Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk menemubual Setiausaha Agung KSIEWSSM, saudara Rizuan Bin Zainal (gambar). Ikuti temubual berikut:
Blogger Kesatuan (BK): Boleh saudara terangkan serba sedikit tentang diri saudara?
Rizuan Zainal (RZ): Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pembaca blog Kesatuan Sekerja. Semoga informasi yang dipaparkan didalam blog ini akan memberikan inspirasi dan pengalaman penting kepada kaum pekerja khasnya sektor elektronik. Saya telah bergelumang di alam pekerjaan selama hampir 20 tahun dan kiranya saya ini berada digenerasi kedua dalam sektor elektronik. Saya katakan bahawa generasi pertama iaitu generasi elektronik semenjak 1970-an telahpun kebanyakannya bersara dari dunia pekerjaan dan kamilah yang mewarisi pekerjaan mereka. Pengetahuan saya berkaitan dengan Kesatuan Sekerja banyak dipelajari dari mereka-mereka yang lebih dahulu mencuba untuk mewujudkan Kesatuan bagi sektor elektronik semenjak dahulu lagi. Alhamdullilah, generasi kedua ini agak terbuka untuk menerima kehadiran Kesatuan Sekerja walaupun sering ditakutkan oleh majikan. Nampaknya mereka ini celik fikiran dalam segi penyertaan Kesatuan Sekerja.
BK: Saudara adalah salah satu watak penting dalam kepimpinan KSIEWSSM. Apakah halatuju dan misi saudara terhadap KSIEWSSM?
RZ: Sebenarnya kami di KSIEWSSM amat mengharap agar dapat bersama-sama dengan pekerja untuk mencapai misi negara maju dalam Wawasan 2020. Ia juga bersangkut paut dengan matlamat untuk mendapatkan masyarakat berpendapatan tinggi dan suasana kerja yang lebih mesra antara majikan dan pekerja bawahan mereka. Ini sangat penting kerana ianya boleh meningkatkan productiviti dan memajukan sosio ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Disamping itu juga, KSIEWSSM akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan terhadap kaum pekerja dan ahli kami sama ada dari pihak dalam atau luar negara.
BK: Apa pandangan saudara terhadap situasi pekerja elektronik di Malaysia kini?
RZ: Kebanyakannya masih tidak banyak berubah dan ada yang masih ditakuk lama. Jurang diantara majikan dan pekerja sangat jauh serta kurang suasana harmoni antara mereka. Banyak berlaku penindasan yang membuatkan pekerja merasa terkongkong dengan suasana dan waktu kerja yang panjang. Kadar gaji juga tidak berpatutan dengan takat ekonomi masa kini. Faktor keselamatan ditempat kerja juga, ada majikan yang tidak mengambil berat. Malah kadang-kala mereka mematuhi undang-undang keselamatan tempat kerja hanya untuk memastikan lesen perusahaan mereka tidak terjejas. Lagi teruk apabila majikan tidak melaporkan kepada pihak berwajib jika berlaku kemalangan di tempat kerja mereka dan pekerja yang dianggap cuai itu dipecat!. Majikan juga dikesan sering memaksa pekerja mereka untuk bekerja melebihi dari waktu dan hari bekerja yang sepatutnya.
BK: Apakah pendekatan yang saudara lakukan untuk melonjak KSIEWSSM menjadi penaung dan pelindung utama bagi pekerja-pekerja sektor elektronik di bahagian selatan Malaysia?
RZ: Dalam hal ini, kami di KSIEWSSM amat mengalu-alukan kesemua warga elektronik tidak kira bangsa, kaum, agama atau latarbelakang politik mereka untuk bersama-sama dengan kami, saling bantu-membantu satu sama lain untuk mengubah rentak dan suasana sektor elektronik. Ini adalah penting supaya dengan adanya pendedahan dan pengetahuan ini, membuatkan kita celik tentang hak pekerja dan dihormati majikan. Dengan keahlian yang ramai, kita akan saling berbincang untuk kepentingan bersama antara pekerja dan majikan. Secara automatiknya dengan kekuatan yang ada, ianya akan menjadi pelindung yang kukuh untuk kaum pekerja. Perlu diingatkan bahawa kekuatan sesebuah kesatuan itu adalah datang dari sokongan pekerja (keahlian) itu sendiri.
BK: Apakah pendirian KSIEWSSM terhadap gesaan untuk penetapan gaji minimum pekerja swasta?
RZ: Sepatutnya pihak Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat itu kerana atas dasar untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kita sedang mengharungi 2011, bermakna hanya tinggal lagi 9 tahun lagi dan kini gaji operator pengeluaran wanita, misalannya hanya sekitar RM400-RM600 sebulan. Lebih malang lagi, para majikan melalui persatuan mereka (MEF) secara terang-terangan membantah dan memperlecehkan usul gaji minimum ini. Malaysia menetapkan paras kemiskinan pendapatan adalah dibawah RM720 dan ini amat menyedihkan kerana majoriti pekerja berpendapatan pada kadar tersebut. Dengan kos kehidupan rata-rata semakin meningkat saban bulan tetapi ianya tidak seiring dengan kadar kenaikan gaji para pekerja swasta. Rasanya pihak kerajaan perlu merealisasikan slogan "Rakyat didahulukan".
BK: Bagaimana pula pandangan saudara terhadap kerenah "birokrasi" dalam jabatan kerajaan yang sedang dihadapi oleh KSIEWSSM?
RZ: Terus-terang saya tegaskan bahawa perkara ini amat mendukacitakan. Sepatutnya peranan Kerajaan melalui jabatan mereka bersama-sama membantu rakyat dengan lebih terbuka, bekerja dengan efisen dan cekap. Tidak guna jika mewar-warkan imej baru tetapi tahap pemikiran mereka masih dengan yang lama dan penuh birokrasi dan akhirnya merugikan rakyat iaitu pekerja itu sendiri. Saya rasa jabatan kerajaan tersebut perlu memahami apa itu produktiviti sebenar. Pekerja awam dan swasta adalah sama dan jangan anaktirikan pekerja swasta dan silap haribulan ianya akan merugikan kerajaan itu sendiri.
BK: Apa pandangan saudara terhadap barisan kepimpinan MTUC masa kini dan bagaimana pula pada pandangan saudara hala tuju mereka bersama dengan Kesatuan Gabungan?
RZ: Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan MTUC yang terdahulu khususnya Sdr. Syed Shahir kerana dengan inisiatif mereka maka Kesatuan Sekerja Elektronik dapat diwujudkan. Tahniah juga pada barisan baru ini. Pada pandangan saya, walaupun mereka ini baru mengambil alih peranan dalam MTUC, tetapi saya lihat MTUC seperti lemah dan tidak bertaring. Perlu diingatkan bahawa pimpinan sekarang juga bukan calang-calang orang, kerana mereka adalah wakil dari Kesatuan gabungan mereka dalam MTUC. Sepatutnya dengan keadaan sekarang ini, MTUC lah yang banyak berbicara dan berjuang dengan lantang membela pekerja, membantu kesatuan yang masih baru untuk kebaikan bersama. Bercakap dan berbincang tetapi tidak dilaksanakan seperti tiada guna. Halatuju bersama Kesatuan Gabungan masih nampak samar-samar. Banyak agenda tersembunyi seperti yang berlaku dalam MTUC cawangan Johor. KSIEWSSM sehingga kini pun tidak mengetahui perkembangan tersebut walaupun kami ini Kesatuan Gabungan yang sah. Ini masalah utama berlaku dalam MTUC.
BK: Isu "politik dalam MTUC" sentiasa menjadi isu sepanjang masa, khususnya membabitkan orang politik. Apa pandangan saudara terhadap situasi ini?
RZ: Ini adalah soalan yang menarik dan perlu kita terbuka terhadapnya. Undang-undang berkaitan pekerjaan dan pekerja dibuat di Parlimen, siapa yang berada di Parlimen jika bukan orang politik? Dahulu sdr. Zainal Rampak dilantik menjadi Senator Dewan Negara atas kapasiti beliau sebagai Presiden MTUC tetapi adakah cukup seorang dua untuk membuat undang-undang pekerja? Ini bermakna, ahli politik adalah penting untuk kita bicarakan tentang undang-undang pekerjaan untuk kepentingan pekerja. Kita tidak hanya duduk berbincang sehingga bertahun-tahun tetapi tiada apa yang dapat digubal kerana tiada kuasa politik. Disesetengah negara seperti Britain atau Australia, terdapat Parti Buruh yang mewakili kaum pekerja, tetapi di Malaysia, Parti Buruh seperti yang kita tahu telah diharamkan pada tahun-tahun 60an dahulu. Kini kita, kaum buruh hanya bersandarkan pada parti-parti politik yang ada untuk mengubal undang-undang pekerja. Amat merugikan kerana banyak ahli politik kini tidak begitu faham terhadap alam pekerjaan terutama pekerja swasta dalam mengubal undang-undang tersebut. Seperti seorang doktor diberikan tanggungjawab untuk membaiki kenderaan, apa perlu dia lakukan? Tiada kefahaman yang sebenar.
BK: Didalam hal ini, bagaimana sikap dan digaris mana KSIEWSSM berdiri?
RZ: KSIEWSSM mengambil sikap neutral dalam hal ini. Kami merasakan bahawa kepentingan pekerja perlu didahulukan. Kami titik beratkan keadilan lebih penting dari politiking. Diakui bahawa ada dikalangan Exco dan Pegawai mahupun ahli-ahli menjadi pendokong dan penyokong kuat parti politik sama ada kanan atau kiri, tetapi semua itu kami tolak ketepi kerana faktor ahli dan kepentingan pekerja. Tetapi itu tidak bermaksud kami tidak boleh bekerjasama dengan para politiking, dengan syarat utama dipenuhi iaitu PEKERJA.
Dalam sikap neutral ini dan juga masih baru, memang agak sukar untuk berdiri tegak diawal penubuhan, tetapi Alhamdulillah, KSIEWSSM akan sentiasa mengatur strategi untuk mara kehadapan bersama memperjuangkan nasib pekerja.
BK: Apakah matlamat KSIEWSSM seterusnya di peringkat Wilayah, Nasional dan Antarabangsa?
RZ: Kita masih baru dan masih banyak perlu dipelajari dari mereka-mereka yang berpengalaman. Dengan semangat untuk menjadikan KSIEWSSM sebagai satu Kesatuan yang kuat dan benar-benar membela nasib pekerja elektronik dan disenangi oleh semua peringkat di masa hadapan. KSIEWSSM juga merancang untuk bersama-sama dengan KSIEWBSM, KSIEWUSM dan KSIEWTSM untuk merealisasikan penubuhan Kesatuan Elektronik diperingkat Nasional (Pengabungan). Dalam pada itu, KSIEWSSM merancang untuk bersama-sama dengan Pertubuhan Sekerja Antarabangsa seperti IMF, ICEM dan sebagainya untuk memperkuatkan struktur Kesatuan Sekerja.
BK: Akhir kata saudara, apa pesanan saudara terhadap pekerja khasnya pekerja elektronik?
RZ: Di kesempatan ini, saya ingin menggesa semua kaum pekerja di negeri Johor, Melaka dan N.Sembilan khususnya pekerja elektronik untuk bersama-sama menyertai KSIEWSSM. Tidak perlu anda untuk menunggu sehingga timbul masalah baru hendak mencari (sertai) Kesatuan. Apa yang saya dapat katakan jika ini berlaku, ia sudah terlambat. Apa perlu rasa takut? Apakah untuk mempertahankan hak kita sendiri pun ada rasa takut? Saya tegaskan disini, bahawa kaum pekerja perlu bersatu demi masa depan kita sendiri, anak generasi kita akan datang. Pekerja jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang ini, jika sudah bergaji bagus, bonus banyak dan sebagainya kerana itu pada bila-bila masa sahaja majikan boleh menarik balik. Kita ada rekod bahawa ada pekerja yang dahulunya pandang rendah pada Kesatuan Sekerja kini terpaksa memohon bantuan KSIEWSSM. Saya rasa kesal juga apabila sesetengah anasir dikalangan pekerja menjaja perkara yang tidak benar tentang KSIEWSSM sedangkan mereka sendiri tidak tahu. Marilah kita bersama-sama agar sentiasa "celik" dengan pengetahuan perjuangan hak dan nasib pekerja. Akhir kata, KSIEWSSM adalah dari pekerja untuk pekerja. Jadilah warga Malaysia yang berani berjuang untuk hak sendiri. Kenapa warga asing berani tuntut hak mereka dan kita menikus? Selamat Hari Pekerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan