KUALA LUMPUR, 27 April: Kerajaan sekali lagi diingatkan agar menjaga kepentingan golongan pekerja dengan meluluskan tuntutan gaji minimum yang sejak sekian lama disuarakan mereka.
Penyelaras Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes), Dr Mohd MHatta Ramli (gambar) berkata, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini seharusnya memberikan suatu perubahan ke arah meningkatkan kualiti dan taraf hidup pekerja yang berada di bawah paras kemiskinan.
"Sempena hari pekerja ini, kita (Protes) harap segala tuntutan khususnya gaji minima ini diambil serius oleh para majikan untuk mengeluarkan para pekerja kita daripada kongkongan kemiskinan dan mula bergerak ke arah pendapatan sederhana, kalau pun tidak melebihi RM2,000 sebulan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Bendahari PAS itu juga menegaskan, untuk memastikan golongan pekerja terbanyak ini dapat menyumbang kepada produktiviti negara, majikan seharusnya terlebih dahulu menimbangkan segala tuntutan mereka.
"Kita mengharapkan kumpulan pekerja yang teramai ini diperkasakan supaya kita mendapat pekerja yang produktif. "Ini bermakna para majikan harus menimbangkan tuntutan-tuntutan yang wajar seperti gaji minima,elaun perumahan dan sebagainya supaya isu ini tidak membebankan para pekerja adan menyebabkan produktiviti mereka terjejas," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan harga barang keperluan asas supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati hasil pendapatan mereka dengan lebih baik. "Untuk menjaga kepentingan golongan pekerja ini, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang drastik untuk menangani isu kenaikan harga barang dan berjanji tidak akan menaikkan harga-harga barangan penting seperti minyak dan sebagainya supaya pekerja dapat menikmati hasil pendapatan mereka lebih baik dan juga mengekang inflasi daripada terus naik," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberi tempoh selama dua bulan untuk kerajaan menurunkan harga barang yang telah naik selain menjelaskan perangkaan inflasi negara yang tenat di sebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika. Lim berkata, pengukuhan matawang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara iaitu mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.
Namun anehnya apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.
Lim berkata berdasarkan perangkaan kerajaan, kadar inflasi sejak tiga bulan lalu dicatatkan pada kadar 2.8 peratus. "Kenapa kita tidak lihat harga barangan di luar negara turun tetapi di Malaysia harga barang terus naik? Adakah awak lihat harga tepung susu turun. Semua ini diimport. "Kita adalah rakyat yang bertolak ansur. Kita beri dua bulan lagi untuk harga barangan turun. Jika tidak kerajaan mesti berikan jawapannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, dekat sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan