...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Sabtu, 5 Mac 2011

Kesetiaan Pekerja Kepada Syarikat: Apakah balasannya?

Seperti yang telah dibicarakan sebelum ini, seseorang pekerja yang dibuang kerja akan menganggap itu suatu "hukuman" berat yang perlu ditanggung oleh pekerja tersebut. Itulah tindakan yang biasa diambil jika syarikat mendapat sesuatu masalah terutama dari segi ekonomi. Contoh, seperti kegawatan ekonomi yang berlaku dalam tahun 1998 dan 2008. Adakah ini perkara biasa yang sentiasa ditanggung oleh kaum pekerja?. Banyak juga diberhentikan kerana salah urus tadbir syarikat?. Apakah salah urus tadbir ini disebabkan oleh kaum pekerja?

Tetapi kali ini kita akan membicarakan tentang KESETIAAN. Kaum pekerja boleh bekerja bertahun lamanya dengan syarikat yang sama. Ada yang bekerja semenjak mula mengenali alam pekerjaan sehingga menjejaki usia persaraan. Ada juga pekerja yang mula bekerja sejak syarikat memulakan operasi dan berterusan sehingga syarikat berkembang pesat. Kesetiaan ini bukan boleh dijualbeli dengan mudah oleh syarikat walaupun syarikat itu mungkin mengabaikan kebajikan pekerja tersebut dan ada juga tidak mengiktiraf kesetiaan mereka. Bagi kebanyakan yang lain, syarikat boleh bermegah dengan award perkhidmatan yang biasanya diberikan kepada mereka yang berkhidmat 5, 10, 15, 20 tahun dan seterusnya. Award biasanya merupakan wang tunai, jam tangan, emas atau sebagainya. Mari kita berfikir sejenak berkenaan dengan persoalan-persoalan dibawah ini dan diharap para pekerja ataupun jika ada pihak majikan yang membacanya dapat menilainya:

  • Berpatutankah harga kesetiaan dibayar dengan award yang tetapkan?
  • Apa pula purata kadar kenaikan tahunan mereka? 
  • Apa sebabnya pekerja masih meneruskan kesetiaan mereka walaupun syarikat mungkin ada ketikanya tidak mempedulikan kebajikan pekerja itu?
  • Apakah pekerja itu hanya "alat" kepada syarikat untuk mengeluarkan produk mereka?
  • Apakah opsyen untuk mengurangkan kos, pekerja yang setia ini akan dikecualikan dari dihentikan dari tugasnya?
Banyak aduan yang didengari oleh pegawai kesatuan berkenaan dengan pekerja yang setia ini. Mereka kadang-kala seolah-olah tidak dihiraukan pengorbanan kesetiaan mereka terhadap syarikat. Ada yang mengadu bahawa tangga gaji mereka telah menjadi maksimum dan tidak memungkinkan mereka untuk mendapat kenaikan lagi. Untuk mendapat kenaikan pangkat, jauh sekali. Ada juga yang menunggu saban tahun, menagih sebarang bonus dari keuntungan syarikat. Malah, ramai juga diberhentikan semata-mata untuk mengurangkan kos dengan mengambil pekerja baru yang bergaji lebih murah.

Kesimpulan dari ini,
  • Pekerja yang setia telah terbukti bahawa mereka mampu bersama dengan syarikat walaupun disaat-saat ekonomi syarikat tidak baik. Dalam erti kata lain, bersama dengan syarikat semasa waktu susah dan senang.
  • Pengorbanan kesetiaan bagi mencapai belasan mahupun puluhan tahun perkhidmatan amat memerlukan kesabaran. Dengan pelbagai kerenah birokrasi dalaman, penuh dengan hieraki atasan, tekanan pengeluaran dan sebagainya, mereka tetap bersabar dan terus berkhidmat. 
  • Pengorbanan mereka dibayar dengan gaji bulanan dan award. Jika pekerja bernasib baik, mereka juga mungkin mendapat bayaran bonus tahunan. 
  • Mereka terdedah secara langsung kepada pengeluaran syarikat tetapi imbuhannya hanya sekelumit dari keuntungan syarikat.
Kaum pekerja disesebuah perusahaan sebenarnya adalah merupakan pemegang saham yang terbesar. Tanpa mereka, tiada pengeluaran dan tiadalah keuntungan. Apatah lagi mereka yang terus setia berkhidmat dalam jangka masa lama. Peranan mereka ini sepatutnya majikan atau syarikat tidak memandang remeh dan hanya menganggap bahawa gaji yang mereka terima berpatutan. Kebajikan mereka perlu dijaga kerana mereka juga berperanan menjaga kebajikan syarikat dan menjaga harta syarikat. Saling hormat menghormati paling penting untuk memupuk keharmonian tempat kerja. Imbuhan atau ganjaran itu hanya solekan sahaja. Pekerja tidak mahu majikan menganggap mereka ini umpama meminta sedekah dari majikan. Majikan yang prihatin akan membuatkan pekerja terus setia berkhidmat. Jangan hanya bersikap hipokrit dalam berhadapan dengan pekerja. Dan janganlah pula bila terpaksa mengurangkan kos, pekerja ini digantikan dengan pekerja baru yang lebih murah dan tidak semestinya pekerja baru ini akan berterusan setia dengan syarikat. Akhirnya siapa yang rugi?

RESPECT AND TAKE A GOOD CARE OF LOYAL WORKERS...

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan