan tidak ujud dalam sesuatu sektor pekerjaan. Malahan tripartism system iaitu hubungan antara majikan, kerajaan dan pekerja adalah sesuatu agenda yang telah diiktiraf oleh dunia melalui ILO di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation). Majikan tidak boleh berterusan memanipulasi pekerja semata-mata untuk tujuan profit dan keuntungan berlipat kali ganda. Pekerja adalah insan yang memerlukan kehidupan yang setara dengan keringat yang disumbangkannya untuk pembangunan Negara. Deklarasi Hak Asasi Manusia yang dikeluarkan oleh United Nation menggariskan hak-hak asasi seseorang manusia untuk menikmati kehidupan yang menepati cirri-ciri keperluan asas manusiawi.

Isu pekerjaan kini perlu diakui bukan lagi menjadi hak mutlak MTUC dan peranan NGO serta parti-parti politik semakin kuat turut memperjuangkannya.

Kejayaan penentangan terhadap isu-isu yang menindas kaum pekerja mungkin menjadi milik kaum pekerja jika semua tenaga pekerja, MTUC, NGO dan parti politik digerakkan secara bersepadu untuk menanganinya. Pekerja perlu bangkit untuk mempertahankan HAK mereka dari terus dinafikan dalam sebuah negara yang mengakui dan mengiktiraf demokrasi sebagai salah satu nilai dan tiang prinsip negara. Kealpaan pekerja dalam mempertahankan dan memperjuangkan hak mereka akan membuka ruang yang amat luas kepada pihak kapitalis untuk terus menindas mereka. Generasi hari ini dan masa depan akan ditimpa bencana pekerjaan jika generasi yang ada pada hari ini gagal melakukan sesuatu bagi melindungi hak mereka. Selepas pindaan Akta Kerja diluluskan, Kementerian Sumber Manusia berazam untuk meneruskan hasrat mereka bagi meminda Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja selepas ini. Kebangkitan kaum pekerja dalam Piket Kebangsaan MTUC yang dirancang pada 3 November 2011 ini akan menjadi titik tolak kepada kuasa pekerja dalam menentukan sistem pekerjaan di negara ini.

‘Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri’ dan hal ini perlu direnungkan oleh semua kaum pekerja bagi memahami konteks perjuangan pekerja.

*nota ini adalah catitan peribadi penulis yang juga merupakan Naib Presiden MTUC (Sektor Swasta), Bro Mohd Roszeli..
Dipetik dari http://wokersonblog.blogspot.com

BERSAMA DALAM MENENTANG AKTA YANG MENINDAS PEKERJA

Adakah kita sebagai pekerja tahu bahawa MTUC dan Kesatuan Gabungan sedang merancang untuk mengadakan piket seluruh negara? Apakah kita sedar kenapa mereka ini akan berbuat sedemikian? Untuk makluman kita semua... mereka merancang ini semua adalah untuk KITA SEBAGAI PEKERJA!!!...
Kenapa? Apa sebabnya?

Jika anda:
- merasakan bahawa hak anda sebagai pekerja tetap dan stabil disyarikat tempat anda bekerja sekarang terjamin,
- merasakan diri anda selesa dan tiada masalah,
- merasakan masa depan kerjaya anak-anak dan generasi akan datang akan selamat...

maka, anda silap...

Ikuti rangkuman berikut yang dipetik dari facebook (http://www.facebook.com/pages/Kempen-Menentang-Perubahan-Akta-Yang-Menindas-Kaum-Pekerja/116791641762677?sk=wall)

Bantahan MTUC adalah berlandaskan kepada beberapa perkara yang melibatkan implikasi Undang-Undang, Perlindungan Jaminan Pekerjaan (Job Security), Kebajikan (Welfare) dan Organizing Kesatuan.

1. Implikasi Undang-Undang

Hubungan antara majikan dan pekerja berstatus tetap diikat melalui Undang-Undang termasuk Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Kesatuan Sekerja dan akta-akta lain yang rel...evan dengan sesuatu industry. Majikan perlu mematuhi undang-undang pekerjaan dalam menjalankan operasinya ketika mendapatkan khidmat seseorang pekerja berstatus tetap.

Seseorang pekerja diambil secara kontak melalui khidmat Contractor For Labour tidak mempunyai ikatan undang-undang dengan majikan ditempat ianya bekerja. Kontrak perkhidmatan secara terus adalah antara Majikan dan Syarikat Contractor For Labour atau agentnya. Manakala pekerja tersebut pula hanya mempunyai kontrak pekerjaan dengan Syarikat Contractor For Labour yang amat rapuh.

Keadaan ini akan melupuskan hak pekerja tersebut untuk membuat sebarang tuntutan dengan syarikat tempat ia bekerja. Pekerja juga boleh ditamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa oleh pihak Contractor For Labour atas sebab-sebab perkhidmatannya tidak diperlukan lagi tanpa mendapat apa-apa faedah penamatan (seperti yang dimenterai dalam kontrak perkhidmatannya dengan syarikat Contractor For Labour). Hubungan antara Employer dan Employee hanyalah antara Contractor For Labour atau agentnya dengan pekerja sahaja.

2. Jaminan Pekerjaan (Job Security)

Jaminan Pekerjaan Tetap (Permanent Job) – Majikan akan menggunakani pindaan akta ini untuk menjimatkan kos dalam meningkatkan profit syarikat. Pekerjaan berstatus tetap akan dihadkan dalam mana-mana syarikat dan pengambilan pekerja secara contract akan berleluasa.

Majikan akan menggunakan perkhidmatan syarikat atau agent Contractor For Labour untuk membekalkan tenaga kerja bagi sesuatu industry atau pekerjaan. Malahan Contactor For Labour tersebut pula akan mendapatkan bekalan tenaga kerja dari sub contractor yang membekalkan pekerja. Dengan itu majikan tidak perlu bersusah payah menanggung kos staff seperti medical, EPF,SOCSO dan mengujudkan Perjanjian Kolektif kerana apa yang perlu dilakukan oleh majikan untuk penjimatan kos adalah membuat bayaran secara terus kepada pihak kontraktor yang membekalkan tenaga kerja. Hubungan antara majikan dan pekerja tidak ujud dalam konteks kontrak pekerjaan. Majikan hanya perlu ada kontrak dengan pihak Contractor For Labour sahaja dan membuat bayaran perkhidmatan berdasarkan caj yang dikenakan. Contractor For Labour pula akan mengagihkan bayaran tersebut kepada pekerja-pekerja contract selepas menolak kos operasi mereka dan meraih keuntungan secara mudah.

Sebagai contoh Syarikat A hanya perlu membayar RM20,000 kepada satu syarikat Contractor For Labour (B) untuk membekalkan 15 pekerja production. Syarikat B pula akan membayar RM15,000 untuk syarikat C (agent Contractor For Labour) . Syarikat B akan membuat profit atas angin sebanyak RM5,000 kerana mendapatkan tender dari syarikat A.

Syarikat C seterusnya akan membayar sebanyak RM700 kepada setiap pekerja yang bekerja di lokasi syarikat A. Keuntungan yang diperolehi secara atas angin oleh syarikat C ialah RM4,500, syarikat B ialah RM5,000 dan pekerja hanya layak dapat RM700 setiap seorang sebulan.

3. Kebajikan Pekerja (Welfare)

Kebajikan pekerja yang diambil bekerja secara kontrak oleh agent Contractor For Labour akan terabai kerana majikan, Syarikat atau kilang tidak mempunyai ikatan kontrak pekerjaan yang sah disisi undang-undang secara terus dengan pekerja yang berstatus kontrak. Pekerja hanya terikat dengan kontrak perkhidmatan antara dirinya dan majikan yang bergelar Contractor For Labour.

4. Organizing Kesatuan

Pergerakan Kesatuan Sekerja samada In House Union atau National Union akan lumpuh dan pupus. Pekerja-pekerja berstatus kontrak tersebut akan hadapi kesukaran untuk di organize dan menubuhkan union kerana telah terbukti dalam situasi pekerja berstatus tetap, banyak Kesatuan cuba ditubuhkan tetapi mendapat kekangan dari majikan. Mereka yang berstatus kontrak akan mudah ditamatkan perkhidmatannya kerana Syarikat Contractor For Labour akan mengenakan peraturan yang ketat bagi menghalang penubuhan Kesatuan Sekerja.

Kos menamatkan perkhidmatan pekerja berstatus kontrak juga akan menjadi murah kerana majikan yang menggaji mereka tidak terikat dengan Perjanjian Bersama. Kegagalan menubuhkan Kesatuan akan menyebabkan Perjanjian Bersama tidak boleh diujudkan. Hak-hak dan faedah Perjanjian Bersama seperti kenaikan gaji, faedah perubatan, allowance dan lain-lain lagi dengan sendirinya tidak akan dirasai oleh pekerja yang diambil secara kontrak melalui Contractor For Labour atau agentnya.
Bila keadaan ini berlaku, lama kelamaan pergerakan Kesatuan Sekerja akan terhapus peringkat demi peringkat dan ini amat menguntungkan golongan kapitalis untuk memerah tenaga pekerja disamping hanya perlu menyediakan faedah asas (jika ada).
 
 INI ADALAH MALAPETAKA BAGI KAUM PEKERJA DI MALAYSIA...
 
MARI KITA SUARAKAN BANTAHAN KITA!!!!

Ahad, 28 Ogos 2011

Selamat Berlebaran dan Maaf Zahir dan Batin

Bersyukur kita kehadrat Illahi bahawa dengan kurnianya, kita telah bersama-sama mengharungi suasana Ramadan AlMubarak ini dengan kesederhanaan. Semoga ibadah yang telah kita jalankan ini akan diterima olehNya dan diberkati.
Pelbagai perkara berlaku sebelum dan semasa bulan Ramadan ini terhadap KSIEWSSM dan ahlinya. Sebelum ketibaan Ramadan, kita telah menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Bersama (CA) diantara Pekerja, KSIEWSSM dan STMicroelectronics, Muar. Ini merupakan suatu kejayaan yang sangat bermakna bagi pekerja itu sendiri dalam mencapai kesepakatan dalam memperolehi apa yang dituntut dan dalam masa yang sama pihak syarikat juga menunjukkan komitmen yang baik dalam mengekalkan hubungan harmoni perusahaan. Pihak KSIEWSSM sangat ambil maklum terhadap setiap rungutan, komen serta aduan yang diterima oleh ahli mahupun dari bukan ahli. Apa yang ingin ditekan disini adalah bagi setiap pekerja sama ada ahli mahupun bukan, perlulah bersama-sama menunjukkan keupayaan diri, meningkatkan produktiviti dan berikan sesuatu yang boleh membantu syarikat untuk berdaya saing. Kerana inilah yang diperlukan sebelum pekerja melalui KSIEWSSM dapat menuntut faedah yang lebih dari apa yang kita perolehi sebelum ini. Syarikat memerlukan pekerja yang produktif dan pekerja memerlukan upah dari syarikat yang stabil. Kerjasama erat ini akan berhasil jika semua pihak dapat tunjukkan kebolehan dan kelebihan masing-masing. Bagi pihak syarikat pula, perlulah bertolak-ansur dan lebih prihatin terhadap permasalahan pekerja.
Dalam pada itu juga, semasa kita sedang tekun melaksanakan ibadah puasa ini, KSIEWSSM sekali lagi duduk secara bersama dengan syarikat Precision Manufacturing Solution (PMS), Muar bagi membincangkan perihal perjanjian bersama. Ini dijangkakan juga akan mengambil masa yang tidak begitu panjang untuk diselesaikan dengan syarat setiap pihak iaitu KSIEWSSM, PMS dan JPP dapat memberikan komitmen yang berkesan dan terbaik demi kebajikan pekerja PMS itu sendiri.
KSIEWSSM juga bakal mengharungi proses undian sulit bagi syarikat CMKS, Pasir Gudang selepas Aidilfitri nanti. Majoriti pekerja CMKS ini telah menjalani proses cuti bergaji yang panjang sejak dari awal tahun sehingga dijangkakan untuk memulakan kerja bermula September ini. KSIEWSSM berharap proses undi sulit ini akan berjalan lancar dan berdoa agar majoriti pekerja memilih KSIEWSSM sebagai wadah untuk menuntut hak pekerja. Para ahli diharap dapat berhubungan dengan sesama mereka dan bersama untuk menjalani proses undi sulit ini tanpa sebarang halangan.
Antara sebuah syarikat terawal dalam tuntutan pengiktirafan iaitu GES Manufacturing (Venture), Senai juga dijangkakan akan dapat diselesaikan oleh JPP selepas Aidilfitri nanti. Permasalahan yang dihadapi adalah skop kelayakan sesetengah jawatan yang dilampirkan oleh pihak syarikat, mendapat bantahan dari KSIEWSSM dan JPP akan menyiasat perkara tersebut. Selepas dari itu, barulah proses undi sulit dapat dijalankan. Buat ahli-ahli syarikat GES, KSIEWSSM berharap supaya bersabar dengan proses ini.
Banyak lagi syarikat-syarikat yang masih menunggu keputusan dari JPP mahupun dari JHEKS tentang proses pengiktirafan. Antaranya Hitachi Cable PS Techo (Seremban), Sumitomo (Johor Bahru) dan sebagainya masih tergendala dan menanti. Diharapkan dengan Sinar Aidilfitri ini, dapat membawakan suatu perubahan dan perkembangan terbaru.
KSIEWSSM juga telah merancang dan akan mengembleng tenaga serta usaha dalam mengorganisasikan keahlian baru dari syarikat-syarikat lain. Kesedaran pekerja masih rendah dan banyak usaha perlu dilakukan.

Diakhir bicara ini, KSIEWSSM melalui Majlis Eksekutif, Para Pegawai, Pekerja dan Ahli Kesatuan ingin mengucapkan Salam Lebaran, Maaf Zahir dan Batin buat semua pekerja di Malaysia khususnya pekerja sektor elektronik di Wilayah Selatan Malaysia.

Memandulah dengan berhati-hati semasa berhari raya dan ingatlah orang yang tersayang...

Dari Pekerja Untuk Pekerja,
Rizuan Bin Zainal
Setiausaha Agung KSIEWSSM

Isnin, 25 Julai 2011

Perjanjian Bersama STMicroelectronics dan KSIEWSSM

DSC_0084

Untuk pertama kalinya didalam sejarah Kesatuan Sekerja diperingkat wilayah, satu majlis bagi menandatangani perjanjian bersama telah diadakan bagi menandakan termeterainya ikatan persefahaman diantara Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) dan juga pengurusan STMicroelectronics. Berlangsung di Hotel Classic Muar, perjanjian ini telah ditandatangani secara bersama oleh pihak pengurusan STMicroelectronics, wakil KSIEWSSM dan wakil pekerja. Turut hadir didalam majlis ini adalah Penolong Pengarah JPP dan Penolong Pengarah JTK Muar.
 scan0001
DSC_0104
Encik Hwang Jindoo (Pengurus Besar STMicroelectronics)

Dalam ucapan ringkas dari Pengurus Besar STMicroelectronics, Encik Hwang Jindoo (atas)  telah memberikan pujian terhadap pasukan perundingan dari kedua-dua pihak yang telah berjaya menyelesaikan perkara yang berbangkit didalam masa yang singkat. Tambah beliau, pasukan ini telah menunjukkan semangat yang positif dalam menjayakan dan menyelesaikan rundingan. Beliau juga melahirkan penghargaan terhadap kejayaan rundingan ini dan berharap agar ianya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing pekerja serta menaikkan prestasi syarikat.
DSC_0108
Mohd Salleh - Wakil KSIEWSSM

Sementara itu, dalam ucapan dari wakil KSIEWSSM, Sdr Mohd Salleh (atas) juga melahirkan penghargaan terhadap pihak pengurusan STMicroelectronics kerana perundingan ini telah berlangsung dengan baik dan harmoni. Menurut beliau, perjanjian ini merupakan satu titik penting dalam sejarah Kesatuan dimana ianya akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja di dalam Malaysia oleh Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Malaysian Employer Federation (MEF) tetapi juga bagi International Federation of Chemical, Energy, Mine and General Workers' Unions (ICEM), International Metalworker’s Federation (IMF) dan International Labour Organization (ILO) diperingkat antarabangsa. Tambah beliau, ini adalah suatu perkembangan yang amat baik bagi kedua-dua pihak dalam mempertahankan hubungan baik antara pekerja serta majikan. Perjanjian bersama ini juga dapat mewujudkan situasi “sama-menang” bagi kedua-dua belah pihak.

DSC_0110
Tuan Hj Shahrudin - Penolong Pengarah JPP Muar

Dalam pada itu, Tuan Hj Shahrudin (kanan)  dari Jabatan Perhubungan Perusahaan, Muar juga menghargai kerjasama kedua-dua pihak dalam menjalankan tanggungjawab perundingan tanpa melibatkan pihak-pihak lain. Ini menunjukan bahawa terdapat persamaan kefahaman dan sikap muafakat keduanya, ujar beliau lagi. Beliau berharap agar konsep perundingan sebegini akan menjadi contoh yang baik bagi syarikat dan kesatuan sekerja yang lain dan wajar diikuti. Tambah beliau, ia juga bagi menjamin kestabilan kerja, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sama ada pekerja dan syarikat malah ianya merupakan kejayaan yang dicapai secara bersama.
DSC_0118
Hwang Jindoo, Naginder Singh (HR Director) dan CL Ser (Financial Controller) sedang menandatangani perjanjian bersama
DSC_0128
Wakil-wakil KSIEWSSM (dari kiri: Sdr Faidzul Zainal (Presiden KSIEWSSM), Sdr Rizuan Zainal (S/U Agung KSIEWSSM) serta wakil worksite committee Sdr. Mahdar dan Sdri Suhaily.
DSC_0138
Penyerahan Perjanjian Bersama bagi kedua-dua pihak (STMicroelectronics dan KSIEWSSM)
 
Kemuncak majlis ini telah berlangsung majlis tandatangan kedua-dua pihak dan disaksikan oleh Tn Hj Shahrudin beserta para hadirin yang lain. Diantara kandungan perjanjian bersama adalah;
  • Peruntukan perlindungan Insurans bagi pekerja serta bantuan kilat bagi pekerja yang meninggal dunia kepada waris,
  • Pertambahan cuti berbayar,
  • Pertambahan jumlah caruman oleh majikan,
  • Sumbangan syarikat kepada pekerja yang mendapat cahaya mata,
  • Kenaikan gaji bagi tahun 2011 yang sama dan adil bagi kesemua operator dan juruteknik.

Khamis, 9 Jun 2011

Pemerdagangan Manusia Yang “Dihalalkan”?

Alam pekerjaan biasanya akan terdiri dari pekerja dan majikan. Pekerja menghabiskan sepanjang masa mereka untuk mendapat upah dari majikan dan dalam pada itu majikan juga terikat untuk memenuhi tuntutan kebajikan pekerja mereka antaranya adalah caruman KWSP, perlindungan insurans, kemudahan pengangkutan dan sebagainya seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan atau sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ini adalah perkara biasa yang sering berlaku pada setiap perusahaan di Malaysia.
Malangnya, seperti suatu penyakit atau wabak, apabila majikan mula bermainkan minat yang mendalam terhadap “kehadiran” pekerja secara kontrak. Atas alasan bahawa pekerja keluar dan masuk (berhenti) amat tinggi, sukar untuk “merekrut” pekerja baru, kos yang tinggi, pekerja memilih kerja dan sebagainya, majikan sering mendapatkan “bekalan” dari agen pekerja kontrak. Dalam pada itu, dengan kehadiran pekerja kontrak, majikan tidak perlu lagi memikirkan untuk memenuhi setiap kebajikan pekerja seperti KWSP, insurans dan sebagainya. Ini adalah suatu peluang baik untuk majikan “melepaskan tengkuk” dari bertanggungjawab terhadap pekerja mereka. Majikan ini boleh diumpamakan majikan label iaitu pekerja kontrak hanya bekerja dibawah label sahaja tetapi mereka mempunyai majikan sebenar iaitu AGEN.
Sedar atau tidak, berikut adalah perkara negatif tentangnya dan impak terhadap mereka:
  • Pekerja kontrak tidak dapat layanan yang sama seperti pekerja tetap. Status perjawatan mereka sebenarnya berada dalam keadaan tidak stabil, tiada jaminan dan tidak kekal. Pada bila-bila masa sahaja mereka ini boleh diambil bekerja dan diberhentikan mengikut kehendak majikan label (majikan utama bukan agen).
  • Ada kes menunjukkan bahawa ada dikalangan pekerja kontrak yang langsung tidak dilindungi insurans!. Bagaimana jika pekerja tersebut mendapat kemalangan di tempat kerja? Apakah majikan label akan bertanggungjawab? Jika benar, pekerja kontrak ini tidak dilindungi insurans, maka ini menyamai seperti amalan perhambaan (hamba abdi).
  • Ada juga kes bahawa pekerja kontrak ini langsung tidak dicarum untuk simpanan hari tua mereka (KWSP). Ini amat merugikan kerana banyak masa terbuang akibat tidak mencarum untuk hari tua mereka semasa mereka bekerja. Tidak kurang juga nilai caruman pekerja dipotong atau dikurangkan oleh agen kerana itulah pertambahan imbuhan kepada agen pekerja tersebut. Perkara ini sebenarnya salah dan boleh diambil tindakan tetapi ianya seperti menjadi perkara biasa bagi pekerja kontrak dan agen tersebut.
  • Pekerja kontrak sering mengadu bahawa pembayaran gaji oleh agen tidak tentu masa, kurang dari sepatutnya dan tidak telus. Ini kerana ada agen yang tidak menyediakan slip pembayaran gaji dengan betul kepada pekerja kontrak tersebut. Apabila hal ini timbul, secara tidak langsung, majikan label mudah lepas tangan dengan menyatakan bahawa bayaran telah dilakukan kepada agen.
  • Pekerja kontrak tidak layak untuk mendapat kemudahan yang dirunding oleh Kesatuan Sekerja dan Majikan. Ini adalah sesuatu yang merugikan kepada pekerja tersebut. Lagi malang apabila jika berlaku pertikaian pekerja kontrak dengan majikan label, mereka ini tidak akan diwakili Kesatuan Sekerja malah agen juga terpaksa menurut perintah majikan label demi menjaga “bisnes” mereka.
  • Gaji pekerja kontrak mungkin lebih tinggi dari pekerja tetap disebabkan ada yang tidak mencarum KWSP. Tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak dapat menikmati imbuhan tambahan seperti bonus, perkongsian keuntungan, pampasan dan sebagainya.
  • Perjanjian kontrak hanya berlaku diantara majikan label dan agen. Tiada pekerja kontrak terlibat atau terkandung didalamnya. Biasanya didalam kontrak, agen akan “membekalkan” sejumlah pekerja kontrak kepada majikan label untuk tempoh tertentu, menggantikan pekerja kontrak yang berhenti dan bertanggungjawab jika pekerja kontrak ada masalah disiplin. Ini amat menguntungkan hanya kepada agen dan majikan label. Manakan tidak, mereka seolah-olah menjual beli tenaga pekerja kontrak tanpa pekerja itu sedari.
  • Salah satu cara untuk mengawal kadar gaji atau upah dipasaran. Majikan label beranggapan bahawa kadar upah yang ditawarkan oleh pekerja kontrak adalah murah dan dalam masa yang sama pekerja kontrak pula anggap gaji mereka adalah tinggi dari pekerja tetap sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka telah memperjudikan masa tua mereka dengan tidak mencarum. Akhirnya kadar gaji/upah ini hanya berputar disekitar RM500 hingga RM600 sahaja.
Rasanya banyak lagi perkara negatif untuk dibuat penilaian. Ini adalah satu epidemic terhadap sektor pekerjaan. Sistem yang diamalkan ini umpama jualbeli manusia tanpa pekerja itu sedar dan mempersetujuinya. Dalam pada itu, seperti yang pernah dikeluarkan dalam blog ini juga, terdapat usul untuk diperbentangkan di Parlimen untuk “menghalalkan” urusan “jualbeli” ini melalui agen. Dalam erti kata lain, kewujudan agen atau agensi pembekalan pekerja kontrak ini akan disahkan mengikut undang-undang dan dianggap majikan sedangkan majikan label boleh berdondang sayang.
Peranan kita sebagai pekerja, perlulah mengelak untuk menjadi pekerja kontrak dan dalam masa yang sama, marilah kita bersama-sama mengesa Kerajaan yang ada sekarang memantau keadaan ini. Cegah sebelum parah. Hari ini pekerja kontrak untuk dikalangan pekerja bawahan atau operator dan tidak mustahil bahawa akan datang pasti akan ada pekerja kontrak untuk jawatan pertengahan dan atas. Pekerja sendiri yang tentukan. Pokok pangkalnya isu ini berlaku apabila tiada penetapan gaji minimum untuk pekerja swasta. Apakah ini dinamakan “pemerdagangan manusia yang dihalalkan” oleh mereka yang berkuasa?

Rabu, 1 Jun 2011

Kesatuan Sekerja: Keperluan atau Hanya Bila Timbul Masalah?

Kesatuan Sekerja (Union) adalah suatu perkara yang mungkin dianggap amat sensitif dikalangan pekerja. Malahan ada pula yang secara lantang menyatakan bahawa mereka akan kehilangan mata pencarian jika menyertainya. Ada pula yang menganggap Kesatuan Sekerja ini adalah suatu keperluan apabila timbul masalah jika tiada masalah, maka tidak ada pun tidak mengapa. Kenapa?

Sejarah selalu mengajar kita pelbagai perkara terutama tentang kehidupan. Keadaan kehidupan biasanya diibarat sebagai roda berpusing. Jika berada diatas, maka “selesa” kehidupan kita begitulah sebaliknya bila berada dibawah. Pernahkah kita berada dikedua-dua situasi tersebut atau orang disekeliling kita mengalaminya? Kita selalu diajar supaya jangan lupa diri bila berada diatas dan sentiasa beringat.

Tentunya kita ingat semasa keadaan ekonomi merudum sekitar tahun 1997, 2007 dan sebagainya. Sektor perkilangan mengalami pelbagai masalah sehinggakan ada diantara mereka mengambil tindakan drastik dengan “membuang” pekerja, menghadkan pengeluaran dan perbelanjaan, memotong peruntukkan dan sebagainya. Syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai cawangan diserata dunia seperti Seagate, Intel, Flextronics, Jabil, Hewlett Packard dan banyak lagi telah mencatatkan pembuangan pekerja mereka akibat tekanan ekonomi. Jangan dianggap nama-nama besar seperti ini mempunyai rekod bersih dan boleh dijadikan majikan terbaik kerana sistem kapitalis tidak akan sedikitpun memikirkan kebajikan pekerja mereka bila mengira keuntungan yang mereka perolehi.

Jangan menjadi dangkal akal apabila mengikut situasi semasa. Keadaan tidak mendesak, tiada masalah ditempat kerja, gaji yang baik dan sebagainya menjadikan alasan untuk tidak memerlukan Kesatuan Sekerja. Perlu diingat hari ini kita diatas, bila pula kita dibawah? Atau bila ditimpa masalah baru hendak mencari pertolongan ibarat “kapal hendak karam, baru sibuk mencari pelampung”. Itu sudah terlambat dan diri sendiri yang rugi.

Takut?. Apakah jika kita ingin menuntut hak dan kebajikan kita sendiri pun akan timbul rasa takut? Takut perlulah bertempat dan jangan sebarangan. Melalui Kesatuan Sekerja, anda akan sedar hak anda sebagai pekerja dan juga manusia. Sedangkan selama ini, kaum pemodal (syarikat) hanya tahu mengejar keuntungan dan mengabaikan kebajikan anda. Apakah anda akan takut jika mengetahui bahawa syarikat tempat anda bekerja tidak menyediakan atau melindungi pekerja mereka dengan insurans? Apakah anda akan takut jika mengetahui bahawa dalam beberapa bulan akan datang, akan ada pekerja (mungkin termasuk anda) terpaksa diberhentikan kerana syarikat hendak mengurangkan kos? Apakah anda akan takut jika anda dituduh melakukan kesalahan dalam perusahaan dan dipaksa berhenti tanpa anda boleh mempertahankan diri? Jika semua perkara ini akan berlaku kepada anda sedikit masa lagi, dan semasa itulah anda cuba untuk memohon bantuan Kesatuan ataupun mana-mana pihak, mungkin tindakan anda agak terlambat.

Masalah tempat kerja datang tidak kira waktu. Hari ini, esok, bulan depan atau tahun depan pasti akan timbul masalah. Contoh yang nyata apabila tiada kerja lebih masa (OT) diperuntukkan atau ianya dikawal, tiada bonus atau kenaikan gaji, sengketa antara rakan sekerja ataupun penyelia, elaun dan peruntukan dikawal dan sebagainya telah banyak dialami oleh pekerja. Sedar atau tidak, anda sendiri yang tentukan.

Kesimpulannya, wujudnya Kesatuan Sekerja adalah:

  • untuk membela pekerja yang ditindas;
  • untuk memberikan kesedaran kepada pekerja keseluruhannya;
  • memberi bantuan dan sokongan dalam berhadapan dengan majikan;
  • mewujudkan suasana harmoni diantara majikan dan pekerja;
  • mewujudkan situasi “menang-menang” majikan dan pekerja;
  • mencari penyelesaian dan keadilan kepada pekerja dan banyak lagi…

Logo

Sebagai pekerja, informasi ini perlu kita ketahui. Mari kita belajar dari sejarah. Jangan menutup peluang dan ruang untuk diri kita sendiri. Kelak , diri sendiri, keluarga dan masyarakat akan rugi dan tiada apa yang tinggal. Beringatlah, kita bukanlah yang membuat keputusan tetapi kita sentiasa terdedah dengan keputusan majikan yang tidak wajar. Kesatuan adalah untuk pekerja dan ia perlu wujud serta disokong oleh pekerja itu sendiri.

Logo KSIEWSSM

Dengan ini memperkenalkan logo rasmi Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM).

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan penggunaan logo, sila hubungi Majlis Eksekutif.


Isnin, 23 Mei 2011

Rasionalisasi Subsidi dan Rasionalisasi Gaji

Isu "merasionalisasikan" subsidi menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini. Dengan menggunakan ayat rasional ini sahaja telah menaikkan harga gula sebanyak 20sen. Kini ada pula ura-ura untuk menaikkan harga minyak popular dikalangan rakyat biasa iaitu RON95 dan belum reda hal ini, secara tiba-tiba pula wujud tarif elektrik. Nampaknya peningkatan harga barangan tidak dapat dielakkan lagi. Begitulah rasionalnya dengan penggurangan subsidi.
Memang tidak dinafikan, kebanyakan harga barangan adalah diluar kawalan. Dan setiap peningkatan harga diperingkat global akan menyebabkan beban tanggungan kerajaan terhadap subsidi semakin bertambah. Tetapi adakah rakyat khususnya pekerja mampu menyerap kos yang sengaja "dilepaskan" oleh kerajaan? Jika kerajaan tahu menggunakan perkataan "rasionalisasi subsidi" dan agak molek kiranya kerajaan juga menggunakan perkataan yang sama untuk menjadi "rasionalisasi gaji". Adakah rasional jika gaji pekerja khususnya bawahan pada kadar RM500 ~ 720 sebulan? Peningkatan kos dijangkakan akan berada disekitar 10 hingga 20% dari harga asal. Ini bermakna masyarakat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk barangan yang sama sedangkan kadar kenaikan gaji hanya sekitar 2.5 - 5% setahun!!. Tentunya ini tidak rasional.
Adalah lebih baik sebelum Kerajaan menetapkan untuk menarik semula pemberian subsidi, mereka perlulah membuat keputusan dalam menetapkan kadar gaji minimum dengan kadar segera. Jangan hanya tahu untuk menetapkan tarikh untuk berbincang tetapi semua kos telah dinaikkan. Cadangan asal untuk RM900 gaji minimum dan elaun COLA untuk pekerja swasta perlu difikirkan dan disegerakan. Pekerja sudah bosan mendengar perbandingan harga barangan di Malaysia dan di negara lain lebih murah dijadikan alasan.

Sebelum Rasionalisasikan Subsidi, sila Rasionalisasikan Gaji Pekerja!!!

Catatan Pekerja Marhaen

Sejak akhir-akhir ini, duniaku terasa amat sempit dan bagaikan dihimpit berterusan akibat peningkatan kos kehidupan. Aku tidak bimbang dengan kenaikan harga minyak 97 kerana aku tahu, kenderaan untuk aku pergi mencari rezeki ini masih boleh bergerak dengan minyak 95 walaupun ianya dikhabarkan berkualiti rendah dan bakal dinaikkan jua. Tetapi apa yang boleh aku buat? Aku tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan apa yang harus aku tuang dan apa yang harus aku guna sehari-hari. Biarlah mereka yang berkuasa tentukan. Tetapi yang paling aku runsingkan apabila mereka ini juga telah dan akan membuatkan harga diesel, gula, tepung, beras dan sebagainya naik. Ini akan menyebabkan nilai wang yang aku perolehi dari gaji aku makin susut. Apa guna aku merungut walaupun penat seharian membanting tulang? Siapa yang akan mendengarnya dan membantuku? Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Aku menjadi tidak keruan bila congakkan perbelanjaan harian aku akan meningkat tidak lama lagi. Anak dan isteri dirumah perlu makan, pakai dan sebagainya. Aku ini ketua keluarga, hendak tak nak terpaksa juga fikir mencari penyelesaiannya. Perlukah aku tunggu sehingga kenaikan gaji yang tidak seberapa? Apakah perlu aku mencari pendapatan sampingan? Itu mungkin mustahil, sebab hampir seharian aku membanting tulang ditempat kerja dan mana mungkin aku bisa memerah tenaga selanjutnya. Aku amat penat. Penat fikiran, penat seluruh tubuh malah penat segalanya. Penghidupan aku tetap sama. Kini aku dihimpit lagi. Nampaknya semakin berat beban yang aku tanggung. Aku memang tidak bisa menyimpan, rezeki ku ini selalunya tidak sempat menjengah ke hujung bulan. Aku selalu tebalkan muka untuk meminjam. Itulah rutin bulanan ku sehingga bulan mengambang penuh. Tapi aku terpaksa. Terpaksa mengharapkan belas rakan. Aku tidak tau bagaimana masa akan datang. Tetapi aku tahu esok tetap hari yang sama bagiku. Tetapi tiada apa yang mampu aku lakukan kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Aku sering mengharapkan majikan prihatin dengan masalah ku, rakan-rakan prihatin dengan masalahku, wakil rakyat prihatin dengan masalahku dan kerajaan prihatin dengan masalahku. Tetapi aku sedar hakikat pemodal tidak mahu rugi, rakan tidak mahu beban, wakil rakyat hanya mahu undi dan kerajaan hanya mahu kuasa. Tidak dapat mengharap mereka-mereka ini untuk membantuku. Kepura-puraan mengatasi segalanya. Media hanya ghairah untuk memaparkan isu sensasi. Aku tidak mahu isu politik, aku tidak suka isu moral, tetapi aku mahu mereka papar isu pekerja seperti aku. Penat aku mengais tetapi masih tidak cukup. Sensasikan cerita ku ini? Mungkin tidak. Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Aku perlu teruskan hidupku. Walaupun susah dan jerih, tetapi aku perlu juga mencari rezeki. Rezeki untuk anak, rezeki untuk isteri dan rezeki untuk sendiri. Aku juga sudah bosan, sudah bosan dengan janji para hipokrit. Mana gaji minimum ku? Mana pembelaan ku? Sudah bertahun aku menunggu dan janji para hipokrit bersilih ganti bergalang ganti. Apa guna bergelar bangsa Malaysia, melayu, cina atau india sekalipun, tetapi gagal membela anak Malaysia! Walaupun sedih tetapi aku akur. Aku terpaksa mengikat perut. Menganda tenaga yang ada. Kerana aku tau itulah yang bakal aku dapat seperti biasa. Tak mahu menunggu janji ataupun memang sudah suratan takdir bahawa hidup dan matiku sebagai buruh. Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Pekerja Marhaen...


Catatan ini dikirimkan oleh "Pekerja Marhaen" melalui email Kesatuan.

Selesakah penghidupan anda sekarang?

Sabtu, 30 April 2011

Temubual Eksklusif Bersama SUA KSIEWSSM



Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk menemubual Setiausaha Agung KSIEWSSM, saudara Rizuan Bin Zainal (gambar). Ikuti temubual berikut:


Blogger Kesatuan (BK): Boleh saudara terangkan serba sedikit tentang diri saudara?
Rizuan Zainal (RZ): Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pembaca blog Kesatuan Sekerja. Semoga informasi yang dipaparkan didalam blog ini akan memberikan inspirasi dan pengalaman penting kepada kaum pekerja khasnya sektor elektronik. Saya telah bergelumang di alam pekerjaan selama hampir 20 tahun dan kiranya saya ini berada digenerasi kedua dalam sektor elektronik. Saya katakan bahawa generasi pertama iaitu generasi elektronik semenjak 1970-an telahpun kebanyakannya bersara dari dunia pekerjaan dan kamilah yang mewarisi pekerjaan mereka. Pengetahuan saya berkaitan dengan Kesatuan Sekerja banyak dipelajari dari mereka-mereka yang lebih dahulu mencuba untuk mewujudkan Kesatuan bagi sektor elektronik semenjak dahulu lagi. Alhamdullilah, generasi kedua ini agak terbuka untuk menerima kehadiran Kesatuan Sekerja walaupun sering ditakutkan oleh majikan. Nampaknya mereka ini celik fikiran dalam segi penyertaan Kesatuan Sekerja.


BK: Saudara adalah salah satu watak penting dalam kepimpinan KSIEWSSM. Apakah halatuju dan misi saudara terhadap KSIEWSSM?
RZ: Sebenarnya kami di KSIEWSSM amat mengharap agar dapat bersama-sama dengan pekerja untuk mencapai misi negara maju dalam Wawasan 2020. Ia juga bersangkut paut dengan matlamat untuk mendapatkan masyarakat berpendapatan tinggi dan suasana kerja yang lebih mesra antara majikan dan pekerja bawahan mereka. Ini sangat penting kerana ianya boleh meningkatkan productiviti dan memajukan sosio ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Disamping itu juga, KSIEWSSM akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan terhadap kaum pekerja dan ahli kami sama ada dari pihak dalam atau luar negara.

BK: Apa pandangan saudara terhadap situasi pekerja elektronik di Malaysia kini?
RZ: Kebanyakannya masih tidak banyak berubah dan ada yang masih ditakuk lama. Jurang diantara majikan dan pekerja sangat jauh serta kurang suasana harmoni antara mereka. Banyak berlaku penindasan yang membuatkan pekerja merasa terkongkong dengan suasana dan waktu kerja yang panjang. Kadar gaji juga tidak berpatutan dengan takat ekonomi masa kini. Faktor keselamatan ditempat kerja juga, ada majikan yang tidak mengambil berat. Malah kadang-kala mereka mematuhi undang-undang keselamatan tempat kerja hanya untuk memastikan lesen perusahaan mereka tidak terjejas. Lagi teruk apabila majikan tidak melaporkan kepada pihak berwajib jika berlaku kemalangan di tempat kerja mereka dan pekerja yang dianggap cuai itu dipecat!. Majikan juga dikesan sering memaksa pekerja mereka untuk bekerja melebihi dari waktu dan hari bekerja yang sepatutnya.

BK: Apakah pendekatan yang saudara lakukan untuk melonjak KSIEWSSM menjadi penaung dan pelindung utama bagi pekerja-pekerja sektor elektronik di bahagian selatan Malaysia?
RZ: Dalam hal ini, kami di KSIEWSSM amat mengalu-alukan kesemua warga elektronik tidak kira bangsa, kaum, agama atau latarbelakang politik mereka untuk bersama-sama dengan kami, saling bantu-membantu satu sama lain untuk mengubah rentak dan suasana sektor elektronik. Ini adalah penting supaya dengan adanya pendedahan dan pengetahuan ini, membuatkan kita celik tentang hak pekerja dan dihormati majikan. Dengan keahlian yang ramai, kita akan saling berbincang untuk kepentingan bersama antara pekerja dan majikan. Secara automatiknya dengan kekuatan yang ada, ianya akan menjadi pelindung yang kukuh untuk kaum pekerja. Perlu diingatkan bahawa kekuatan sesebuah kesatuan itu adalah datang dari sokongan pekerja (keahlian) itu sendiri.

BK: Apakah pendirian KSIEWSSM terhadap gesaan untuk penetapan gaji minimum pekerja swasta?
RZ: Sepatutnya pihak Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat itu kerana atas dasar untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kita sedang mengharungi 2011, bermakna hanya tinggal lagi 9 tahun lagi dan kini gaji operator pengeluaran wanita, misalannya hanya sekitar RM400-RM600 sebulan. Lebih malang lagi, para majikan melalui persatuan mereka (MEF) secara terang-terangan membantah dan memperlecehkan usul gaji minimum ini. Malaysia menetapkan paras kemiskinan pendapatan adalah dibawah RM720 dan ini amat menyedihkan kerana majoriti pekerja berpendapatan pada kadar tersebut. Dengan kos kehidupan rata-rata semakin meningkat saban bulan tetapi ianya tidak seiring dengan kadar kenaikan gaji para pekerja swasta. Rasanya pihak kerajaan perlu merealisasikan slogan "Rakyat didahulukan".

BK: Bagaimana pula pandangan saudara terhadap kerenah "birokrasi" dalam jabatan kerajaan yang sedang dihadapi oleh KSIEWSSM?
RZ: Terus-terang saya tegaskan bahawa perkara ini amat mendukacitakan. Sepatutnya peranan Kerajaan melalui jabatan mereka bersama-sama membantu rakyat dengan lebih terbuka, bekerja dengan efisen dan cekap. Tidak guna jika mewar-warkan imej baru tetapi tahap pemikiran mereka masih dengan yang lama dan penuh birokrasi dan akhirnya merugikan rakyat iaitu pekerja itu sendiri. Saya rasa jabatan kerajaan tersebut perlu memahami apa itu produktiviti sebenar. Pekerja awam dan swasta adalah sama dan jangan anaktirikan pekerja swasta dan silap haribulan ianya akan merugikan kerajaan itu sendiri.

BK: Apa pandangan saudara terhadap barisan kepimpinan MTUC masa kini dan bagaimana pula pada pandangan saudara hala tuju mereka bersama dengan Kesatuan Gabungan?
RZ: Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan MTUC yang terdahulu khususnya Sdr. Syed Shahir kerana dengan inisiatif mereka maka Kesatuan Sekerja Elektronik dapat diwujudkan. Tahniah juga pada barisan baru ini. Pada pandangan saya, walaupun mereka ini baru mengambil alih peranan dalam MTUC, tetapi saya lihat MTUC seperti lemah dan tidak bertaring. Perlu diingatkan bahawa pimpinan sekarang juga bukan calang-calang orang, kerana mereka adalah wakil dari Kesatuan gabungan mereka dalam MTUC. Sepatutnya dengan keadaan sekarang ini, MTUC lah yang banyak berbicara dan berjuang dengan lantang membela pekerja, membantu kesatuan yang masih baru untuk kebaikan bersama. Bercakap dan berbincang tetapi tidak dilaksanakan seperti tiada guna. Halatuju bersama Kesatuan Gabungan masih nampak samar-samar. Banyak agenda tersembunyi seperti yang berlaku dalam MTUC cawangan Johor. KSIEWSSM sehingga kini pun tidak mengetahui perkembangan tersebut walaupun kami ini Kesatuan Gabungan yang sah. Ini masalah utama berlaku dalam MTUC.

BK: Isu "politik dalam MTUC" sentiasa menjadi isu sepanjang masa, khususnya membabitkan orang politik. Apa pandangan saudara terhadap situasi ini?
RZ: Ini adalah soalan yang menarik dan perlu kita terbuka terhadapnya. Undang-undang berkaitan pekerjaan dan pekerja dibuat di Parlimen, siapa yang berada di Parlimen jika bukan orang politik? Dahulu sdr. Zainal Rampak dilantik menjadi Senator Dewan Negara atas kapasiti beliau sebagai Presiden MTUC tetapi adakah cukup seorang dua untuk membuat undang-undang pekerja? Ini bermakna, ahli politik adalah penting untuk kita bicarakan tentang undang-undang pekerjaan untuk kepentingan pekerja. Kita tidak hanya duduk berbincang sehingga bertahun-tahun tetapi tiada apa yang dapat digubal kerana tiada kuasa politik. Disesetengah negara seperti Britain atau Australia, terdapat Parti Buruh yang mewakili kaum pekerja, tetapi di Malaysia, Parti Buruh seperti yang kita tahu telah diharamkan pada tahun-tahun 60an dahulu. Kini kita, kaum buruh hanya bersandarkan pada parti-parti politik yang ada untuk mengubal undang-undang pekerja. Amat merugikan kerana banyak ahli politik kini tidak begitu faham terhadap alam pekerjaan terutama pekerja swasta dalam mengubal undang-undang tersebut. Seperti seorang doktor diberikan tanggungjawab untuk membaiki kenderaan, apa perlu dia lakukan? Tiada kefahaman yang sebenar.

BK: Didalam hal ini, bagaimana sikap dan digaris mana KSIEWSSM berdiri?
RZ: KSIEWSSM mengambil sikap neutral dalam hal ini. Kami merasakan bahawa kepentingan pekerja perlu didahulukan. Kami titik beratkan keadilan lebih penting dari politiking. Diakui bahawa ada dikalangan Exco dan Pegawai mahupun ahli-ahli menjadi pendokong dan penyokong kuat parti politik sama ada kanan atau kiri, tetapi semua itu kami tolak ketepi kerana faktor ahli dan kepentingan pekerja. Tetapi itu tidak bermaksud kami tidak boleh bekerjasama dengan para politiking, dengan syarat utama dipenuhi iaitu PEKERJA.
Dalam sikap neutral ini dan juga masih baru, memang agak sukar untuk berdiri tegak diawal penubuhan, tetapi Alhamdulillah, KSIEWSSM akan sentiasa mengatur strategi untuk mara kehadapan bersama memperjuangkan nasib pekerja.

BK: Apakah matlamat KSIEWSSM seterusnya di peringkat Wilayah, Nasional dan Antarabangsa?
RZ: Kita masih baru dan masih banyak perlu dipelajari dari mereka-mereka yang berpengalaman. Dengan semangat untuk menjadikan KSIEWSSM sebagai satu Kesatuan yang kuat dan benar-benar membela nasib pekerja elektronik dan disenangi oleh semua peringkat di masa hadapan. KSIEWSSM juga merancang untuk bersama-sama dengan KSIEWBSM, KSIEWUSM dan KSIEWTSM untuk merealisasikan penubuhan Kesatuan Elektronik diperingkat Nasional (Pengabungan). Dalam pada itu, KSIEWSSM merancang untuk bersama-sama dengan Pertubuhan Sekerja Antarabangsa seperti IMF, ICEM dan sebagainya untuk memperkuatkan struktur Kesatuan Sekerja.

BK: Akhir kata saudara, apa pesanan saudara terhadap pekerja khasnya pekerja elektronik?
RZ: Di kesempatan ini, saya ingin menggesa semua kaum pekerja di negeri Johor, Melaka dan N.Sembilan khususnya pekerja elektronik untuk bersama-sama menyertai KSIEWSSM. Tidak perlu anda untuk menunggu sehingga timbul masalah baru hendak mencari (sertai) Kesatuan. Apa yang saya dapat katakan jika ini berlaku, ia sudah terlambat. Apa perlu rasa takut? Apakah untuk mempertahankan hak kita sendiri pun ada rasa takut? Saya tegaskan disini, bahawa kaum pekerja perlu bersatu demi masa depan kita sendiri, anak generasi kita akan datang. Pekerja jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang ini, jika sudah bergaji bagus, bonus banyak dan sebagainya kerana itu pada bila-bila masa sahaja majikan boleh menarik balik. Kita ada rekod bahawa ada pekerja yang dahulunya pandang rendah pada Kesatuan Sekerja kini terpaksa memohon bantuan KSIEWSSM. Saya rasa kesal juga apabila sesetengah anasir dikalangan pekerja menjaja perkara yang tidak benar tentang KSIEWSSM sedangkan mereka sendiri tidak tahu. Marilah kita bersama-sama agar sentiasa "celik" dengan pengetahuan perjuangan hak dan nasib pekerja. Akhir kata, KSIEWSSM adalah dari pekerja untuk pekerja. Jadilah warga Malaysia yang berani berjuang untuk hak sendiri. Kenapa warga asing berani tuntut hak mereka dan kita menikus? Selamat Hari Pekerja.



Perutusan Hari Pekerja

Saudara dan saudari yang saya hormati dan kasihi,
Para Pekerja, Buruh, Tenaga Kerja dan apa jua gelaran yang diberikan,


Sebagai pembuka bicara, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur dan berterima kasih kita kepada Allah, Tuhan Pencipta kerana telah menemukan kita pada wadah Kesatuan ini bersempena Hari Pekerja, 1 Mei 2011 (May Day) dalam keadaan suasana sejahtera, aman, tenteram dan ceria.

Jika kita kembali menyorot keadaan dan suasana pada sekitar tahun 1949 dahulu, iaitu semasa sekumpulan pimpinan buruh berkumpul di suatu tempat sulit kerana membincangkan perkara penubuhan "trade union", mungkin kita turut merasa betapa daif dan naifnya gerakan buruh di Malaya pada ketika itu kerana kekangan dek penjajah. Dengan pelbagai kekurangan yang terpaksa ditempuhi dikalangan buruh tanpa badan organisasi khusus yang membela dan membantu meringankan rintihan mereka.

Selepas negara mencapai kemerdekaan,  wujudlah pelbagai Kesatuan Sekerja yang mewakili golongan pekerja dan mereka bergabung didalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kini keahlian pekerja dalam gabungan tersebut telahpun mencapai lebih 500 ribu pekerja seluruh Malaysia. Ketika Malaysia menetapkan dasar pandang ke timur, negara telah membuka ruang kepada sektor elektronik untuk melabur dan bertapak di Malaysia. Tetapi agak malang apabila dasar pandang ke timur ini tidak membenarkan pekerja disektor elektronik untuk mewujudkan Kesatuan Sekerja.


Dan sekarang, setelah sekian lama dibelenggu dan dihalang untuk mewujudkan Kesatuan Sekerja sendiri, pekerja sektor elektronik boleh menarik nafas lega apabila ianya dibenarkan untuk diwujudkan. Hasil dari usaha para pekerja sendiri, maka tertubuhlah Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia pada tanggal 11 Mac 2010 walaupun sektor elektronik telah bertapak lebih dari 30 tahun di Malaysia. Kesatuan Sekerja Elektronik dibenarkan bergerak mengikut wilayah yang ditetapkan iaitu Barat, Selatan, Utara dan Timur. Diatas kapasiti Kesatuan Sekerja Elektronik Wilayah, kini pekerja sektor tersebut boleh bersama-sama mengatur langkah dan berdiri sebaris dengan Kesatuan Sekerja lain yang lebih lama dan berpengalaman. Usaha untuk memperjuangkan nasib pekerja elektronik kini semakin kukuh apabila pekerja mendapat platform atau wadah khusus dari sebelumnya.

Saudara dan saudari yang dirahmati Tuhan,
Dalam perutusan ini, kami mengemukakan beberapa perkara yang akan memihak kepada kebajikan pekerja sektor elektronik. Antaranya; peruntukan tambahan cuti bersalin, penetapan gaji minimum, penubuhan pusat latihan kemahiran, faedah perubatan, faedah persaraan dan pemberhentian kerja, waktu dan hari bekerja. Namun sebelum dihuraikan secara lanjut perkara-perkara tersebut, penjelasan ringkas terhadap hal hubungan antara pekerja dan majikan perlu diketahui dan dengan penjelasan ini akan dapat dimanafaatkan oleh setiap generasi pekerja.
  1. Pekerja, sebagaimana sifat tabii manusia ciptaan Tuhan, tentulah juga mempunyai perasaan, emosi, keinginan dan memerlukan layanan yang bersifat "memberi dan menerima" disamping memerlukan kepuasan bersifat "menang-menang". Oleh itu, pekerja dalam sesebuah organisasi, sama ada industri besar, syarikat, institusi, kilang, ladang dan sebagainya, maka hubungan diantara pekerja dan majikan perlulah berada dalam hubungan "atas ke bawah" yang autoritatif tetapi harmoni dan hubungan "bawah ke atas" yang terbuka tetapi bukan bersifat "melawan tauke". Majikan tidak boleh menganggap pekerja mereka umpama hamba atau "benda mati" yang boleh mereka buat sebarangnya. Kuasa wang yang ditekankan kepada pekerja tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya demi meneruskan kuasa kapitalis kaum pemodal. Dalam pengertian yang mudah, seseorang pekerja itu setelah mereka menerima tawaran bekerja dengan gaji tertentu, perlu bekerja menurut tugasan yang ditetapkan oleh majikan. Setiap perkhidmatan yang diberikan perlu diberikan ganjaran sewajarnya pada pekerja tersebut. Tetapi seseorang pekerja itu tidak boleh dianggap "dipunyai" atau dimiliki sepenuhnya oleh majikan. Para pekerja juga perlu bersedia melakukan kerja dengan penuh berkualiti disamping bersikap jujur dan amanah. Mereka juga diingatkan untuk menjaga perhubungan harmoni dengan ketua mereka, pekerja-pekerja lain dan majikan. Sikap saling hormat-menghormati dan bertolak ansur terbukti mampu mewujudkan suasana yang kondusif ditempat kerja. Jika perkara-perkara tersebut tidak diamalkan, lama-kelamaan ianya akan menimbulkan bibit-bibit ketidakpercayaan antara pekerja, pecah amanah, tiada kualiti dalam pekerjaan dan mungkin akan menimbulkan sikap tidak puas hati berlaku. Ini akan menjadi suasana huru-hara!.
  2. Kita sedar kepentingan pekerja swasta terhadap suasana ekonomi negara masa kini, maka perlulah Kerajaan kini memandang serius terhadap setiap tuntutan yang dikemukakan oleh kebanyakan Kesatuan Sekerja. Diantara yang dituntut adalah penetapan kadar gaji minimum yang mana pada masa ini, kadar gaji minimum tidak ditetapkan dan ianya bergantung kepada majikan itu sendiri. Dengan peningkatan kos taraf hidup sama ada di bandar atau di mana mana tempat diseluruh Malaysia, kadar gaji minimum perlu disegerakan dan dimuktamadkan. Rata-rata, golongan pekerja bawahan menerima gaji dibawah paras kemiskinan RM720 sebulan! Justeru itu, kami beranggapan bahawa kadar gaji minimum yang berpatutan adalah sebanyak RM750 sebulan dan ianya perlu dikaji setiap tahun mengikut kesan taraf hidup yang semakin meningkat.\
  3. Kami juga sedang meneliti setiap faedah perubatan, faedah persaraan, waktu dan hari bekerja, umur persaraan yang ideal, pemberian bonus dan termasuk pemecatan akibat tindakan tatatertib. Terdapat faedah yang tidak dipedulikan oleh majikan. Kami beranggapan bahawa ianya menjadi tanggungjawab sosial majikan bagi memenuhi dan melaksanakan setiap faedah yang ditetapkan. Namun begitu, majikan dialu-alukan untuk mengadakan perbincangan khusus berkaitan faedah tersebut bersama dengan KSIEWSSM demi kepentingan dan kebajikan pekerja mereka sendiri. 
  4. KSIEWSSM ingin mengingatkan kepada saudara dan saudari, para ahli Kesatuan untuk sentiasa terus menjalankan dan melaksanakan tugas dengan dedikasi, penghasilan pengeluaran yang berkualiti dan memahirkan pengetahuan dan kebolehan sendiri. Dengan tiga aspek ini, melayakan pekerja untuk mendapat gaji yang setimpal, disamping berkelayakan untuk menerima faedah sampingan dari majikan mereka sendiri. Para pekerja juga diingatkan untuk bekerja dengan rajin, jujur, amanah dan saling hormat-menghormati diantara satu sama lain.
Juga, dalam kesempatan ini, saya selaku Setiausaha Agung KSIEWSSM dan mewakili Ahli-ahli EXCO dan Pegawai Kesatuan, dengan rendah diri, memohon kerjasama erat dari barisan kepimpinan MTUC dan pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia agar kita bersama melaksanakan agenda-agenda kepentingan dan kebajikan pekerja keseluruhannya. 

Marilah kita bersama-sama meraikan hari khusus untuk kita sebagai generasi pekerja.

Semoga Tuhan memberkati Hari Pekerja 

Dari Pekerja Untuk Pekerja,  
Wassalam,

Rizuan Bin Zainal,
Setiausaha Agung KSIEWSSM
1 Mei 2011

Rabu, 27 April 2011

Kerajaan Perlu Lulus Gaji Minimum (Sumber: Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 27 April: Kerajaan sekali lagi diingatkan agar menjaga kepentingan golongan pekerja dengan meluluskan tuntutan gaji minimum yang sejak sekian lama disuarakan mereka.
Penyelaras Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes), Dr Mohd MHatta Ramli (gambar) berkata, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini seharusnya memberikan suatu perubahan ke arah meningkatkan kualiti dan taraf hidup pekerja yang berada di bawah paras kemiskinan.
"Sempena hari pekerja ini, kita (Protes) harap segala tuntutan khususnya gaji minima ini diambil serius oleh para majikan untuk mengeluarkan para pekerja kita daripada kongkongan kemiskinan dan mula bergerak ke arah pendapatan sederhana, kalau pun tidak melebihi RM2,000 sebulan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Bendahari PAS itu juga menegaskan, untuk memastikan golongan pekerja terbanyak ini dapat menyumbang kepada produktiviti negara, majikan seharusnya terlebih dahulu menimbangkan segala tuntutan mereka.
"Kita mengharapkan kumpulan pekerja yang teramai ini diperkasakan supaya kita mendapat pekerja yang produktif. "Ini bermakna para majikan harus menimbangkan tuntutan-tuntutan yang wajar seperti gaji minima,elaun perumahan dan sebagainya supaya isu ini tidak membebankan para pekerja adan menyebabkan produktiviti mereka terjejas," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan harga barang keperluan asas supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati hasil pendapatan mereka dengan lebih baik. "Untuk menjaga kepentingan golongan pekerja ini, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang drastik untuk menangani isu kenaikan harga barang dan berjanji tidak akan menaikkan harga-harga barangan penting seperti minyak dan sebagainya supaya pekerja dapat menikmati hasil pendapatan mereka lebih baik dan juga mengekang inflasi daripada terus naik," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberi tempoh selama dua bulan untuk kerajaan menurunkan harga barang yang telah naik selain menjelaskan perangkaan inflasi negara yang tenat di sebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika. Lim berkata, pengukuhan matawang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara iaitu mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.
Namun anehnya apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.
Lim berkata berdasarkan perangkaan kerajaan, kadar inflasi sejak tiga bulan lalu dicatatkan pada kadar 2.8 peratus. "Kenapa kita tidak lihat harga barangan di luar negara turun tetapi di Malaysia harga barang terus naik? Adakah awak lihat harga tepung susu turun. Semua ini diimport. "Kita adalah rakyat yang bertolak ansur. Kita beri dua bulan lagi untuk harga barangan turun. Jika tidak kerajaan mesti berikan jawapannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, dekat sini, semalam.

Sabtu, 23 April 2011

Deklarasi Sempena Hari Pekerja

Sebanyak 25 kumpulan yang terdiri daripada parti politik, NGO dan persatuan mahasiswa menuntut kerajaan menghentikan segala bentuk sandiwara dalam pelaksanaan akta gaji minimum. Sempena deklarasi Hari Pekerja Sedunia itu, kumpulan tersebut juga menuntut supaya Kerajaan mengawal kenaikan harga barangan yang berterusan meningkat sehingga membebankan rakyat ekoran kenaikan kos hidup yang semakin tinggi. "Kenaikan harga barang seperti minyak dan gula memberi impak yang tinggi kepada rakyat dan kaum pekerja khususnya yang berpendapatan rendah. "Alasan yang diberikan oleh kerajaan – 'penyelarasan subsidi' iaitu mengalihkan beban subsidi dan defisit yang ditanggung oleh kerajaan kepada rakyat untuk mengelakkan kerajaan menjadi muflis. “Ini merupakan satu hujah yang tidak rasional kerana pada masa yang sama kerajaan dengan bangganya mengumumkan pelbagai projek mega seperti bangunan 100 tingkat yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut deklarasi 1 Mei sempena hari pekerja itu lagi pembaziran seumpama itu tidak seharusnya dilakukan dalam keadaan rakyat terbelenggu dengan pelbagai tekanan ekonomi akibat sistem kapitalis ini. “Walaupun kerajaan kerap mengisytiharkan kejayaannya menguruskan ekonomi namun ia tidak mampu mengubah kehidupan rakyat.

“Rakyat masih terbelenggu dengan pelbagai beban yang dialihkan oleh pihak kerajaan kepada mereka.," kata mereka dalam satu kenyataan. "Yang miskin terus miskin, yang kaya terus mengawal dan menikmati sumber kekayaan negara. "Malaysia mempunyai jurang perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin paling tinggi di Asia Tenggara. "Kira-kira 40 peratus penduduk hanya memiliki 14.3 peratus pendapatan negara sedangkan golongan atas 20 peratus memiliki 50 peratus pendapatan negara."

Memetik sumber daripada kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, kumpulan itu berkata 34 peratus daripada pekerja di negara ini menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu RM720 sebulan. "Dasar ekonomi yang menjurus ke arah pertumbuhan ekonomi dan sistem pasaran terbuka semata-mata terus dipersoalkan kerana ia tidak menjamin agihan ekonomi yang adil. "Tumpuan terhadap arah pertumbuhan ekonomi semata-mata hanya akan merangsang persaingan di kalangan kaum pemodal tanpa kawalan seterusnya menggalakkan penindasan ke atas pekerja," kata mereka.

Sehubungan itu menjelang sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini, mereka menuntut 18 perkara daripada kerajaan:

•Hentikan rundingan Perjanjian Perdagagan Bebas (FTA) dengan EU dengan melibatkan rakyat dalam proses membuat keputusan.

•Hentikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat

•Gubal rang Undang-undang anti gangguan seksual untuk mengelakkan diskriminasi terhadap kaum wanita, pastikan tempat kerja selamat serta diberi perlindungan dari gangguan seksual.

•Tingkatkan penglibatan tenaga kerja wanita yang terbantut selama 30 tahun pada tahap 46.7 peratus. Sediakan tempat asuhan kanak-kanak yang dibiayai oleh kerajaan untuk membolehkan wanita melibatkan diri dalam pembangunan negara.

•Hentikan penswastaan khususnya terhadap perkhidmatan awam seperti hospital dan air dan hentikan Skim Pembayaran Penuh Pesakit (Full Paying Patient) di hospital kerajaan dengan segera.

•Laksanakan pendidikan percuma untuk semua dengan memansuhkan segala jenis yuran dari prasekolah hingga universiti.

•Isytihar kesatuan sekerja secara automatik dengan mansuhan undang-undang yang mendiskriminasi pekerja dan sebarang peraturan yang memangsakan ahli kesatuan sekerja.

•Iktiraf hak tanah adat orang Asli/Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah rizab orang Asli di Malaysia. Rancangan pembangunan tanah orang Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi orang Asli.

•Hak perumahan hak rakyat dengan sediakan perumahan yang mampu dimilik, yang selesa, cukup ruang, dengan kemudahan yang perlu untuk pembangunan sosial keluarga dan komuniti.

•Mansuhkan segala undang-undang yang menindas dan mendiskriminasi rakyat dan pekerja, antaranya ISA, OSA, EO, DDA, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU), Akta Pertubuhan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

•Wujudkan tabung pemberhentian kerja dengan segera dan bantuan terus kepada pekerja yang kehilangan kerja. Kerajaan harus memperuntukkan RM0.5 billion untuk mulakan tabung ini dan gunakannya untuk membantu mereka yang dibuang sehingga dapat kerja.

•Wujudkan polisi dan perundangan domestik bagi melindungi pekerja tidak rasmi.

•Tandatangan beberapa Konvensyen lain seperti Konvensyen 1951 berkaitan Status Pelarian dan Protokol 1967 dan Konvensyen Pekerja Asing bagi membolehkan hak migran, pelarian dan pencari suaka bekerja secara sah dan bebas daripada eksploitasi dan penindasan.

•Laksanakan polisi ekonomi berlandaskan keperluan tanpa mengira kaum dan jantina. Menuntut suatu model pembangunan yang saksama, yang memberi kepentingan kepada rakyat setempat di mana segala rancangan pembangunan mestilah dibincang dan dipersetujui oleh semua

•Menuntut sistem pentadbiran kerajaan yang adil serta pelaksanaan dan agihan ekonomi yang benar-benar telus, bersih dan bebas dari segala bentuk rasuah, kronisme dan penyelewengan.

•Selamatkan bumi kita, hentikan pembinaan reaktor nuklear di Malaysia, hentikan penghapusan hutan tanpa kawalan untuk tujuan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

NGO dan Parti Politik yang menandatangani deklarasi 18 tuntutan itu adalah seperti berikut:

•AWAM - All Women's Action Society
•CAN - Community Action Network
•CDC- Community Development Centre
•CIJ – Centre for Independent Journalism
•DEMA – Malaysia Youth and Students Democratic Movement
•EMPOWER - Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor
•JAG - Joint Action Group for Gender Equality
•JERIT - Jaringan Rakyat Tertindas
•KOMAS - Pusat Komunikasi Masyarakat
•ODHA - Orang yang Hidup Dengan HIV dan AIDS
•Pemuda Sosialis
•PERMAS - Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan
•PRM - Parti Rakyat Malaysia
•PSM - Parti Sosialis Malaysia
•PSWS - Persatuan Sahabat Wanita Selangor
•PWW - Perak Women for Women
•SABM - Saya Anak Bangsa Malaysia
•SAWO - Sabah Women's Action-Resource Group
•SIS - Sisters in Islam
•SMM - Solidariti Mahasiswa Malaysia
•SUARAM - Suara Rakyat Malaysia
•WAO - Women's Aid Organization
•WCC- Women's Centre for Change
•KAMI - Kumpulan Aktivis Muda Independen
•Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar, PAS

Artikel deklarasi ini dipetik dari laman web Malaysiakini.