...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Khamis, 24 November 2011

Perutusan KSIEWSSM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu, KSIEWSSM melahirkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, dapat kita bersua kembali dalam ruangan ini. Perutusan pada kali ini akan menyentuh perihal yang berlaku dalam hal ehwal KSIEWSSM keseluruhannya.

Pertamanya, sekalung tahniah kepada para pekerja Precision Manufacturing Solution (PMS), Muar dan CMKS, Pasir Gudang kerana pekerja telah sebulat suara untuk memilih KSIEWSSM sebagai wadah pergerakan pekerja. Pengiktirafan yang diberikan kepada KSIEWSSM sebagai wakil pekerja untuk seterusnya hak untuk berbincang dengan majikan masing-masing berkenaan dengan Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) amat bermakna untuk pekerja itu sendiri. Ketika ini perbincangan CA untuk pekerja PMS dengan majikan dijangkakan akan berlangsung pada 24 November 2011 manakala, pekerja CMKS pula baru sahaja memperolehi majoriti melalui Undi Sulit hari ini walaupun secara rasminya masih menunggu dari pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Insya-Allah, KSIEWSSM akan segera untuk memulakan perbincangan kandungan CA dengan pekerja CMKS itu sendiri.

Kemenangan tuntutan pengiktirafan melalui Undi Sulit ini amat bermakna bagi KSIEWSSM dan pekerja itu sendiri. Sikap enggan mengiktiraf Kesatuan pada awalnya oleh majikan ibarat memalukan mereka sendiri. Kerana apa? Kerana pekerja mereka sendiri yang membuat keputusan melalui Undi Sulit!. Disamping itu, tidak mustahil juga para majikan akan mengenakan tekanan semasa tempoh tuntutan berjalan.

Sikap majikan yang berlainan dengan apa yang diistiharkan dalam Kod Amalan Sosial (Social Code of Conduct). Mereka menyatakan bahawa pekerja bebas untuk berkesatuan tetapi apabila tuntutan pengiktirafan dibuat, pelbagai alasan yang diberikan dan cuba dengan pelbagai helah untuk melambatkan proses tuntutan tersebut. Ini berlaku dan ia telah tergendala sejak 2010 lagi. Secara realitinya, syarikat seperti ini sebenarnya amat bermasalah kerana disamping tidak menghormati pilihan pekerja tetapi menekan dan mengabaikan pekerja yang berjasa dengan syarikat.

GES Manufacturing adalah salah satu daripadanya dimana Pengurus Sumber Manusia telah banyak berdolak dalih, bertindak seperti JHEKS dalam menentukan kategori pekerja yang layak mengundi semasa Undi Sulit seterusnya menafikan hak pekerja!. Hitachi PS Techno pula telah memfailkan di Mahkamah Sivil tentang keputusan JHEKS dalam menetapkan skop kerja terhadap perusahaan mereka. Sikap mereka ini pastinya akan membuakkan perasaan benci pekerja terhadap syarikat malah kepada pengurus itu sendiri. Apakah itu yang mereka mahu?

Dalam menuntut pengiktirafan sebenarnya adalah mudah dan ringkas. Tetapi sikap sesetengah pihak telah sengaja melambat-lambatkan proses ini. Salah satu contoh adalah penangguhan tarikh dimana mesyuarat untuk berbincang tentang proses undi sulit sahaja telah tertangguh lebih dari 6 kali dalam tempoh hampir 18 bulan!. Adakah majikan ikhlas dalam menjaga kebajikan pekerja?

Selain dari itu, KSIEWSSM juga menegaskan akan bersama berjuang bersama MTUC dalam membantah pindaan Akta Kerja 1955. Penilaian KSIEWSSM mendapati bahawa pindaan Akta ini akan membuatkan pendapatan pekerja tiada peningkatan, tiada masa depan serta jaminan kerja. Peranan kontraktor buruh dalam membekalkan pekerja tempatan kepada majikan prinsipal, amat tidak beradab dan terkebelakang. Ia seolah-olah mewujudkan semula sistem kanggani dalam industri swasta. Secara langsung, ianya seperti proses menjual manusia untuk keuntungan dan ia tidak bertanggungjawab!!!.

Akhir kata, KSIEWSSM berharap perhubungan pekerja, majikan dan Kesatuan akan sentiasa harmoni dan berkekalan dalam memajukan perusahaan, diri sendiri, masyarakat dan negara.

Dari Pekerja Untuk Pekerja,
Media KSIEWSSM.
24/11/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan