...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Sabtu, 30 April 2011

Perutusan Hari Pekerja

Saudara dan saudari yang saya hormati dan kasihi,
Para Pekerja, Buruh, Tenaga Kerja dan apa jua gelaran yang diberikan,


Sebagai pembuka bicara, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur dan berterima kasih kita kepada Allah, Tuhan Pencipta kerana telah menemukan kita pada wadah Kesatuan ini bersempena Hari Pekerja, 1 Mei 2011 (May Day) dalam keadaan suasana sejahtera, aman, tenteram dan ceria.

Jika kita kembali menyorot keadaan dan suasana pada sekitar tahun 1949 dahulu, iaitu semasa sekumpulan pimpinan buruh berkumpul di suatu tempat sulit kerana membincangkan perkara penubuhan "trade union", mungkin kita turut merasa betapa daif dan naifnya gerakan buruh di Malaya pada ketika itu kerana kekangan dek penjajah. Dengan pelbagai kekurangan yang terpaksa ditempuhi dikalangan buruh tanpa badan organisasi khusus yang membela dan membantu meringankan rintihan mereka.

Selepas negara mencapai kemerdekaan,  wujudlah pelbagai Kesatuan Sekerja yang mewakili golongan pekerja dan mereka bergabung didalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kini keahlian pekerja dalam gabungan tersebut telahpun mencapai lebih 500 ribu pekerja seluruh Malaysia. Ketika Malaysia menetapkan dasar pandang ke timur, negara telah membuka ruang kepada sektor elektronik untuk melabur dan bertapak di Malaysia. Tetapi agak malang apabila dasar pandang ke timur ini tidak membenarkan pekerja disektor elektronik untuk mewujudkan Kesatuan Sekerja.


Dan sekarang, setelah sekian lama dibelenggu dan dihalang untuk mewujudkan Kesatuan Sekerja sendiri, pekerja sektor elektronik boleh menarik nafas lega apabila ianya dibenarkan untuk diwujudkan. Hasil dari usaha para pekerja sendiri, maka tertubuhlah Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia pada tanggal 11 Mac 2010 walaupun sektor elektronik telah bertapak lebih dari 30 tahun di Malaysia. Kesatuan Sekerja Elektronik dibenarkan bergerak mengikut wilayah yang ditetapkan iaitu Barat, Selatan, Utara dan Timur. Diatas kapasiti Kesatuan Sekerja Elektronik Wilayah, kini pekerja sektor tersebut boleh bersama-sama mengatur langkah dan berdiri sebaris dengan Kesatuan Sekerja lain yang lebih lama dan berpengalaman. Usaha untuk memperjuangkan nasib pekerja elektronik kini semakin kukuh apabila pekerja mendapat platform atau wadah khusus dari sebelumnya.

Saudara dan saudari yang dirahmati Tuhan,
Dalam perutusan ini, kami mengemukakan beberapa perkara yang akan memihak kepada kebajikan pekerja sektor elektronik. Antaranya; peruntukan tambahan cuti bersalin, penetapan gaji minimum, penubuhan pusat latihan kemahiran, faedah perubatan, faedah persaraan dan pemberhentian kerja, waktu dan hari bekerja. Namun sebelum dihuraikan secara lanjut perkara-perkara tersebut, penjelasan ringkas terhadap hal hubungan antara pekerja dan majikan perlu diketahui dan dengan penjelasan ini akan dapat dimanafaatkan oleh setiap generasi pekerja.
  1. Pekerja, sebagaimana sifat tabii manusia ciptaan Tuhan, tentulah juga mempunyai perasaan, emosi, keinginan dan memerlukan layanan yang bersifat "memberi dan menerima" disamping memerlukan kepuasan bersifat "menang-menang". Oleh itu, pekerja dalam sesebuah organisasi, sama ada industri besar, syarikat, institusi, kilang, ladang dan sebagainya, maka hubungan diantara pekerja dan majikan perlulah berada dalam hubungan "atas ke bawah" yang autoritatif tetapi harmoni dan hubungan "bawah ke atas" yang terbuka tetapi bukan bersifat "melawan tauke". Majikan tidak boleh menganggap pekerja mereka umpama hamba atau "benda mati" yang boleh mereka buat sebarangnya. Kuasa wang yang ditekankan kepada pekerja tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya demi meneruskan kuasa kapitalis kaum pemodal. Dalam pengertian yang mudah, seseorang pekerja itu setelah mereka menerima tawaran bekerja dengan gaji tertentu, perlu bekerja menurut tugasan yang ditetapkan oleh majikan. Setiap perkhidmatan yang diberikan perlu diberikan ganjaran sewajarnya pada pekerja tersebut. Tetapi seseorang pekerja itu tidak boleh dianggap "dipunyai" atau dimiliki sepenuhnya oleh majikan. Para pekerja juga perlu bersedia melakukan kerja dengan penuh berkualiti disamping bersikap jujur dan amanah. Mereka juga diingatkan untuk menjaga perhubungan harmoni dengan ketua mereka, pekerja-pekerja lain dan majikan. Sikap saling hormat-menghormati dan bertolak ansur terbukti mampu mewujudkan suasana yang kondusif ditempat kerja. Jika perkara-perkara tersebut tidak diamalkan, lama-kelamaan ianya akan menimbulkan bibit-bibit ketidakpercayaan antara pekerja, pecah amanah, tiada kualiti dalam pekerjaan dan mungkin akan menimbulkan sikap tidak puas hati berlaku. Ini akan menjadi suasana huru-hara!.
  2. Kita sedar kepentingan pekerja swasta terhadap suasana ekonomi negara masa kini, maka perlulah Kerajaan kini memandang serius terhadap setiap tuntutan yang dikemukakan oleh kebanyakan Kesatuan Sekerja. Diantara yang dituntut adalah penetapan kadar gaji minimum yang mana pada masa ini, kadar gaji minimum tidak ditetapkan dan ianya bergantung kepada majikan itu sendiri. Dengan peningkatan kos taraf hidup sama ada di bandar atau di mana mana tempat diseluruh Malaysia, kadar gaji minimum perlu disegerakan dan dimuktamadkan. Rata-rata, golongan pekerja bawahan menerima gaji dibawah paras kemiskinan RM720 sebulan! Justeru itu, kami beranggapan bahawa kadar gaji minimum yang berpatutan adalah sebanyak RM750 sebulan dan ianya perlu dikaji setiap tahun mengikut kesan taraf hidup yang semakin meningkat.\
  3. Kami juga sedang meneliti setiap faedah perubatan, faedah persaraan, waktu dan hari bekerja, umur persaraan yang ideal, pemberian bonus dan termasuk pemecatan akibat tindakan tatatertib. Terdapat faedah yang tidak dipedulikan oleh majikan. Kami beranggapan bahawa ianya menjadi tanggungjawab sosial majikan bagi memenuhi dan melaksanakan setiap faedah yang ditetapkan. Namun begitu, majikan dialu-alukan untuk mengadakan perbincangan khusus berkaitan faedah tersebut bersama dengan KSIEWSSM demi kepentingan dan kebajikan pekerja mereka sendiri. 
  4. KSIEWSSM ingin mengingatkan kepada saudara dan saudari, para ahli Kesatuan untuk sentiasa terus menjalankan dan melaksanakan tugas dengan dedikasi, penghasilan pengeluaran yang berkualiti dan memahirkan pengetahuan dan kebolehan sendiri. Dengan tiga aspek ini, melayakan pekerja untuk mendapat gaji yang setimpal, disamping berkelayakan untuk menerima faedah sampingan dari majikan mereka sendiri. Para pekerja juga diingatkan untuk bekerja dengan rajin, jujur, amanah dan saling hormat-menghormati diantara satu sama lain.
Juga, dalam kesempatan ini, saya selaku Setiausaha Agung KSIEWSSM dan mewakili Ahli-ahli EXCO dan Pegawai Kesatuan, dengan rendah diri, memohon kerjasama erat dari barisan kepimpinan MTUC dan pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia agar kita bersama melaksanakan agenda-agenda kepentingan dan kebajikan pekerja keseluruhannya. 

Marilah kita bersama-sama meraikan hari khusus untuk kita sebagai generasi pekerja.

Semoga Tuhan memberkati Hari Pekerja 

Dari Pekerja Untuk Pekerja,  
Wassalam,

Rizuan Bin Zainal,
Setiausaha Agung KSIEWSSM
1 Mei 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan