Untuk pertama kalinya didalam sejarah Kesatuan Sekerja diperingkat wilayah, satu majlis bagi menandatangani perjanjian bersama telah diadakan bagi menandakan termeterainya ikatan persefahaman diantara Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) dan juga pengurusan STMicroelectronics. Berlangsung di Hotel Classic Muar, perjanjian ini telah ditandatangani secara bersama oleh pihak pengurusan STMicroelectronics, wakil KSIEWSSM dan wakil pekerja. Turut hadir didalam majlis ini adalah Penolong Pengarah JPP dan Penolong Pengarah JTK Muar.
Encik Hwang Jindoo (Pengurus Besar STMicroelectronics)
Dalam ucapan ringkas dari Pengurus Besar STMicroelectronics, Encik Hwang Jindoo (atas) telah memberikan pujian terhadap pasukan perundingan dari kedua-dua pihak yang telah berjaya menyelesaikan perkara yang berbangkit didalam masa yang singkat. Tambah beliau, pasukan ini telah menunjukkan semangat yang positif dalam menjayakan dan menyelesaikan rundingan. Beliau juga melahirkan penghargaan terhadap kejayaan rundingan ini dan berharap agar ianya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing pekerja serta menaikkan prestasi syarikat.
Mohd Salleh - Wakil KSIEWSSM
Sementara itu, dalam ucapan dari wakil KSIEWSSM, Sdr Mohd Salleh (atas) juga melahirkan penghargaan terhadap pihak pengurusan STMicroelectronics kerana perundingan ini telah berlangsung dengan baik dan harmoni. Menurut beliau, perjanjian ini merupakan satu titik penting dalam sejarah Kesatuan dimana ianya akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja di dalam Malaysia oleh Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Malaysian Employer Federation (MEF) tetapi juga bagi International Federation of Chemical, Energy, Mine and General Workers' Unions (ICEM), International Metalworker’s Federation (IMF) dan International Labour Organization (ILO) diperingkat antarabangsa. Tambah beliau, ini adalah suatu perkembangan yang amat baik bagi kedua-dua pihak dalam mempertahankan hubungan baik antara pekerja serta majikan. Perjanjian bersama ini juga dapat mewujudkan situasi “sama-menang” bagi kedua-dua belah pihak.
Tuan Hj Shahrudin - Penolong Pengarah JPP Muar
Dalam pada itu, Tuan Hj Shahrudin (kanan) dari Jabatan Perhubungan Perusahaan, Muar juga menghargai kerjasama kedua-dua pihak dalam menjalankan tanggungjawab perundingan tanpa melibatkan pihak-pihak lain. Ini menunjukan bahawa terdapat persamaan kefahaman dan sikap muafakat keduanya, ujar beliau lagi. Beliau berharap agar konsep perundingan sebegini akan menjadi contoh yang baik bagi syarikat dan kesatuan sekerja yang lain dan wajar diikuti. Tambah beliau, ia juga bagi menjamin kestabilan kerja, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sama ada pekerja dan syarikat malah ianya merupakan kejayaan yang dicapai secara bersama.
Hwang Jindoo, Naginder Singh (HR Director) dan CL Ser (Financial Controller) sedang menandatangani perjanjian bersama
Wakil-wakil KSIEWSSM (dari kiri: Sdr Faidzul Zainal (Presiden KSIEWSSM), Sdr Rizuan Zainal (S/U Agung KSIEWSSM) serta wakil worksite committee Sdr. Mahdar dan Sdri Suhaily.
Penyerahan Perjanjian Bersama bagi kedua-dua pihak (STMicroelectronics dan KSIEWSSM)
Kemuncak majlis ini telah berlangsung majlis tandatangan kedua-dua pihak dan disaksikan oleh Tn Hj Shahrudin beserta para hadirin yang lain. Diantara kandungan perjanjian bersama adalah;
Peruntukan perlindungan Insurans bagi pekerja serta bantuan kilat bagi pekerja yang meninggal dunia kepada waris,
Pertambahan cuti berbayar,
Pertambahan jumlah caruman oleh majikan,
Sumbangan syarikat kepada pekerja yang mendapat cahaya mata,
Kenaikan gaji bagi tahun 2011 yang sama dan adil bagi kesemua operator dan juruteknik.
Alam pekerjaan biasanya akan terdiri dari pekerja dan majikan. Pekerja menghabiskan sepanjang masa mereka untuk mendapat upah dari majikan dan dalam pada itu majikan juga terikat untuk memenuhi tuntutan kebajikan pekerja mereka antaranya adalah caruman KWSP, perlindungan insurans, kemudahan pengangkutan dan sebagainya seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan atau sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ini adalah perkara biasa yang sering berlaku pada setiap perusahaan di Malaysia.
Malangnya, seperti suatu penyakit atau wabak, apabila majikan mula bermainkan minat yang mendalam terhadap “kehadiran” pekerja secara kontrak. Atas alasan bahawa pekerja keluar dan masuk (berhenti) amat tinggi, sukar untuk “merekrut” pekerja baru, kos yang tinggi, pekerja memilih kerja dan sebagainya, majikan sering mendapatkan “bekalan” dari agen pekerja kontrak. Dalam pada itu, dengan kehadiran pekerja kontrak, majikan tidak perlu lagi memikirkan untuk memenuhi setiap kebajikan pekerja seperti KWSP, insurans dan sebagainya. Ini adalah suatu peluang baik untuk majikan “melepaskan tengkuk” dari bertanggungjawab terhadap pekerja mereka. Majikan ini boleh diumpamakan majikan label iaitu pekerja kontrak hanya bekerja dibawah label sahaja tetapi mereka mempunyai majikan sebenar iaitu AGEN.
Sedar atau tidak, berikut adalah perkara negatif tentangnya dan impak terhadap mereka:
Pekerja kontrak tidak dapat layanan yang sama seperti pekerja tetap. Status perjawatan mereka sebenarnya berada dalam keadaan tidak stabil, tiada jaminan dan tidak kekal. Pada bila-bila masa sahaja mereka ini boleh diambil bekerja dan diberhentikan mengikut kehendak majikan label (majikan utama bukan agen).
Ada kes menunjukkan bahawa ada dikalangan pekerja kontrak yang langsung tidak dilindungi insurans!. Bagaimana jika pekerja tersebut mendapat kemalangan di tempat kerja? Apakah majikan label akan bertanggungjawab? Jika benar, pekerja kontrak ini tidak dilindungi insurans, maka ini menyamai seperti amalan perhambaan (hamba abdi).
Ada juga kes bahawa pekerja kontrak ini langsung tidak dicarum untuk simpanan hari tua mereka (KWSP). Ini amat merugikan kerana banyak masa terbuang akibat tidak mencarum untuk hari tua mereka semasa mereka bekerja. Tidak kurang juga nilai caruman pekerja dipotong atau dikurangkan oleh agen kerana itulah pertambahan imbuhan kepada agen pekerja tersebut. Perkara ini sebenarnya salah dan boleh diambil tindakan tetapi ianya seperti menjadi perkara biasa bagi pekerja kontrak dan agen tersebut.
Pekerja kontrak sering mengadu bahawa pembayaran gaji oleh agen tidak tentu masa, kurang dari sepatutnya dan tidak telus. Ini kerana ada agen yang tidak menyediakan slip pembayaran gaji dengan betul kepada pekerja kontrak tersebut. Apabila hal ini timbul, secara tidak langsung, majikan label mudah lepas tangan dengan menyatakan bahawa bayaran telah dilakukan kepada agen.
Pekerja kontrak tidak layak untuk mendapat kemudahan yang dirunding oleh Kesatuan Sekerja dan Majikan. Ini adalah sesuatu yang merugikan kepada pekerja tersebut. Lagi malang apabila jika berlaku pertikaian pekerja kontrak dengan majikan label, mereka ini tidak akan diwakili Kesatuan Sekerja malah agen juga terpaksa menurut perintah majikan label demi menjaga “bisnes” mereka.
Gaji pekerja kontrak mungkin lebih tinggi dari pekerja tetap disebabkan ada yang tidak mencarum KWSP. Tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak dapat menikmati imbuhan tambahan seperti bonus, perkongsian keuntungan, pampasan dan sebagainya.
Perjanjian kontrak hanya berlaku diantara majikan label dan agen. Tiada pekerja kontrak terlibat atau terkandung didalamnya. Biasanya didalam kontrak, agen akan “membekalkan” sejumlah pekerja kontrak kepada majikan label untuk tempoh tertentu, menggantikan pekerja kontrak yang berhenti dan bertanggungjawab jika pekerja kontrak ada masalah disiplin. Ini amat menguntungkan hanya kepada agen dan majikan label. Manakan tidak, mereka seolah-olah menjual beli tenaga pekerja kontrak tanpa pekerja itu sedari.
Salah satu cara untuk mengawal kadar gaji atau upah dipasaran. Majikan label beranggapan bahawa kadar upah yang ditawarkan oleh pekerja kontrak adalah murah dan dalam masa yang sama pekerja kontrak pula anggap gaji mereka adalah tinggi dari pekerja tetap sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka telah memperjudikan masa tua mereka dengan tidak mencarum. Akhirnya kadar gaji/upah ini hanya berputar disekitar RM500 hingga RM600 sahaja.
Rasanya banyak lagi perkara negatif untuk dibuat penilaian. Ini adalah satu epidemic terhadap sektor pekerjaan. Sistem yang diamalkan ini umpama jualbeli manusia tanpa pekerja itu sedar dan mempersetujuinya. Dalam pada itu, seperti yang pernah dikeluarkan dalam blog ini juga, terdapat usul untuk diperbentangkan di Parlimen untuk “menghalalkan” urusan “jualbeli” ini melalui agen. Dalam erti kata lain, kewujudan agen atau agensi pembekalan pekerja kontrak ini akan disahkan mengikut undang-undang dan dianggap majikan sedangkan majikan label boleh berdondang sayang.
Peranan kita sebagai pekerja, perlulah mengelak untuk menjadi pekerja kontrak dan dalam masa yang sama, marilah kita bersama-sama mengesa Kerajaan yang ada sekarang memantau keadaan ini. Cegah sebelum parah. Hari ini pekerja kontrak untuk dikalangan pekerja bawahan atau operator dan tidak mustahil bahawa akan datang pasti akan ada pekerja kontrak untuk jawatan pertengahan dan atas. Pekerja sendiri yang tentukan. Pokok pangkalnya isu ini berlaku apabila tiada penetapan gaji minimum untuk pekerja swasta. Apakah ini dinamakan “pemerdagangan manusia yang dihalalkan” oleh mereka yang berkuasa?
Kesatuan Sekerja (Union) adalah suatu perkara yang mungkin dianggap amat sensitif dikalangan pekerja. Malahan ada pula yang secara lantang menyatakan bahawa mereka akan kehilangan mata pencarian jika menyertainya. Ada pula yang menganggap Kesatuan Sekerja ini adalah suatu keperluan apabila timbul masalah jika tiada masalah, maka tidak ada pun tidak mengapa. Kenapa?
Sejarah selalu mengajar kita pelbagai perkara terutama tentang kehidupan. Keadaan kehidupan biasanya diibarat sebagai roda berpusing. Jika berada diatas, maka “selesa” kehidupan kita begitulah sebaliknya bila berada dibawah. Pernahkah kita berada dikedua-dua situasi tersebut atau orang disekeliling kita mengalaminya? Kita selalu diajar supaya jangan lupa diri bila berada diatas dan sentiasa beringat.
Tentunya kita ingat semasa keadaan ekonomi merudum sekitar tahun 1997, 2007 dan sebagainya. Sektor perkilangan mengalami pelbagai masalah sehinggakan ada diantara mereka mengambil tindakan drastik dengan “membuang” pekerja, menghadkan pengeluaran dan perbelanjaan, memotong peruntukkan dan sebagainya. Syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai cawangan diserata dunia seperti Seagate, Intel, Flextronics, Jabil, Hewlett Packard dan banyak lagi telah mencatatkan pembuangan pekerja mereka akibat tekanan ekonomi. Jangan dianggap nama-nama besar seperti ini mempunyai rekod bersih dan boleh dijadikan majikan terbaik kerana sistem kapitalis tidak akan sedikitpun memikirkan kebajikan pekerja mereka bila mengira keuntungan yang mereka perolehi.
Jangan menjadi dangkal akal apabila mengikut situasi semasa. Keadaan tidak mendesak, tiada masalah ditempat kerja, gaji yang baik dan sebagainya menjadikan alasan untuk tidak memerlukan Kesatuan Sekerja. Perlu diingat hari ini kita diatas, bila pula kita dibawah? Atau bila ditimpa masalah baru hendak mencari pertolongan ibarat “kapal hendak karam, baru sibuk mencari pelampung”. Itu sudah terlambat dan diri sendiri yang rugi.
Takut?. Apakah jika kita ingin menuntut hak dan kebajikan kita sendiri pun akan timbul rasa takut? Takut perlulah bertempat dan jangan sebarangan. Melalui Kesatuan Sekerja, anda akan sedar hak anda sebagai pekerja dan juga manusia. Sedangkan selama ini, kaum pemodal (syarikat) hanya tahu mengejar keuntungan dan mengabaikan kebajikan anda. Apakah anda akan takut jika mengetahui bahawa syarikat tempat anda bekerja tidak menyediakan atau melindungi pekerja mereka dengan insurans? Apakah anda akan takut jika mengetahui bahawa dalam beberapa bulan akan datang, akan ada pekerja (mungkin termasuk anda) terpaksa diberhentikan kerana syarikat hendak mengurangkan kos? Apakah anda akan takut jika anda dituduh melakukan kesalahan dalam perusahaan dan dipaksa berhenti tanpa anda boleh mempertahankan diri? Jika semua perkara ini akan berlaku kepada anda sedikit masa lagi, dan semasa itulah anda cuba untuk memohon bantuan Kesatuan ataupun mana-mana pihak, mungkin tindakan anda agak terlambat.
Masalah tempat kerja datang tidak kira waktu. Hari ini, esok, bulan depan atau tahun depan pasti akan timbul masalah. Contoh yang nyata apabila tiada kerja lebih masa (OT) diperuntukkan atau ianya dikawal, tiada bonus atau kenaikan gaji, sengketa antara rakan sekerja ataupun penyelia, elaun dan peruntukan dikawal dan sebagainya telah banyak dialami oleh pekerja. Sedar atau tidak, anda sendiri yang tentukan.
Kesimpulannya, wujudnya Kesatuan Sekerja adalah:
untuk membela pekerja yang ditindas;
untuk memberikan kesedaran kepada pekerja keseluruhannya;
memberi bantuan dan sokongan dalam berhadapan dengan majikan;
mewujudkan suasana harmoni diantara majikan dan pekerja;
mewujudkan situasi “menang-menang” majikan dan pekerja;
mencari penyelesaian dan keadilan kepada pekerja dan banyak lagi…
Sebagai pekerja, informasi ini perlu kita ketahui. Mari kita belajar dari sejarah. Jangan menutup peluang dan ruang untuk diri kita sendiri. Kelak , diri sendiri, keluarga dan masyarakat akan rugi dan tiada apa yang tinggal. Beringatlah, kita bukanlah yang membuat keputusan tetapi kita sentiasa terdedah dengan keputusan majikan yang tidak wajar. Kesatuan adalah untuk pekerja dan ia perlu wujud serta disokong oleh pekerja itu sendiri.
Isu "merasionalisasikan" subsidi menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini. Dengan menggunakan ayat rasional ini sahaja telah menaikkan harga gula sebanyak 20sen. Kini ada pula ura-ura untuk menaikkan harga minyak popular dikalangan rakyat biasa iaitu RON95 dan belum reda hal ini, secara tiba-tiba pula wujud tarif elektrik. Nampaknya peningkatan harga barangan tidak dapat dielakkan lagi. Begitulah rasionalnya dengan penggurangan subsidi.
Memang tidak dinafikan, kebanyakan harga barangan adalah diluar kawalan. Dan setiap peningkatan harga diperingkat global akan menyebabkan beban tanggungan kerajaan terhadap subsidi semakin bertambah. Tetapi adakah rakyat khususnya pekerja mampu menyerap kos yang sengaja "dilepaskan" oleh kerajaan? Jika kerajaan tahu menggunakan perkataan "rasionalisasi subsidi" dan agak molek kiranya kerajaan juga menggunakan perkataan yang sama untuk menjadi "rasionalisasi gaji". Adakah rasional jika gaji pekerja khususnya bawahan pada kadar RM500 ~ 720 sebulan? Peningkatan kos dijangkakan akan berada disekitar 10 hingga 20% dari harga asal. Ini bermakna masyarakat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk barangan yang sama sedangkan kadar kenaikan gaji hanya sekitar 2.5 - 5% setahun!!. Tentunya ini tidak rasional.
