...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Sabtu, 21 Ogos 2010

Perbezaan antara Kesatuan Dalaman dan KSIEWSSM

KESATUAN SEKERJA DALAMAN TEMPAT KERJA (IN-HOUSE UNION)

  1.  Terdapat banyak kes Kesatuan Dalaman ditubuhkan atas inisiatif majikan itu sendiri dan dijadikan sebagai "alat solek" dan BONEKA majikan semata-mata.
  2. Keahlian cuma terdiri dari pekerja atas nama satu syarikat tempat kerja tersebut itu sahaja.
  3. Keanggotaan pula HANYA terdiri dari majikan PRINSIPAL sahaja (pekerja tetap). Pekerja kontrak atas syarikat agensi pekerjaan dan pekerja asing tidak boleh menyertai Kesatuan Dalaman. Dengai itu sistem kontrak dan pengambilan pekerja asing semakin berleluasa!
  4. Tidak ada kuasa autonomi kerana kebiasaannya pejabat berdaftar Kesatuan Dalaman berada didalam kawasan tempat kerja atau disediakan oleh majikan dan ini menjadikan segala surat menyurat dan aktiviti Kesatuan dipantau malah ianya dikawalselia oleh majikan. Sumber kewangan amat terhad dan kadang-kala terpaksa bergantung dengan peruntukkan dari majikan kerana keanggotaan yang kurang. Maka Kesatuan Dalaman kurang mampu untuk membiayai aktiviti Kesatuan
  5. Jika syarikat menukar nama dan pendaftaran, maka Kesatuan Dalaman secara automatik akan TERBATAL jika ianya tidak termaktub dalam Perjanjian Bersama (CA) dari awal. Terdapat juga Kesatuan Dalaman yang langsung tidak mempunyai CA!
  6. Perundingan Perjanjian Bersama (CA) diwakili oleh wakil pekerja dari kilang itu sendiri sahaja. Mentaliti hubungan antara pekerja dan majikan masih menebal dan rasa gentar untuk berunding malah kurang penegasan terhadap sesuatu pertikaian kerana mereka akan kembali bertembung dengan majikan yang dirunding apabila balik ke tempat kerja masing-masing. Perundingan pula biasanya terletak atas budi bicara majikan. Penyelarasan gaji adalah bergantung kepada majikan. Sering terjadi "pilih bulu", diskriminasi dan penganiayaan serta rasisme bermaharajalela, malahan terdapat berlaku pemilihan EXCO mengikut citarasa dan kehendak majikan.
  7. Jika berlaku siasatan dalaman (domestic inquiry) dalam syarikat, pekerja yang disiasat HANYA boleh diwakili oleh wakil Kesatuan dalam kilang/tempat kerja itu sahaja dan kuasa pembelaan dan rayuan amat terhad.

KESATUAN SEKERJA WILAYAH SELATAN (KSIEWSSM)
  1.  Ditubuhkan oleh pekerja untuk pekerja demi pekerja. Hak dan maruah pekerja lebih terjamin dan dilindungi.
  2. Keanggotaan yang LEBIH RAMAI kerana mereka-mereka terdiri dari pelbagai kilang/tempat kerja dari setiap Negeri mengikut Wilayah naungan.
  3. Keanggotaan mencakupi seluruh industri yang sama. Pekerja kontrak dan pekerja asing juga boleh menyertai Kesatuan! Tiada diskriminasi sama ada gender, kaum, taraf dan sebagainya untuk keanggotaan.
  4. BEBAS DAN AUTONOMI. Sumber kewangan lebih besar dari kutipan yuran keanggotaan yang lebih ramai. Oleh itu KESATUAN mampu untuk:
    1. membayar upah guaman jika terdapat pertikaian,
    2. membayar sewa pejabat diluar tempat kerja, penyelidikan dan staf-staf tambahan terlatih,
    3. menjalankan program pendidikan anggota Kesatuan dengan lebih intensif dan kerap.
  5. Jika syarikat atau majikan menukar nama dan pendaftaran mereka, Kesatuan dan keanggotaan pekerja masih KEKAL, malahan jika pekerja bertukar tempat kerja tetapi masih mengikut industri yang sama, keanggotaan mereka juga masih KEKAL
  6. Perundingan Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) diwakili oleh wakil Kesatuan yang terlatih kerana program pendidikan Kesatuan yang dijalankan dan mereka terdiri dari pelbagai kilang mahupun industri. Maka tiada rasa gentar untuk perundingan meja bulat (perundingan sama taraf) kerana tiada mentaliti hubungan kuasa pekerja-majikan. Pelarasan gaji dalam CA mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia iaitu gaji pokok, kenaikan tahunan dan bonus semuanya TETAP dan hanya bayaran mengikut produktiviti sahaya yang boleh diubah.
  7. Jika berlaku siasatan dalaman (domestic inquiry) dalam kilang/tempat kerja, pekerja boleh diwakili oleh wakil Kesatuan yang dilantik. (Pegawai KHAS Kesatuan)

Ingat! Anda yang akan menentukan arah tuju Kesatuan anda BUKANNYA majikan!!!  

KUASA MEMILIH DITANGAN PEKERJA ITU SENDIRI!

    1 ulasan:

    1. Salam,
      Bolehkah bagi informasi mengenai perbezaan antara kesatuan sekerja dalaman, kebangsaan dan persekutuan?
      Terima kasih.

      BalasPadam