...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Ahad, 29 Ogos 2010

Memorandum KSIEWSSM Kepada Menteri Sumber Manusia

Memorandum ini telah diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam pada 26 Ogos 2010 melalui wakil beliau; Pn. Rozita Bahari (JTK Negeri Johor)


Memorandum Kepada YB Menteri Sumber Manusia -
Baca Memorandum

Selasa, 24 Ogos 2010

Agenda KSIEWSSM: Tuntutan Gaji Minima Yang Munasabah

Bertepatan dengan rancangan Kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun-tahun mendatang, Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) menegaskan bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan oleh Kerajaan adalah menetapkan kadar gaji minima bagi sektor swasta terutamanya sektor elektronik. Dengan anggaran pekerja sektor elektronik seluruh Malaysia sekitar 350,000 pekerja, langkah ini perlu diambil dengan kadar segera memandangkan kos sara hidup dan keperluan kaum pekerja semakin meningkat saban hari.

Majoriti perkilangan sektor elektronik ini tertumpu disekitar bandar-bandar besar seperti Petaling Jaya, Johor Bahru, Bayan Lepas dan sebagainya dimana kos sara hidup amat tinggi bagi pekerja tersebut. Secara perbandingan, gaji permulaan bagi operator pengeluaran di Johor Bahru, misalnya masih hanya pada sekitar RM350~600 sebulan manakala di Muar pula sekitar RM450~600 dibandingkan kos hidup di Johor Bahru dan Muar ini, amat tidak berpatutan. Ini masih tidak mencukupi bagi mereka jika diambil kira kos hidup di Johor Bahru!.

KSIEWSSM memandang serius terhadap tuntutan minima gaji ini, kerana setelah sekian lama tuntutan demi tuntutan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk MTUC dan sebagainya, ia tidak menjadi kenyataan dan diambil serius oleh Kerajaan. Sektor elektronik telah bertapak di Malaysia hampir mencapai ke generasi ke-3, tetapi taraf dan pendapatan kaum pekerja tetap hampir sama dengan generasi terawal.

Kebanyakan pekerja elektronik sekarang terpaksa bertukar kepada pekerjaan lain bagi menampung kos hidup mereka dan akhirnya majikan mendakwa bahawa pekerja tempatan tidak berminat untuk memohon kekosongan jawatan yang mereka tawarkan sedangkan gaji yang ditawarkan tidak berpatutan!. Dan sebagai jalan penyelesaiannya, majikan memohon kepada Kerajaan supaya membenarkan untuk "mengimport" pekerja asing dan ini adalah satu "penyakit" yang semakin tidak terkawal! Majikan sanggup untuk mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk pekerja asing tetapi tidak mahu untuk melabur lebih sedikit untuk gaji pekerja tempatan.

Peranan Kerajaan diperlukan untuk mengawal perkara-perkara sebegini. Janganlah menjadi seperti "kera dihutan disusukan, tapi anak dirumah mati kelaparan".

 Kenyataan MEF berkenaan dengan gaji pekerja (Kosmo)

Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia
(KSIEWSSM)
24/8/2010

Isnin, 23 Ogos 2010

Cuti Am, Cuti Tahunan dan Lain-lain Cuti

Berapa lamakah cuti berbayar yang patut diterima oleh setiap pekerja?

Kurang dari 2 tahun bekerja 
  • Cuti Am (Hari Pelepasan Persekutuan dan Negeri) : 10 hari
  • Cuti Tahunan (Annual Leave) : 8 hari
  • Cuti Sakit (Medical Leave), tidak termasuk rawatan dalam wad Hospital : 14 hari
  • Cuti Sakit (Medical Leave), termasuk rawatan dalam wad Hospital : 60 hari
  • Cuti Bersalin (Maternity Leave) : 60 hari
2~5 tahun bekerja
  • Cuti Am (Hari Pelepasan Persekutuan dan Negeri) : 10 hari
  • Cuti Tahunan (Annual Leave) : 12 hari
  • Cuti Sakit (Medical Leave), tidak termasuk rawatan dalam wad Hospital : 18 hari
  • Cuti Sakit (Medical Leave), termasuk rawatan dalam wad Hospital : 60 hari
  • Cuti Bersalin (Maternity Leave) : 60 hari
Lebih 5 tahun bekerja
  • Cuti Am (Hari Pelepasan Persekutuan dan Negeri) : 10 hari
  • Cuti Tahunan (Annual Leave) : 16 hari
  • Cuti Sakit (Medical Leave), tidak termasuk rawatan dalam wad Hospital : 22 hari
  • Cuti Sakit (Medical Leave), termasuk rawatan dalam wad Hospital : 60 hari
  • Cuti Bersalin (Maternity Leave) : 60 hari
 Nota:
Cuti Am
  • 4 cuti am yang ditetapkan; Hari Merdeka, Hari Kebesaran Yang Di-Pertuan Agung, Hari Kebesaran Sultan, Hari Pekerja dan 6 hari cuti am lagi diumumkan oleh majikan anda,
  • Jika cuti am jatuh pada hari rehat, hari bekerja berikutnya merupakan  hari cuti berbayar,
  • Jika cuti am jatuh semasa cuti tahunan atau cuti sakit, anda akan mendapat satu lagi cuti berbayar selama sehari.
 Cuti Sakit/Cuti Bersalin
  • Jika anda sakit pada hari rehat, anda tidak akan mendapat cuti sakit berbayar.
  • Cuti sakit atau bersalin yang jatuh pada cuti tahunan tidak akan dikira sebagai cuti tahunan.
Bilakah boleh saya mendapat cuti tahunan?
Hanya selepas setiap 12 bulan anda bekerja secara berterusan.

Bolehkah majikan saya membatalkan cuti tahunan saya?
Majikan anda boleh membatalkan cuti tahunan anda tanpa membayar anda jika;
  • Anda tidak hadir lebih dari 10% daripada waktu kerja semasa 12 bulan kerja berterusan dimana anda berhak mendapat cuti tahunan; atau,
  • Anda tidak mengambil cuti tahunan anda semasa didalam tempoh masa 12 bulan selepas anda mendapat cuti tahunan; atau,
  • Anda dipecat kerana salah laku. 
Apa yang perlu saya lakukan jika saya ingin mengambil cuti sakit?
  • Ambil sijil sakit (MC) dari doktor panel majikan anda atau hospital kerajaan; dan,
  • Beritahu atau cuba beritahu majikan anda dalam lingkungan masa 48 jam anda mula cuti sakit atau masuk hospital.

Sumber dari "Pintas" 

 

Ahad, 22 Ogos 2010

ANDA SEBAGAI PEKERJA - Hak-Hak dan Faedah

Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan mengenai masalah-masalah yang dihadapi tentang pekerjaan?

Sebagai pekerja, anda boleh mendapatkan khidmat bantuan dari:
  • Kesatuan Sekerja; jika menjadi ahli kepada Kesatuan Sekerja;
  • Jabatan Buruh untuk khidmat nasihat dan tuntutan kewangan dibawah Akta Pekerjaan dan Pampasan Pekerja (Workmen's Compensation); jika anda layak; berpendapatan dibawah RM1,500 sebulan
  • Perkeso/Socso untuk tuntutan dan pampasan terhadap kecederaan akibat pekerjaan, penyakit atau kematian; jika anda layak.
  • Jabatan Perhubungan Perusahaan; jika anda mahu jawatan anda semula dan sekiranya layak,
  • Biro Bantuan Guaman untuk nasihat dan perwakilan; jika anda layak,
MASA BEKERJA DAN KERJA LEBIH MASA

Berapakah jam bekerja biasa saya yang saya sepatutnya di bawah syarat-syarat pekerjaan?
Selain daripada kerja mengikut shift ataupun dengan kebenaran Ketua Pengarah, masa bekerja untuk seseorang pekerja mestilah TIDAK MELEBIHI;
  • 5 jam berterusan tanpa sekurang-kurangnya 30minit rehat,
  • 8 jam sehari
  • Satu bentangan jam 10 jam sehari, 
  • 48 jam seminggu (bagi kerja mengikut shift, purata sebanyak 48 jam seminggu di dalam masa 3 minggu)
Bolehkah saya dipaksa untuk bekerja lebih masa ("overtime")?
Selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta Pekerjaan, pekerja TIDAK BOLEH dipaksa untuk bekerja lebih daripada jam bekerja biasa. Kerja lebih masa maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak 104 jam sebulan.

Bagaimana gaji lebih masa dikira?
Jika anda bekerja pada;
  • Hari Kerja Biasa = 1.5 x jumlah pendapatan biasa sejam,
  • Hari Rehat = 2 x jumlah pendapatan biasa sejam,
  • Hari Cuti Am = 3 x jumlah pendapatan biasa sejam.

Sabtu, 21 Ogos 2010

Prosiding Tuntutan Pengiktirafan

Tindakan-Tindakan Yang Dilarang Semasa Diadakan Prosiding Tuntutan Pengiktirafan
  1.  Majikan adalah dilarang mengisytiharkan sekat-masuk (lock-out) atau menamatkan pekerjaan mana-mana pekerjanya kecuali atas alasan-alasan tatatertib (misconduct).
  2. Pihak Kesatuan pula dilarang daripada melancarkan apa-apa tindakan perusahaan seperti mogok atau piket.
Penalti Bagi Kesalahan Bersabit Tuntutan Pengiktirafan
 Seksyen 60, APP 1967 menetapkan penalti yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya atas pelanggaran mana-mana peruntukan dibawah Akta tersebut; atau atas ketidakpatuhan terhadap apa apa saman, perintah atau arahan yang diberi atau dibuat dibawah Akta berkenaan.

Berikut adalah langkah-langkah (proses) bagi Tuntutan Pengiktirafan
  1. Kesatuan mengemukakan tuntutan pengiktirafan kepada majikan dalam Borang A (Notis Tuntutan Untuk Mendapatkan Pengiktirafan).
  2. Kesatuan mengemukakan Borang A berserta satu salinan Perlembagaan Kesatuan/Peraturan-peraturan  Kesatuan Sekerja kepada majikan secara pos berdaftar dengan satu salinan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia (KPPPM)
  3. Majikan dikehendaki memberi maklumbalas dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan Notis Tuntutan.
  4. Jika majikan memberi pengiktirafan secara sukarela, kes tuntutan pengiktirafan dianggap selesai.
  5. Jika pengiktirafan tidak diberi, Kesatuan hendaklah mengemukakan aduan secara bertulis kepada KPPPM dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan maklumbalas majikan atau selepas tamat tempoh 21 hari. Jika Kesatuan gagal mengemukakan aduan tersebut, kes tuntutan pengiktirafan dianggap telah ditarik balik.
  6. KPPPM akan memohon Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) bagi menentukan kelayakan Kesatuan.
  7. KPPPM kemudiannya memohon majikan kemukakan senarai nama pekerja syarikat (Borang B)
  8. Proses undi sulit dijalankan bagi menentukan peratusan keahlian kesatuan sama ada mempunyai majoriti atau sebaliknya. (Majoriti = 50%+1)
  9. Laporan kepada Y.B Menteri Sumber Manusia untuk mendapat keputusannya dibawah seksyen 9 (5), APP 1967.
  10. Keputusan Y.B Menteri dimaklumkan kepada majikan dan Kesatuan.

  • Apabila sesebuah Kesatuan Sekerja telah mendapat pengiktirafan daripada majikan, tidak ada tuntutan pengiktirafan keatas majikan yang sama boleh dikemukakan oleh pihak Kesatuan Sekerja yang lain kecuali selepas tempoh tiga (3) tahun telah genap.
  • Apabila sesuatu tuntutan pengiktirafan telah diselesaikan oleh KPPPM atau telah diputuskan oleh Y.B Menteri Sumber Manusia yang menyebabkan Kesatuan Sekerja itu tidak mendapat pengiktirafan, Kesatuan Sekerja tersebut tidak boleh membuat apa-apa tuntutan lanjut untuk mendapatkan pengiktirafan sehingga selepas tempoh enam (6) bulan telah genap dari tarikh penyelesaian atau keputusan tersebut.

Perbezaan antara Kesatuan Dalaman dan KSIEWSSM

KESATUAN SEKERJA DALAMAN TEMPAT KERJA (IN-HOUSE UNION)

  1.  Terdapat banyak kes Kesatuan Dalaman ditubuhkan atas inisiatif majikan itu sendiri dan dijadikan sebagai "alat solek" dan BONEKA majikan semata-mata.
  2. Keahlian cuma terdiri dari pekerja atas nama satu syarikat tempat kerja tersebut itu sahaja.
  3. Keanggotaan pula HANYA terdiri dari majikan PRINSIPAL sahaja (pekerja tetap). Pekerja kontrak atas syarikat agensi pekerjaan dan pekerja asing tidak boleh menyertai Kesatuan Dalaman. Dengai itu sistem kontrak dan pengambilan pekerja asing semakin berleluasa!
  4. Tidak ada kuasa autonomi kerana kebiasaannya pejabat berdaftar Kesatuan Dalaman berada didalam kawasan tempat kerja atau disediakan oleh majikan dan ini menjadikan segala surat menyurat dan aktiviti Kesatuan dipantau malah ianya dikawalselia oleh majikan. Sumber kewangan amat terhad dan kadang-kala terpaksa bergantung dengan peruntukkan dari majikan kerana keanggotaan yang kurang. Maka Kesatuan Dalaman kurang mampu untuk membiayai aktiviti Kesatuan
  5. Jika syarikat menukar nama dan pendaftaran, maka Kesatuan Dalaman secara automatik akan TERBATAL jika ianya tidak termaktub dalam Perjanjian Bersama (CA) dari awal. Terdapat juga Kesatuan Dalaman yang langsung tidak mempunyai CA!
  6. Perundingan Perjanjian Bersama (CA) diwakili oleh wakil pekerja dari kilang itu sendiri sahaja. Mentaliti hubungan antara pekerja dan majikan masih menebal dan rasa gentar untuk berunding malah kurang penegasan terhadap sesuatu pertikaian kerana mereka akan kembali bertembung dengan majikan yang dirunding apabila balik ke tempat kerja masing-masing. Perundingan pula biasanya terletak atas budi bicara majikan. Penyelarasan gaji adalah bergantung kepada majikan. Sering terjadi "pilih bulu", diskriminasi dan penganiayaan serta rasisme bermaharajalela, malahan terdapat berlaku pemilihan EXCO mengikut citarasa dan kehendak majikan.
  7. Jika berlaku siasatan dalaman (domestic inquiry) dalam syarikat, pekerja yang disiasat HANYA boleh diwakili oleh wakil Kesatuan dalam kilang/tempat kerja itu sahaja dan kuasa pembelaan dan rayuan amat terhad.

KESATUAN SEKERJA WILAYAH SELATAN (KSIEWSSM)
  1.  Ditubuhkan oleh pekerja untuk pekerja demi pekerja. Hak dan maruah pekerja lebih terjamin dan dilindungi.
  2. Keanggotaan yang LEBIH RAMAI kerana mereka-mereka terdiri dari pelbagai kilang/tempat kerja dari setiap Negeri mengikut Wilayah naungan.
  3. Keanggotaan mencakupi seluruh industri yang sama. Pekerja kontrak dan pekerja asing juga boleh menyertai Kesatuan! Tiada diskriminasi sama ada gender, kaum, taraf dan sebagainya untuk keanggotaan.
  4. BEBAS DAN AUTONOMI. Sumber kewangan lebih besar dari kutipan yuran keanggotaan yang lebih ramai. Oleh itu KESATUAN mampu untuk:
    1. membayar upah guaman jika terdapat pertikaian,
    2. membayar sewa pejabat diluar tempat kerja, penyelidikan dan staf-staf tambahan terlatih,
    3. menjalankan program pendidikan anggota Kesatuan dengan lebih intensif dan kerap.
  5. Jika syarikat atau majikan menukar nama dan pendaftaran mereka, Kesatuan dan keanggotaan pekerja masih KEKAL, malahan jika pekerja bertukar tempat kerja tetapi masih mengikut industri yang sama, keanggotaan mereka juga masih KEKAL
  6. Perundingan Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) diwakili oleh wakil Kesatuan yang terlatih kerana program pendidikan Kesatuan yang dijalankan dan mereka terdiri dari pelbagai kilang mahupun industri. Maka tiada rasa gentar untuk perundingan meja bulat (perundingan sama taraf) kerana tiada mentaliti hubungan kuasa pekerja-majikan. Pelarasan gaji dalam CA mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia iaitu gaji pokok, kenaikan tahunan dan bonus semuanya TETAP dan hanya bayaran mengikut produktiviti sahaya yang boleh diubah.
  7. Jika berlaku siasatan dalaman (domestic inquiry) dalam kilang/tempat kerja, pekerja boleh diwakili oleh wakil Kesatuan yang dilantik. (Pegawai KHAS Kesatuan)

Ingat! Anda yang akan menentukan arah tuju Kesatuan anda BUKANNYA majikan!!!  

KUASA MEMILIH DITANGAN PEKERJA ITU SENDIRI!

    Jumaat, 20 Ogos 2010

    Pindaan Akta Pekerja hanya untungkan majikan (Malaysiakini)

    Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan menghentikan kesemua pindaan akta yang melibatkan kepentingan pekerja kerana ia didakwa lebih menindas dan mengurangkan hak-hak sedia ada mereka.

    Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim (kanan) mendakwa, cadangan pindaan Akta Pekerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 itu hanya memberi kelebihan kepada majikan.

    "Rakyat menderita kerana hak mereka akan ditarik balik," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur.

    "(Kita) kembali ke zaman penghambaan sedangkan kita mengganggap pekerja sebagai tulang belakang negara dan bukan komoditi."

    PSM sebaliknya mendesak kerajaan sekali lagi memperkenalkan akta gaji minumum, pendaftaran autormatik dalam kesatuan sekerja dan mengutamakan gaji pekerja daripada pembayaran hutang syarikat.

    Dalam sidang media yang sama, ahli jawatankuasa PSM V Selvam mendakwa cadangan pindaan itu dibuat dengan tidak mengambilkira pandangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan NGO terbabit.

    Menurut Selvam (kiri sekali), antara cadangan pindaan yang harus ditolak antaranya dalam Seksyen 19 Akta Kerja 1955 didakwa membenarkan majikan melewatkan pembayaran gaji kerja lebih masa sehingga tempoh 30 hari.

    "Sekarang ini, gaji lebih masa dibayar dalam tempoh tujuh hari. Kebanyakan pekerja di Malaysia bergantung kepada gaji itu supaya tanggungan mencukupi," katanya.

    Manakala, dalam Seksyen 60A akta yang sama pula didakwa membenarkan majikan menentukan waktu bekerja yang "tidak munasabah" apabila pekerja boleh memulakan tugas seawal jam 5 pagi, dakwanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai gaji minimum, Dr Nasir berkata cadangan jumlah RM1,500 yang diperjuangkan mereka amat bersifat anjal.

    Beliau yang juga Adun Kota Damansara berkata, dalam keadaan ekonomi tertentu, seperti inflasi atau peningkatan taraf hidup, nilainya harus berubah.

    "(Tetapi) ia tidak boleh dikurangkan daripada jumlah tersebut," jelasnya.

    Isnin, 16 Ogos 2010

    Kerajaan cari formula terbaik gaji minimum: Najib

    2010/08/14 BERITA HARIAN

    KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji formula terbaik bagi menangani isu gaji minimum, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

    "Sementara kita mahu pengeluar dan syarikat untuk menggerakkan rantaian nilai, kerajaan juga memahami bahawa lonjakan tidak berlaku dalam sekelip mata terutama bagi syarikat dalam industri berasaskan tenaga manusia.

    "Ini sebabnya kenapa Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kes mereka kepada Kabinet tidak lama lagi. Setakat ini, saya minta semua majikan di sini hari ini supaya mempertimbang secara serius gaji minimum sebagai satu strategi perniagaan dan peluang untuk menggiatkan perniagaan anda," katanya semasa merasmikan Kongres Ekonomi Cina yang bertemakan "Peranan Masyarakat Cina Dalam Mencapai Matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di sini.
    Katanya, kerajaan mengambil perhatian terhadap hasrat MCA bagi satu dasar gaji minimum yang komprehensif sebagai langkah bagi membina modal insan ke tahap yang sesuai dalam sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan ia juga perlu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar terutama dalam sektor pembinaan dan industri perkhidmatan.

    "Satu gaji minimum yang sektoral kemungkinan menawarkan cara terbaik bagi melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berkemahiran dan mampu memanfaatkan potensi rakyat Malaysia," katanya.

    Sebelum itu, dalam ucapannya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. berkata kaji selidik oleh Kementerian Sumber Manusia menunjukkan bahawa 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan iaitu di bawah paras kemiskinan RM720 sebulan.

    "Apa yang membimbangkan ialah kajian Bank Dunia berhubung trend gaji di Malaysia mencatatkan hanya 2.6 peratus kadar pertumbuhan setahun dalam 10 tahun kebelakangan ini. Kebanjiran tenaga pekerja asing juga menekan kenaikan gaji pekerja tempatan.
    "Bagi memacu proses mengurangan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing, MCA menggesa pelaksanaan satu dasar gaji minimum berasaskan sektoral dan wilayah. Lebih 90 peratus negara di dunia telahpun mempunyai undang-undang mengenai gaji minimum tetapi Malaysia masih ketinggalan," katanya.

    Dr Chua berkata, usaha mewujudkan satu sistem gaji minimum adalah selaras dengan gesaan MCA bagi merasionalisasikan subsidi.

    Dasar gaji minimum dijangka dibentangkan di Kabinet pada Oktober depan. - BERNAMA

    Mahkamah Buruh dan Peranannya

    Mahkamah Buruh merupakan satu mekanisme pengadilan yang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja untuk menyelesaikan tuntutan atau pertikaian antara pekerja dengan majikan.
     Objektif Mahkamah Buruh adalah untuk menyelesaikan setiap tuntutan-tuntutan atau pertikaian antara pekerja dengan majikan dengan cepat, mudah dan murah.
    Antara bidang kuasa Mahkamah Buruh adalah mendengar dan memutuskan perkara-perkara berikut:-
    •    Pertikaian antara pekerja dan majikannya mengenai gaji atau lain-lain bayarannya yang berhak diterima oleh seorang pekerja dibawah kontrak perkhidmatannya atau di bawah mana-mana peruntukan Akta Kerja 1955 atau peraturan-peraturan yang dibuat dibawahnya atau Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 atau mana-mana perintah yang dibuat dibawah.
    •    Tuntutan pekerja untuk meringankan hukuman tatatertib daripada hukuman berat yang dikenakan terhadapnya.
    •    Tuntutan majikan terhadap pekerja yang gagal membayar gaji ganti notis penamatan perkhidmatannya.
    •    Tuntutan seseorang "contractor for labour" terhadap seseorang kontrator atau kontraktor kecil ke atas bayaran yang berhak diterimanya dibawah perjanjian dengan kontraktor atau kontraktor kecil kerana membekalkan pekerja.
     Mahkamah Buruh mempunyai kuasa mendengar dan memutuskan kes tuntutan yang amaunnya tidak terhad.
    Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Buruh boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh menerima keputusan oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut.

    Soalan Akta Kerja 1955

    Adakah anda seorang pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja 1955?
    Pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 ialah semua pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM1,500.00 sebulan dan juga semua pekerja tanpa had gaji. Jika anda seorang pekerja asing yang sah penggajiannya di negara ini, anda juga dilindungi oleh Akta Kerja 1955.

    Apakah Kontrak Perkhidmatan?

    Kontrak Perkhidmatan ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi kepada semua pekerja pada atau sebelum pekerja tersebut mula bertugas. Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.

    Apakah keadaan menyebabkan sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi?

    Keadaan yang boleh membawa kepada sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi adalah jika:- Majikan gagal membayar gaji dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir bagi tempoh pembayaran upah. Pekerja yang tidak hadir kerja selama lebih daripada dua hari berturut-turut tanpa makluman atau kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya.

    Apakah yang dimaksudkan dengan waktu kerja biasa?
    “Waktu Kerja Biasa” ialah waktu kerja seperti yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan sebagai waktu-waktu kerja biasa dalam sehari. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi:
    1. 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat; atau,
    2. 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit; atau 
    3. 48 jam seminggu.
    Atas persetujuan bersama, pekerja boleh bekerja 9 jam sehari tetapi tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.

    Apakah yang dimaksudkan dengan 'kerja lebih masa' ?
    Kerja lebih masa bermakna bilangan jam kerja yang dilakukan melebihi masa kerja normal sehari.

    Berapakah kadar bayaran kepada pekerja yang bekerja lebih masa?
    Kadar bayaran kerja lebih masa hendaklah sekurang-kurangnya seperti berikut:
    Pada hari kerja biasa, 1 1/2 kali kadar gaji sejam.
    Pada hari rehat, 2 kali kadar gaji sejam.
    Pada hari cuti am, 3 kali kadar gaji sejam.

    Adakah had jumlah jam kerja lebih masa yang boleh dilakukan oleh pekerja dalam sebulan?
    Seseorang pekerja tidak boleh dikehendaki bekerja lebih masa melebihi 104 jam dalam sebulan.

    Adakah wajib bagi kontrak perkhidmatan untuk menyatakan tempoh gaji?
    Berapakah tempoh gaji yang sepatutnya?
    Setiap kontrak perkhidmatan wajib menyatakan tempoh gaji yang tidak melebihi satu bulan. Sekiranya kontrak tersebut tidak menyatakan tempoh gaji tersebut, tempoh tersebut akan dikira sebagai sebulan.

    Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja-pekerja?
    Gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) dibayar tidak lewat dari hari ketujuh selepas tamat tempoh pembayaran gaji. Majikan boleh memohon melanjutkan masa pembayaran gaji daripada Ketua Pengarah Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.

    Bilakah gaji patut dibayar kepada pekerja apabila sesuatu kontrak perkhidmatan telah tamat tempohnya?
    Gaji patut dibayar kepada pekerja tidak lewat daripada hari penamatan kontrak.

    Bilakah gaji harus dibayar jika pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1) atau (2) atau Seksyen 14(3) Akta?
    Dalam situasi bila mana pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis, gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) hendaklah dibayar tidak lewat dari hari ketiga selepas kontrak ditamatkan.

    Bilakah gaji harus dibayar jika majikan telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1, (2) atau 14(1) Akta?
    Gaji patut dibayar kepada pekerja sebaik sahaja kontrak ditamatkan.

    Adakah sah dari segi undang-undang bagi majikan yang membuat potongan dari gaji pekerjanya?

    Majikan boleh membuat potongan dari gaji pekerjanya tanpa kebenaran pekerjanya dalam bentuk-bentuk berikut:-
    • Terlebih bayar dengan tidak sengaja dalam masa tiga bulan terdekat dari tempoh bulan pengurangan itu dibuat; 
    • Indemniti kepada majikan oleh pekerja di bawah Seksyen 13(1); 
    • Pendahuluan gaji tanpa sebarang faedah yang dikenakan kepada pendahuluan gaji tersebut; 
    • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sumbangan keselamatan sosial, cukai pendapatan serta lain-lain perkara yang dibenarkan oleh undang-undang.
    Apakah jenis pekerjaan yang mana wanita dilarang melakukannya di bawah Akta?
    Jenis pekerjaan di mana seseorang wanita dilarang melakukannya adalah seperti berikut:
    i. Kerja bawah tanah;
    ii.Bekerja di sektor perusahaan/pertanian di antara pukul 10.00 mlm sehingga 5.00 pagi tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh.

    Secara amnya, apakah faedah-faedah bersalin yang diberikan kepada pekerja-pekerja wanita di bawah Akta?

    Secara amnya, setiap pekerja wanita adalah layak untuk mendapat cuti bersalin untuk tempoh masa tidak kurang dari 60 hari berturut-turut (tempoh masa yang diperuntukkan) dan elaun bersalin adalah tertakluk kepada tempoh kelayakan.

    Bilakah sepatutnya cuti bersalin bermula?

    Cuti bersalin boleh bermula dalam tempoh tiga puluh hari sebelum bersalin.

    Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum pekerja layak mendapat elaun bersalin?
    Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-
    i. mempunyai kurang daripada lima orang anak yang hidup.
    ii. mesti bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin.

    Bagaimanakah elaun bersalin dikira?
    Elaun bersalin adalah berdasarkan gaji bulanan jika pekerja dibayar gaji mengikut kadar bulanan yang diterima. Elaun bersalin boleh juga dibayar mengikut kadar upah biasa harian atau mengikut kadar RM6.00 sehari, yang mana lebih tinggi untuk tempoh 60 hari berturut-turut.

    Bilakah elaun bersalin harus dibayar?
    Elaun bersalin hendaklah dibayar sebagaimana pembayaran gaji seolah-olah elaun itu adalah gaji dan hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji.

    Berapakah kelayakan cuti sakit seseorang pekerja dalam setahun?
    Kelayakan cuti sakit bergaji adalah seperti berikut:
    • Kurang dari 2 tahun perkhidmatan - 14 hari dalam setahun kalendar. 
    • lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 18 hari dalam setahun kalendar. 
    • 5 tahun dan lebih - 22 hari dalam setahun kalendar.
    Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat cuti sakit?
    Pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji bagi tempoh di mana pekerja berhak mendapat elaun bersalin atau menerima pampasan bagi ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

    Berapa lamakah tempoh notis penamatan kontrak perkhidmatan yang perlu majikan dan pekerja berikan?

    Sekiranya kontrak perkhidmatan tidak menetapkan tempoh notis, tempoh notis hendaklah seperti berikut:
    • 4 minggu notis – jika bekerja kurang daripada dua tahun; 
    • 6 minggu notis – jika bekerja 2 tahun atau lebih tetapi kurang daripada 5 tahun; 
    • 8 minggu notis – jika bekerja 5 tahun atau lebih.
    Adakah boleh bagi majikan atau pekerja menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis?
    Majikan atau pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis dalam keadaan berikut:- Dengan membayar indemniti ganti notis. Sekiranya berlaku apa-apa perlanggaran yang disengajakan terhadap syarat-syarat kontrak perkhidmatan.


    Apakah peraturan yang memperuntukkan kelayakan Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara (Termination and Lay-off benefits) yang diliputi di bawah Akta ini?
    Peraturan-peraturan Kerja (Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980

    Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat faedah pemberhentian kerja?
    Seseorang pekerja tidak layak menerima faedah penamatan kerja dan rentikerja sentara dalam keadaan-keadaan berikut:- bekerja kurang daripada 12 bulan sebelum tarikh penamatan. kontrak perkhidmatan telah diperbaharui atau kontraknya disambung semula dengan syarat-syarat perkhidmatan yang tidak kurang faedahnya daripada syarat-syarat dahulu. sekiranya majikan telah memberi notis penyambungan kontrak sebelum 7 hari daripada kontrak ditamatkan dengan syarat-syarat perkhidmatan tidak kurang faedahnya. Selepas menerima notis penamatan, pekerja meninggalkan tempat kerja tanpa persetujuan majikan atau membayar bayaran ganti notis.

    Berapakah kadar bayaran faedah penamatan kerja?

    Pekerja layak mendapat bayaran faedah penamatan kerja tidak kurang daripada:-
    • bekerja lebih daripada setahun tetapi kurang daripada dua tahun - 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan. 
    • lebih dua tahun tetapi kurang lima tahun - 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan. 
    • lima tahun dan lebih - 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
    Bilakah sepatutnya bayaran faedah penamatan kerja dibuat?
    Bayaran faedah penamatan kerja perlu dibayar dalam masa 7 hari selepas penamatan.

    Ahad, 15 Ogos 2010

    Kesatuan Sekerja Elektronik tingkatkan imej kerajaan (Arkib:01/05/2010)

    KUALA LUMPUR 1 Mei - Kelulusan kerajaan membenarkan penubuhan Kesatuan Sekerja Industri Elektronik dilihat dapat meningkatkan imej kerajaan di kalangan pertubuhan pekerja dalam dan luar negara.
    Isu ini telah diibaratkan seperti duri dalam daging bagi kerajaan sejak awal tahun 70-an apabila syarikat elektronik antarabangsa mula bertapak dalam negara.
    Para pekerja yang diwakili Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mengadakan tunjuk perasaan, membantah dan membuat aduan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sejak 40 tahun lalu ekoran keengganan kerajaan membenarkan pekerja sektor elektronik berpersatuan.
    "Pada setiap persidangan antarabangsa ILO, Menteri Buruh Malaysia telah dikritik dan disoal mengenai isu ini sementara di peringkat tempatan, perbahasan hangat turut berlaku pada setiap mesyuarat pekerja,” kata bekas Presiden MTUC, Datuk Zainal Rampak.
    Beliau berkata, kerajaan mengalami kesukaran dalam meyakinkan pergerakan pekerja antarabangsa dan tempatan bahawa kerajaan sentiasa melindungi golongan tersebut. - Bernama

    Jumaat, 13 Ogos 2010

    Perlembagaan dan Peraturan Kesatuan (Bahagian Kedua)

    PERATURAN 4: YURAN DAN TUNGGAKAN 

    1. Yuran Kesatuan adalah seperti berikut:-
         Yuran Masuk    - RM4.00 
         Yuran Bulanan - RM6.00

       Sebarang kenaikan yuran hendaklah diputuskan dengan undi rahsia menurut Peraturan 25.

    2. Yuran bulanan hendaklah dijelaskan sebelum tujuh haribulan pada tiap-tiap bulan.


    3. Seseorang ahli yang terhutang yuran selama tiga bulan berturut-turut akan dengan sendirinya terhenti menjadi ahli Kesatuan. Haknya dalam Kesatuan akan hilang dan namanya hendaklah dipotong dari Daftar Ahli/Yuran.


    4. Seseorang yang terhenti daripada menjadi ahli kerana tunggakan yuran boleh memohon semula untuk menjadi ahli menurut Peraturan 3(2).


    5. Majlis Eksekutif berkuasa menetapkan kadar bayaran yuran bulanan yang kurang atau mengecualikan buat sementara waktu mana-mana ahli daripada bayaran yuran bulanan atau sebarang kutipan atau yuran khas (jika ada):-
          a) Jika dia jatuh sakit teruk atau ditimpa kesusahan yang berat;
          b) dia dibuang kerja, diberhentikan atau diketepikan dan masih menunggu keputusan sesuatu perundingan 
              atau perbicaraan tentang pembuangan kerja, pemberhentian atau pengenepian itu; atau
          c) kerana sebarang sebab lain yang difikirkan munasabah dan wajar oleh Majlis Eksekutif.


    PERATURAN 5: BERHENTI MENJADI AHLI

    Seseorang ahli yang ingin berhenti dari Kesatuan hendaklah memberikan notis secara bertulis sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh berhenti kepada Setiausaha Agung dan hendaklah menjelaskan terlebih dahulu semua tunggakan yuran dan hutang (jika ada). Nama ahli berkenaan hendaklah dipotong dari Daftar Ahli/Yuran.

    PERATURAN 6: HAK AHLI

    Semua ahli mempunyai hak yang sama dalam Kesatuan kecuali dalam perkara-perkara tertentu yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan ini.


    PERATURAN 7: KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB AHLI

    1. Setiap ahli hendaklah menjelaskan yurannya menepati masa dan mendapatkan resit rasmi bagi pembayaran itu. Pembayaran yuran bulanan dalam tempoh masa yang ditetapkan adalah tanggungjawab setiap ahli dan bukannya tanggungjawab pegawai-pegawai Kesatuan.


    2. Setiap ahli hendaklah memberitahu Setiausaha Agung dengan segera apabila berpindah tempat kerja.


    3. Seseorang ahli yang menghadiri Mesyuarat atau Majlis Kesatuan hendaklah berkelakuan baik dan berhemah.


    4. Seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sebarang pekeliling atau dokument tentang Kesatuan tanpa mendapat kelulusan Majlis Eksekutif.


    5. Seseorang ahli tidak dibenarkan mendedahkan sebarang hal tentang kegiatan Kesatuan kepada orang yang bukan ahli atau kepada Pertubuhan lain atau pihak akhbar tanpa keizinan dari Majlis Eksekutif.


    PERATURAN 12: MAJLIS EKSEKUTIF

    1. Majlis Eksekutif (Exco) adalah badan yang menjalankan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Kesatuan termasuk hal pertikaian perusahaan dalam masa diantara dua Mesyuarat Agung Tigatahunan.


    2. Majlis Eksekutif juga dikenali sebagai pegawai-pegawai Kesatuan hendaklah terdiri daripada sebelas (11) orang ahli Kesatuan berjawatan seperti berikut:
    • Seorang Presiden,
    • Seorang Timbalan Presiden,
    • Seorang Setiausaha Agung,
    • Seorang Penolong Setiausaha Agung,
    • Seorang Bendahari dan
    • Enam (6) orang Ahli Majlis Eksekutif dimana tiga (3) daripadanya adalah wanita.

    PERATURAN 12(A): JAWATANKUASA TEMPAT KERJA (SHOP STEWARD)

    1. Majlis Eksekutif boleh menubuhkan Jawatankuasa Tempat Kerja (JTK) disebarang tempat bekerja untuk menjaga kepentingan ahli-ahli ditempat bekerja itu jika difikirkan perlu.


    2. Komposisi keanggotaan bagi tiap-tiap JTK hendaklah ditentukan oleh Majlis Eksekutif.


    3. Majlis Eksekutif hendaklah menggubal peraturan-peraturan kecil sejajar dengan peraturan-peraturan ini bagi menentukan cara-cara penubuhan, pembubaran, perlantikan anggota JTK dan tugas-tugas JTK.


    4. JTK akan bertugas sebagai penyelaras dan tidak mempunyai kuasa eksekutif selain daripada kuasa yang diberikan kepadanya secara bertulis oleh Majlis Eksekutif.


    (Peraturan-peraturan yang perlu sahaja dipaparkan)




    Khamis, 12 Ogos 2010

    Tuntutan Pengiktirafan (Recognition Claim)

    Tuntutan Pengiktirafan adalah suatu tuntutan untuk sesuatu Kesatuan Sekerja diiktiraf oleh Majikan sebelum ianya boleh membuat perbincangan terhadap Perjanjian Bersama (Collective Agreement @ Bargaining - CA/CB). Untuk mendapatkan pengiktirafan, Kesatuan Sekerja perlu mengisi Borang A - Peraturan Perhubungan Perusahaan, 1980 dan menghantar salinan tersebut kepada Majikan, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS). Setelah menerima Borang A, Majikan diperuntukkan selama 21 hari untuk menjawab diantaranya:
    • Memberikan Pengiktirafan; atau
    • Menolak Pengiktirafan dan menyatakan sebab penolakan kepada Kesatuan terbabit.
    Jika Majikan enggan memberikan Pengiktirafan, Kesatuan boleh membuat pengaduan kepada Ketua Pengarah JPP dalam tempoh 14 hari dari tarikh berakhirnya 21 hari tuntutan pengiktirafan. Tugas JPP untuk memproses tuntutan tersebut mengikut Akta dan Peraturan Undang-Undang setelah menerima pengaduan daripada pihak Kesatuan. Proses ini termasuk meminta Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja  memastikan  bahawa pihak Kesatuan berhak untuk mewakili pekerja Majikan tersebut. Jabatan Perhubungan Perusahaan akan memeriksa keahlian Kesatuan dengan menganjurkan proses UNDI SULIT bagi memilih sama ada Kesatuan atau Majikan. Menteri Sumber Manusia akan mengeluarkan arahan pengiktirafan kepada Kesatuan sekiranya Kesatuan Sekerja tersebut memperolehi majoriti langsung dari UNDI SULIT itu.


    (data diperolehi dari JPP: maklumat lanjut KLIK DISINI)

    Soalan dan Jawapan (13/8/2010)

    1. Apa tujuan KSIEWSSM diwujudkan?
    - KSIEWSSM diwujudkan bertujuan untuk membantu, membela, membimbing dan tunjukajar kepada para pekerja dalam sektor elektronik khususnya bagi mereka-mereka yang terbabit secara langsung dalam aktiviti pengeluaran dan pembaikan peralatan elektronik seperti komputer dan sebagainya.

    2. Adakah KSIEWSSM sah disisi undang-undang?
    - KSIEWSSM adalah suatu Kesatuan Sekerja yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia Malaysia. Dengan menggunakan nombor pendaftaran 1031, setiap pergerakan KSIEWSSM tertakluk dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262).

    3. Bagaimana untuk mendaftar sebagai AHLI KSIEWSSM?
    - Pemohon perlu memuat-turun borang pendaftaran yang terdapat dalam blog ini dan seterusnya menghubungi atau SMS nombor telefon wakil KSIEWSSM untuk pertanyaan lanjut. Wakil KSIEWSSM akan menetapkan tempat, tarikh dan masa yang sesuai untuk penerangan lanjut.

    4. Kenapa perlu untuk menghubungi wakil KSIEWSSM? Kenapa tidak cuma hantar borang permohonan AHLI ke alamat KSIEWSSM?
    - Kami tidak menggalakan permohonan melalui pos atau sebagainya. Adalah sebaiknya untuk menghubungi terus atau SMS no telefon wakil tersebut. Penerangan secara bersemuka adalah lebih jelas dan mudah difahami.

    5. Bagaimanakah nama AHLI KSIEWSSM disimpan? Adakah ianya selamat?
    - Setiap nama AHLI KSIEWSSM disimpan di Pejabat Berdaftar dan diklasifikasikan sebagai sulit. Hanya Majlis Eksekutif dan wakil KSIEWSSM sahaja dibenarkan untuk menguruskannya.

    6. Berapakah bayaran untuk menyertai KSIEWSSM?
    - Setiap AHLI baru mendaftar akan dikenakan dengan bayaran Yuran Pendaftaran sebanyak RM4 dan Yuran Bulanan yang pertama iaitu sebanyak RM6. Bayaran yuran pendaftaran ini adalah sekali sahaja iaitu semasa pendaftaran, manakala pembayaran yuran bulanan bolehlah dilakukan mengikut kesuaian dan kemampuan ahli. Ahli bolehlah membayar pada kadar setiap bulan mahupun mengikut 6bulan atau setahun.

    Isnin, 9 Ogos 2010

    Hanya naik gaji RM2 setahun (Metro- Edisi Johor - 12/6/2010)

    Building Strong Unions In Malaysian Electronics Sector

    (Dipetik dari laman web International Metalworkers Federation)



               MALAYSIA: Four newly formed electronics unions in Malaysia met with IMF representatives on July 21 to develop a strategy to assist in organizing and build strong unions in this largely unorganised sector.

    The Malaysian government banned the formation of any national unions in the electronics sector nearly four decades ago. It was in 1974 when IMF affiliate, the Electrical Industry Workers' Union, attempted to organise an American electronics company called Monsanto Electronics and this attempt failed not due to the workers rejecting the union but due to the company's threat of shifting production to other locations and the government succumbing to such threats. Since this time a ban on formation of unions in the electronics sector was imposed on the workers and ran a course of almost four decades. The IMF together with the Malaysian affiliates mounted several campaigns against the Malaysian government since then but did not succeed in lifting this ban. 

    In mid 2009 the Malaysian government allowed the formation of regional unions in the electronics sector thus allowing more than 250,000 workers from this sector to be unionized.  Arising from this four regional unions and one union to cater for the executive staff in electronics companies have been formed. Three of the four regional unions were registered and one is pending registration.  

    At the meeting IMF Assistant General Secretary Fernando Lopes stressed the importance of organizing the workers in this sector. Lopes said that workers in this sector need to be protected and it could only be done through the union. He also assured the participants of IMF assistance in organizing and union capacity building so that these unions could play an active and meaningful role in representing these workers who are often exploited.

    Bruno Periera, General Secretary of the Electronics Industry Employees' Union (Western Region) highlighted the plight and suffering of the workers in this industrial sector and sort active IMF involvement to organize the workers. He also highlighted that many TNCs in this sector are rushing to form company controlled in-house unions so as to obstruct organizing by the four newly-formed regional unions. This view was also shared by all the other regional unions. 

    IMF Regional Representative Arunasalam said that this is a new opening and certainly the IMF will work with the regional unions in collaboration with the Malaysian IMF affiliates and the MTUC to ensure that the workers are organised. He also assured the unions of IMF support if companies resort to union busting. 
     
     

    Perlembagaan dan Peraturan Kesatuan (Bahagian Pertama)

    PERLEMBAGAAN
    dan
    PERATURAN-PERATURAN


    PERATURAN 1 - NAMA DAN ALAMAT PEJABAT BERDAFTAR

    1. Nama Kesatuan Sekerja yang ditubuhkan menurut Peraturan-peraturan ini ialah KESATUAN SEKERJA INDUSTRI ELEKTRONIK WILAYAH SELATAN SEMENANJUNG MALAYSIA (KSIEWSSM) atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Industry Employees Union Southern Region Peninsular Malaysia (EIEUSRPM)(yang selepas ini disebut "Kesatuan")

    2. Pejabat berdaftar Kesatuan ialah di Bilik 1, Tingkat 3, 4P Susur 3, Jalan Tun Abdul Razak, 80200 Johor Bahru, Johor dan tempat mesyuaratnya ialah di pejabat berdaftar ini atau dimana-mana tempat lain yang ditetapkan oleh Majlis Eksekutif.

    PERATURAN 2 - TUJUAN


    1. Tujuan Kesatuan ini ialah untuk:
    • mengorganisasikan pekerja-pekerja yang disebut dibawah peraturan 3(1) sebagai ahli Kesatuan dan memajukan kepentingan mereka dalam bidang perhubungan perusahaan, kemasyarakatan dan ilmu pengetahuan.
    • mengatur perhubungan diantara pekerja dengan majikan bagi maksud melaksanakan perhubungan perusahaan yang baik, meningkatkan daya pengeluaran dan memperolehi serta mengekalkan bagi ahli-ahlinya; keselamatan pekerjaan, sukatan gaji yang adil dan sesuai serta syarat-syarat pekerjaan yang berpatutan.
    • mengaturkan perhubungan diantara ahli dengan ahli atau diantara ahli-ahli dengan pekerja-pekerja lain diantara ahli dengan Kesatuan atau Pegawai Kesatuan atau diantara Pegawai Kesatuan dengan Kesatuan dan menyelesaikan sebarang perselisihan atau pertikaian diantara mereka itu dengan cara aman dan bermuafakat atau melalui jentera penimbangtara menurut Peraturan 26 dan Peraturan 27.
    • memajukan kebajikan ahli-ahli Kesatuan dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan dengan cara sah disisi undang-undang.
    • memberikan bantuan guaman kepada ahli-ahli berhubung dengan pekerjaan mereka jika dipersetujui oleh Majlis Eksekutif.
    • memberi bantuan seperti pembiayaan semasa teraniaya atau semasa pertikaian perusahaan jika dipersetujui oleh Majlis Eksekutif.
    • menganjukan dan mengendalikan kursus, dialog, seminar dan sebagainya untuk faedah ahli-ahli Kesatuan khasnya dan para pekerja amnya.
    • mengendalikan urusan media cetak dan/atau elektronik untuk menjayakan tujuan-tujuan Kesatuan ini atau untuk kepentingan ahli-ahli Kesatua jika dipersetujui oleh Majlis Eksekutif.
    • menubuhkan Tabung Wang Kebajikan dan menggubalkan Peraturan-peraturan tambahan untuk mentadbir dan mengawal Tabung Wang itu jika dipersetujui oleh Mesyuarat Agung TigaTahunan.
    • secara amnya melaksanakan sebarang tujuan Kesatuan Sekerja yang sah disisi undang-undang.
    2. Tujuan yang dinyatakan dibawah Peraturan 2(1) hendaklah dilaksanakan menurut Peraturan-peraturan ini, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan undang-undang bertulis yang lain yang ada kaitan. 


    PERATURAN 3: AHLI KESATUAN
    1. Keanggotaan Kesatuan ini terbuka kepada semua pekerja yang diambil kerja atau bertugas dalam perusahaan pengeluaran dan/atau pembaikan electronic components and boards, computers and peripheral equipment dan magnetic and optical media kecuali mereka yang memegang jawatan pengurusan, eksekutif, sulit atau keselamatan. Pekerja-pekerja itu hendaklah berumur lebih dari 16 tahun dan mempunyai tempat kerjanya sama ada di Negeri Sembilan atau Melaka atau Johor tertakluk kepada syarat bahawa seseorang yang diuntukkan pendidikan dalam sesuatu sekolah, politeknik, kolej, universiti atau institusi lain yang ditubuhkan dibawah mana-mana undang-undang bertulis tidak boleh menjadi ahli Kesatuan.
    2. Permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dilakukan dengan mengisi borang yang ditentukan oleh Kesatuan dan menyampaikannya kepada wakil Kesatuan. Majlis Eksekutif boleh menolak sebarang permohonan untuk menjadi ahli mengikut budibicaranya tanpa memberi alasan.
    3. Sekiranya permohonan diluluskan oleh Majlis Eksekutif dan yuran masuk serta yuran bulanan yang pertama dijelaskan, maka nama ahli tersebut hendaklah didaftar dalam Daftar Keahlian sebagai ahli.

    Bersambung....

    Rabu, 4 Ogos 2010

    Kenapa Perlu Sertai Kesatuan?

    - Untuk kadar upah yang lebih baik
    Kesatuan akan menuntut kadar upah yang lebih baik dan setimpal dengan kerja yang dilakukan demi meningkatkan kualiti hidup dan menghadapi inflasi. Upah yang sepatutnya diterima oleh para pekerja mestilah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

    - Untuk kondisi, kesihatan dan keselamatan pekerjaan yang lebih baik
    Cuti, rawatan perubatan, penyelarasan waktu kerja, kerja lebih masa, faedah persaraan dan sebagainya yang lebih baik akan dirunding oleh Kesatuan. Jadikan tempat kerja anda selamat dan terjamin!

    - Untuk jaminan pekerjaan yang lebih baik untuk masa depan pekerja mahupun keluarga
    Status pekerjaan anda lebih terjamin dengan adanya Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) oleh Kesatuan dan Majikan. Maka anda boleh merancang masa depan anda dan keluarga dengan lebih yakin!


    - Untuk menghapuskan dasar diskriminasi
    Majikan telah mewujudkan pelbagai diskriminasi dan pilih kasih antara pekerja. Diskriminasi antara pekerja tetap dan pekerja kontrak atau asing, pilih kasih diantara kaum atau gender dan sebagainya adalah lumrah dalam suasana pekerjaan sekarang. Kerja yang sama sepatutnya mendapat upah dan faedah yang sama! Dan semua perlu diberi peluang tidak kira gender, kaum atau sebagainya!

    - Untuk mendapatkan pendidikan, khidmat nasihat dan guaman Kesatuan
    Kesatuan akan memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkenaan dengan hak pekerja dan bantuan guaman kepada ahli sekiranya berlakunya pemecatan kerja yang tidak adil atau masalah-masalah dalam pekerjaan.

    Ahad, 1 Ogos 2010

    APA ITU KESATUAN SEKERJA INDUSTRI ELEKTRONIK?

    Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KIEWSSM) adalah satu organisasi dari pekerja untuk pekerja demi pekerja yang mendaftar dan diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Kesatuan membentuk satu kuasa yang kukuh dan mandiri demi menjaga hak ekonomi dan kebajikan para pekerja dari majikan.

    Semua pekerja yang diambil bekerja atau bertugas dalam industri elektronik di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka layak menyertai KSIEWSSM KECUALI bagi mereka yang berjawatan dalam bahagian pengurusan, eksekutif, sulit atau keselamatan.