Adalah lebih baik sebelum Kerajaan menetapkan untuk menarik semula pemberian subsidi, mereka perlulah membuat keputusan dalam menetapkan kadar gaji minimum dengan kadar segera. Jangan hanya tahu untuk menetapkan tarikh untuk berbincang tetapi semua kos telah dinaikkan. Cadangan asal untuk RM900 gaji minimum dan elaun COLA untuk pekerja swasta perlu difikirkan dan disegerakan. Pekerja sudah bosan mendengar perbandingan harga barangan di Malaysia dan di negara lain lebih murah dijadikan alasan.
Sebelum Rasionalisasikan Subsidi, sila Rasionalisasikan Gaji Pekerja!!!
Sejak akhir-akhir ini, duniaku terasa amat sempit dan bagaikan dihimpit berterusan akibat peningkatan kos kehidupan. Aku tidak bimbang dengan kenaikan harga minyak 97 kerana aku tahu, kenderaan untuk aku pergi mencari rezeki ini masih boleh bergerak dengan minyak 95 walaupun ianya dikhabarkan berkualiti rendah dan bakal dinaikkan jua. Tetapi apa yang boleh aku buat? Aku tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan apa yang harus aku tuang dan apa yang harus aku guna sehari-hari. Biarlah mereka yang berkuasa tentukan. Tetapi yang paling aku runsingkan apabila mereka ini juga telah dan akan membuatkan harga diesel, gula, tepung, beras dan sebagainya naik. Ini akan menyebabkan nilai wang yang aku perolehi dari gaji aku makin susut. Apa guna aku merungut walaupun penat seharian membanting tulang? Siapa yang akan mendengarnya dan membantuku? Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.
Aku menjadi tidak keruan bila congakkan perbelanjaan harian aku akan meningkat tidak lama lagi. Anak dan isteri dirumah perlu makan, pakai dan sebagainya. Aku ini ketua keluarga, hendak tak nak terpaksa juga fikir mencari penyelesaiannya. Perlukah aku tunggu sehingga kenaikan gaji yang tidak seberapa? Apakah perlu aku mencari pendapatan sampingan? Itu mungkin mustahil, sebab hampir seharian aku membanting tulang ditempat kerja dan mana mungkin aku bisa memerah tenaga selanjutnya. Aku amat penat. Penat fikiran, penat seluruh tubuh malah penat segalanya. Penghidupan aku tetap sama. Kini aku dihimpit lagi. Nampaknya semakin berat beban yang aku tanggung. Aku memang tidak bisa menyimpan, rezeki ku ini selalunya tidak sempat menjengah ke hujung bulan. Aku selalu tebalkan muka untuk meminjam. Itulah rutin bulanan ku sehingga bulan mengambang penuh. Tapi aku terpaksa. Terpaksa mengharapkan belas rakan. Aku tidak tau bagaimana masa akan datang. Tetapi aku tahu esok tetap hari yang sama bagiku. Tetapi tiada apa yang mampu aku lakukan kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.
Aku sering mengharapkan majikan prihatin dengan masalah ku, rakan-rakan prihatin dengan masalahku, wakil rakyat prihatin dengan masalahku dan kerajaan prihatin dengan masalahku. Tetapi aku sedar hakikat pemodal tidak mahu rugi, rakan tidak mahu beban, wakil rakyat hanya mahu undi dan kerajaan hanya mahu kuasa. Tidak dapat mengharap mereka-mereka ini untuk membantuku. Kepura-puraan mengatasi segalanya. Media hanya ghairah untuk memaparkan isu sensasi. Aku tidak mahu isu politik, aku tidak suka isu moral, tetapi aku mahu mereka papar isu pekerja seperti aku. Penat aku mengais tetapi masih tidak cukup. Sensasikan cerita ku ini? Mungkin tidak. Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.
Aku perlu teruskan hidupku. Walaupun susah dan jerih, tetapi aku perlu juga mencari rezeki. Rezeki untuk anak, rezeki untuk isteri dan rezeki untuk sendiri. Aku juga sudah bosan, sudah bosan dengan janji para hipokrit. Mana gaji minimum ku? Mana pembelaan ku? Sudah bertahun aku menunggu dan janji para hipokrit bersilih ganti bergalang ganti. Apa guna bergelar bangsa Malaysia, melayu, cina atau india sekalipun, tetapi gagal membela anak Malaysia! Walaupun sedih tetapi aku akur. Aku terpaksa mengikat perut. Menganda tenaga yang ada. Kerana aku tau itulah yang bakal aku dapat seperti biasa. Tak mahu menunggu janji ataupun memang sudah suratan takdir bahawa hidup dan matiku sebagai buruh. Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.
Pekerja Marhaen...
Catatan ini dikirimkan oleh "Pekerja Marhaen" melalui email Kesatuan.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk menemubual Setiausaha Agung KSIEWSSM, saudara Rizuan Bin Zainal (gambar). Ikuti temubual berikut:
Blogger Kesatuan (BK): Boleh saudara terangkan serba sedikit tentang diri saudara? Rizuan Zainal (RZ): Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pembaca blog Kesatuan Sekerja. Semoga informasi yang dipaparkan didalam blog ini akan memberikan inspirasi dan pengalaman penting kepada kaum pekerja khasnya sektor elektronik. Saya telah bergelumang di alam pekerjaan selama hampir 20 tahun dan kiranya saya ini berada digenerasi kedua dalam sektor elektronik. Saya katakan bahawa generasi pertama iaitu generasi elektronik semenjak 1970-an telahpun kebanyakannya bersara dari dunia pekerjaan dan kamilah yang mewarisi pekerjaan mereka. Pengetahuan saya berkaitan dengan Kesatuan Sekerja banyak dipelajari dari mereka-mereka yang lebih dahulu mencuba untuk mewujudkan Kesatuan bagi sektor elektronik semenjak dahulu lagi. Alhamdullilah, generasi kedua ini agak terbuka untuk menerima kehadiran Kesatuan Sekerja walaupun sering ditakutkan oleh majikan. Nampaknya mereka ini celik fikiran dalam segi penyertaan Kesatuan Sekerja.
BK: Saudara adalah salah satu watak penting dalam kepimpinan KSIEWSSM. Apakah halatuju dan misi saudara terhadap KSIEWSSM? RZ: Sebenarnya kami di KSIEWSSM amat mengharap agar dapat bersama-sama dengan pekerja untuk mencapai misi negara maju dalam Wawasan 2020. Ia juga bersangkut paut dengan matlamat untuk mendapatkan masyarakat berpendapatan tinggi dan suasana kerja yang lebih mesra antara majikan dan pekerja bawahan mereka. Ini sangat penting kerana ianya boleh meningkatkan productiviti dan memajukan sosio ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Disamping itu juga, KSIEWSSM akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan terhadap kaum pekerja dan ahli kami sama ada dari pihak dalam atau luar negara.
BK: Apa pandangan saudara terhadap situasi pekerja elektronik di Malaysia kini? RZ: Kebanyakannya masih tidak banyak berubah dan ada yang masih ditakuk lama. Jurang diantara majikan dan pekerja sangat jauh serta kurang suasana harmoni antara mereka. Banyak berlaku penindasan yang membuatkan pekerja merasa terkongkong dengan suasana dan waktu kerja yang panjang. Kadar gaji juga tidak berpatutan dengan takat ekonomi masa kini. Faktor keselamatan ditempat kerja juga, ada majikan yang tidak mengambil berat. Malah kadang-kala mereka mematuhi undang-undang keselamatan tempat kerja hanya untuk memastikan lesen perusahaan mereka tidak terjejas. Lagi teruk apabila majikan tidak melaporkan kepada pihak berwajib jika berlaku kemalangan di tempat kerja mereka dan pekerja yang dianggap cuai itu dipecat!. Majikan juga dikesan sering memaksa pekerja mereka untuk bekerja melebihi dari waktu dan hari bekerja yang sepatutnya.
BK: Apakah pendekatan yang saudara lakukan untuk melonjak KSIEWSSM menjadi penaung dan pelindung utama bagi pekerja-pekerja sektor elektronik di bahagian selatan Malaysia? RZ: Dalam hal ini, kami di KSIEWSSM amat mengalu-alukan kesemua warga elektronik tidak kira bangsa, kaum, agama atau latarbelakang politik mereka untuk bersama-sama dengan kami, saling bantu-membantu satu sama lain untuk mengubah rentak dan suasana sektor elektronik. Ini adalah penting supaya dengan adanya pendedahan dan pengetahuan ini, membuatkan kita celik tentang hak pekerja dan dihormati majikan. Dengan keahlian yang ramai, kita akan saling berbincang untuk kepentingan bersama antara pekerja dan majikan. Secara automatiknya dengan kekuatan yang ada, ianya akan menjadi pelindung yang kukuh untuk kaum pekerja. Perlu diingatkan bahawa kekuatan sesebuah kesatuan itu adalah datang dari sokongan pekerja (keahlian) itu sendiri.
BK: Apakah pendirian KSIEWSSM terhadap gesaan untuk penetapan gaji minimum pekerja swasta? RZ: Sepatutnya pihak Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat itu kerana atas dasar untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kita sedang mengharungi 2011, bermakna hanya tinggal lagi 9 tahun lagi dan kini gaji operator pengeluaran wanita, misalannya hanya sekitar RM400-RM600 sebulan. Lebih malang lagi, para majikan melalui persatuan mereka (MEF) secara terang-terangan membantah dan memperlecehkan usul gaji minimum ini. Malaysia menetapkan paras kemiskinan pendapatan adalah dibawah RM720 dan ini amat menyedihkan kerana majoriti pekerja berpendapatan pada kadar tersebut. Dengan kos kehidupan rata-rata semakin meningkat saban bulan tetapi ianya tidak seiring dengan kadar kenaikan gaji para pekerja swasta. Rasanya pihak kerajaan perlu merealisasikan slogan "Rakyat didahulukan".
BK: Bagaimana pula pandangan saudara terhadap kerenah "birokrasi" dalam jabatan kerajaan yang sedang dihadapi oleh KSIEWSSM? RZ: Terus-terang saya tegaskan bahawa perkara ini amat mendukacitakan. Sepatutnya peranan Kerajaan melalui jabatan mereka bersama-sama membantu rakyat dengan lebih terbuka, bekerja dengan efisen dan cekap. Tidak guna jika mewar-warkan imej baru tetapi tahap pemikiran mereka masih dengan yang lama dan penuh birokrasi dan akhirnya merugikan rakyat iaitu pekerja itu sendiri. Saya rasa jabatan kerajaan tersebut perlu memahami apa itu produktiviti sebenar. Pekerja awam dan swasta adalah sama dan jangan anaktirikan pekerja swasta dan silap haribulan ianya akan merugikan kerajaan itu sendiri.
BK: Apa pandangan saudara terhadap barisan kepimpinan MTUC masa kini dan bagaimana pula pada pandangan saudara hala tuju mereka bersama dengan Kesatuan Gabungan? RZ: Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan MTUC yang terdahulu khususnya Sdr. Syed Shahir kerana dengan inisiatif mereka maka Kesatuan Sekerja Elektronik dapat diwujudkan. Tahniah juga pada barisan baru ini. Pada pandangan saya, walaupun mereka ini baru mengambil alih peranan dalam MTUC, tetapi saya lihat MTUC seperti lemah dan tidak bertaring. Perlu diingatkan bahawa pimpinan sekarang juga bukan calang-calang orang, kerana mereka adalah wakil dari Kesatuan gabungan mereka dalam MTUC. Sepatutnya dengan keadaan sekarang ini, MTUC lah yang banyak berbicara dan berjuang dengan lantang membela pekerja, membantu kesatuan yang masih baru untuk kebaikan bersama. Bercakap dan berbincang tetapi tidak dilaksanakan seperti tiada guna. Halatuju bersama Kesatuan Gabungan masih nampak samar-samar. Banyak agenda tersembunyi seperti yang berlaku dalam MTUC cawangan Johor. KSIEWSSM sehingga kini pun tidak mengetahui perkembangan tersebut walaupun kami ini Kesatuan Gabungan yang sah. Ini masalah utama berlaku dalam MTUC.
BK: Isu "politik dalam MTUC" sentiasa menjadi isu sepanjang masa, khususnya membabitkan orang politik. Apa pandangan saudara terhadap situasi ini? RZ: Ini adalah soalan yang menarik dan perlu kita terbuka terhadapnya. Undang-undang berkaitan pekerjaan dan pekerja dibuat di Parlimen, siapa yang berada di Parlimen jika bukan orang politik? Dahulu sdr. Zainal Rampak dilantik menjadi Senator Dewan Negara atas kapasiti beliau sebagai Presiden MTUC tetapi adakah cukup seorang dua untuk membuat undang-undang pekerja? Ini bermakna, ahli politik adalah penting untuk kita bicarakan tentang undang-undang pekerjaan untuk kepentingan pekerja. Kita tidak hanya duduk berbincang sehingga bertahun-tahun tetapi tiada apa yang dapat digubal kerana tiada kuasa politik. Disesetengah negara seperti Britain atau Australia, terdapat Parti Buruh yang mewakili kaum pekerja, tetapi di Malaysia, Parti Buruh seperti yang kita tahu telah diharamkan pada tahun-tahun 60an dahulu. Kini kita, kaum buruh hanya bersandarkan pada parti-parti politik yang ada untuk mengubal undang-undang pekerja. Amat merugikan kerana banyak ahli politik kini tidak begitu faham terhadap alam pekerjaan terutama pekerja swasta dalam mengubal undang-undang tersebut. Seperti seorang doktor diberikan tanggungjawab untuk membaiki kenderaan, apa perlu dia lakukan? Tiada kefahaman yang sebenar.
BK: Didalam hal ini, bagaimana sikap dan digaris mana KSIEWSSM berdiri? RZ: KSIEWSSM mengambil sikap neutral dalam hal ini. Kami merasakan bahawa kepentingan pekerja perlu didahulukan. Kami titik beratkan keadilan lebih penting dari politiking. Diakui bahawa ada dikalangan Exco dan Pegawai mahupun ahli-ahli menjadi pendokong dan penyokong kuat parti politik sama ada kanan atau kiri, tetapi semua itu kami tolak ketepi kerana faktor ahli dan kepentingan pekerja. Tetapi itu tidak bermaksud kami tidak boleh bekerjasama dengan para politiking, dengan syarat utama dipenuhi iaitu PEKERJA.
Dalam sikap neutral ini dan juga masih baru, memang agak sukar untuk berdiri tegak diawal penubuhan, tetapi Alhamdulillah, KSIEWSSM akan sentiasa mengatur strategi untuk mara kehadapan bersama memperjuangkan nasib pekerja.
BK: Apakah matlamat KSIEWSSM seterusnya di peringkat Wilayah, Nasional dan Antarabangsa? RZ: Kita masih baru dan masih banyak perlu dipelajari dari mereka-mereka yang berpengalaman. Dengan semangat untuk menjadikan KSIEWSSM sebagai satu Kesatuan yang kuat dan benar-benar membela nasib pekerja elektronik dan disenangi oleh semua peringkat di masa hadapan. KSIEWSSM juga merancang untuk bersama-sama dengan KSIEWBSM, KSIEWUSM dan KSIEWTSM untuk merealisasikan penubuhan Kesatuan Elektronik diperingkat Nasional (Pengabungan). Dalam pada itu, KSIEWSSM merancang untuk bersama-sama dengan Pertubuhan Sekerja Antarabangsa seperti IMF, ICEM dan sebagainya untuk memperkuatkan struktur Kesatuan Sekerja.
BK: Akhir kata saudara, apa pesanan saudara terhadap pekerja khasnya pekerja elektronik? RZ: Di kesempatan ini, saya ingin menggesa semua kaum pekerja di negeri Johor, Melaka dan N.Sembilan khususnya pekerja elektronik untuk bersama-sama menyertai KSIEWSSM. Tidak perlu anda untuk menunggu sehingga timbul masalah baru hendak mencari (sertai) Kesatuan. Apa yang saya dapat katakan jika ini berlaku, ia sudah terlambat. Apa perlu rasa takut? Apakah untuk mempertahankan hak kita sendiri pun ada rasa takut? Saya tegaskan disini, bahawa kaum pekerja perlu bersatu demi masa depan kita sendiri, anak generasi kita akan datang. Pekerja jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang ini, jika sudah bergaji bagus, bonus banyak dan sebagainya kerana itu pada bila-bila masa sahaja majikan boleh menarik balik. Kita ada rekod bahawa ada pekerja yang dahulunya pandang rendah pada Kesatuan Sekerja kini terpaksa memohon bantuan KSIEWSSM. Saya rasa kesal juga apabila sesetengah anasir dikalangan pekerja menjaja perkara yang tidak benar tentang KSIEWSSM sedangkan mereka sendiri tidak tahu. Marilah kita bersama-sama agar sentiasa "celik" dengan pengetahuan perjuangan hak dan nasib pekerja. Akhir kata, KSIEWSSM adalah dari pekerja untuk pekerja. Jadilah warga Malaysia yang berani berjuang untuk hak sendiri. Kenapa warga asing berani tuntut hak mereka dan kita menikus? Selamat Hari Pekerja.