...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Jumaat, 31 Disember 2010

Selamat Tahun Baru dari Pimpinan KSIEWSSM

Dalam mengharungi tahun 2010 dengan pelbagai cabaran dan dugaan, KSIEWSSM telah berjaya ditubuhkan secara sah. Dengan usia yang masih dikira sebagai mentah, tetapi KSIEWSSM dapat bergerak maju bersama kaum pekerja elektronik terutama di wilayah selatan. Walaubagaimanapun, perjalanan KSIEWSSM yang perlu ditempuh dalam memperjuangkan pekerja elektronik masih jauh dan penuh dengan cabaran yang berliku.
Untuk menempuh tahun 2011, KSIEWSSM melalui Majlis Eksekutif dan Pegawainya berazam untuk:
- Memperolehi pengiktirafan dari Majikan dalam mewakili pekerja mereka,
- Mengembleng tenaga untuk menarik lebih ramai keahlian baru,
- Bergabung dengan mana-mana pihak yang selari dalam memperjuangkan tuntutan gaji minimum sektor swasta, cuti tahunan dan bersalin yang wajar, menambahbaik kebajikan dan jaminan sosial pekerja.
- Menambah dan memantapkan ilmu pengetahuan dan karakter kepimpinan kepada pemimpin-pemimpin dalam perusahaan.
KSIEWSSM tidak mungkin dapat pergi jauh tanpa bantuan keahlian dan sokongan moral dari mereka amat diperlukan. Semoga tahun 2011, mendatangkan sinar perubahan baru kepada sistem guna tenaga pekerja swasta terutama sektor elektronik supaya menjadi lebih adil, berkebajikan dan bermaruah.

Buat semua warga pekerja sektor Elektronik seluruh Malaysia khasnya di Negeri Johor, Melaka dan N. Sembilan, Selamat Tahun Baru dan membantu dengan bekerja lebih kuat untuk Kesatuan dalam menyahut visi mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020 dan lebih berani menghadapi cabaran mendatang.

"JANGAN KITA GENTAR DALAM MENUNTUT HAK KITA"

Majlis Eksekutif dan Pegawainya mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2011.

Ikhlas dari,
Sdr. Rizuan Bin Zainal
Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan
Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM).

Sabtu, 25 Disember 2010

Pemilihan MTUC: Harapan KSIEWSSM

MTUC bakal menghadapi proses pemilihan pimpinan peringkat tertinggi bagi mewakili gabungan Kesatuan Sekerja di Malaysia pada akhir Disember ini. Pertandingan pemilihan bagi Presiden dan Setiausaha Agung dijangka amat sengit.
Walaubagaimanapun, adalah menjadi harapan daripada KSIEWSSM sebagai ahli gabungan MTUC, untuk melihat MTUC menjadi lebih kuat, kukuh, bersatu dan lebih vokal dalam menghadapi tiga tahun mendatang. Ia juga akan menjadi contoh kepada KSIEWSSM dan Kesatuan Sekerja lain dalam gerak kerja memperjuangkan nasib dan kebajikan para pekerja di Malaysia.
KSIEWSSM berharap MTUC selepas ini akan terus-terusan mencari penyelesaian terhadap:
  • dasar gaji minimum bagi pekerja swasta,
  • undang-undang pekerja yang lebih adil,
  • masalah pengangguran dan lambakan pekerja asing,
  • program persaraan untuk pekerja swasta
  • hal-hal berkaitan upah, bonus dan insentif,
  • keadaan tempat kerja dan sebagainya.
KSIEWSSM juga berharap agar MTUC dapat memainkan peranan yang berkesan terhadap sebarang peraturan, akta dan undang-undang kerja sebelum diluluskan oleh Parlimen. Kepentingan pekerja teramai amat bergantung kepada peranan ini supaya kita dapat mencari rezeki dengan lebih baik.

Bagi para calon yang bertanding untuk merebut jawatan perlu pastikan bahawa setiap janji yang ditaburkan untuk memperolehi undi boleh dilaksanakan dengan berkesan dan tidak mengharapkan sebarang "lubuk" yang menguntungkan diri sendiri sahaja.

Akhir kata, KSIEWSSM mengucapkan Selamat Maju Jaya, Selamat Bertanding dan semoga dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk kebajikan Pekerja seluruh Malaysia.

Sdr. Rizuan Bin Zainal,
Setiausaha Agung KSIEWSSM
26/12/2010

Jumaat, 17 Disember 2010

MTUC: Bayar gaji minimum, henti pemotongan subsidi

Malaysia tidak boleh bertindak dengan mengurangkan lagi subsidi kerana sebahagian besar rakyat di negara ini hidup di bawah garis kemiskinan, kata Kongres Kebangsaan Kesatuan Malaysia (MTUC).

apcet II 221209 syed shahir syed mohamudDibebani harga barangan keperluan yang terus naik, maka adalah wajar kerajaan memperkenalkan dasar gaji minumum, kata presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.

Sambil merujuk kajian yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia tahun lalu, Syed Shahir berkata 34 peratus golongan yang makan gaji sekarang berpendapatan kurang RM720 sebulan dan berada di garis kemiskinan negara.

"Tiada kerajaan penyayang yang akan menaikkan lagi kos hidup sehingga membebankan rakyat.

"Kerajaan Malaysia sekarang ini tidak peduli dan mereka terus menaikkan harga barangan keperluan asas yang diperlukan rakyat untuk terus hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula, semuanya akan menyebabkan kesan inflasi.

Syed Shahir berkata kerajaan tidak sensitif kerana kebanyakan isi rumah rakyat malaysia tidak dapat menampung kenaikan barangan keperluan itu.
Kerajaan katanya, tidak sepatutnya memotong subsidi untuk menjimatkan dana awam tetapi sebaliknya mengamalkan pentadbiran berjimat-cermat.

"Kerajaan mesti mencari jalan lain bagi memotong perbelanjaannya seperti mengurangkan perbelanjaan pertahanan dan mengurangkan rasuah, termasuk memberikan kontrak yang nilainya 'lebih tinggi' kepada kroni di semua peringkat.

"MTUC mengingatkan kerajaan supaya mengambil kira kebajikan dan masa depan rakyat, termasuk pekerja dan keluarga mereka sebagai tanggungjawab utama mereka,” katanya lagi.

Isnin, 13 Disember 2010

Sekali Kenaikan Harga, Sekali Pekerja Bertambah Miskin

Setiap kali berlaku kenaikan harga barangan, setiap kali itulah kaum pekerja khususnya diperingkat bawahan akan menanggung kesannya. Boleh dikatakan sepanjang tahun, ada sahaja harga barangan mahupun perkhidmatan dinaikkan harga tetapi malangnya kenaikan gaji pekerja hanya berlaku sekali setahun dan itupun bergantung kepada keadaan ekonomi syarikat, penilaian pegawai atasan. Ada juga yang langsung tidak mendapat kenaikan gaji!.

Setiap bulan, kita akan mengeluarkan perbelanjaan harian, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Adakalanya perbelanjaan tersebut tidak mencukup sehingga mencapai waktu gaji berikutnya dan dengan setiap kali berlaku kenaikan harga, ini bermakna perbelanjaan tersebut terpaksa bertambah dan ia akan menjadi bebanan kepada pekerja yang bergaji rendah dan sederhana. Kuasa membeli semakin berkurangan dan ramai yang terpaksa meminjam dari keluarga, sahabat, bank dan lebih teruk lagi dengan lintah darat.

Hari ini, kita mungkin tidak berapa kisah tentang kenaikan 20 sen harga bagi gula dan 5 sen bagi harga minyak, tetapi terdapat ura-ura untuk menaikkan takrif elektrik pula. Harga air bagi negeri Johor secara kita tidak sedari telahpun dinaikan. Apakah kita akan terkesan dengan kenaikan harga barangan asas keperluan ini? Cukupkah gaji yang kita perolehi ini untuk perbelanjaan dan simpanan?

Terdapat juga kata-kata sinis dari orang yang tidak menggunakan akal fikiran  atau orang tersebut hanya mementingkan diri sendiri bahawa “Kenaikan harga barangan tidak memerlukan kenaikan gaji pekerja, kerana akan menjadikan kadar inflasi lebih teruk”. Sekiranya para pekerja bawahan sekarang telahpun mendapat gaji sekitar RM1200 –RM1500 , apakah sudah cukup? Kenaikan gaji yang diminta untuk pekerja berbelanja mewah ataupun boros, tetapi mereka perlukan kewangan untuk SARA HIDUP. Apakah dengan gaji RM500-RM600 sebulan cukup? Jika sebegitu sekali pandangan “penganalisa” ekonomi, elok lah sekiranya gaji mereka “disedekahkan” kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ini melibatkan ekonomi pekerja itu sendiri. Dengan kebarangkalian tiada simpanan yang dapat ditabung setiap bulan, akhirnya pekerja mungkin akan terbelenggu dengan beban hutang dikeliling pinggang. Janganlah hanya suruh pekerja yang bergaji rendah ini berbelanja ala kadar dan berjimat cermat, tetapi para “pengaji” tinggi berbangga berbelanja boros dan mewah kerana mereka langsung tak terkesan dengan harga barang. Apa yang mereka tahu hanya memerah tenaga pekerja tersebut supaya mereka boleh berbelanja mewah lagi secara berterusan. Jangan pula apabila pekerja bawahan tidak mempunyai sumber lagi, mereka akan memikirkan untuk melakukan jenayah seperti merompak dan mencuri pula demi sesuap nasi.

Sabtu, 4 Disember 2010

KOS SARA HIDUP MENINGKAT, GAJI DITAKUK LAMA.

KSIEWSSM kesal dengan tindakan Kerajaan yang secara mendadak menaikkan harga gula, petrol, diesel dan LPG, tatkala gaji dan pendapatan pekerja masih ditakuk lama. Ini akan membuatkan rakyat khususnya pekerja yang rata-rata masih berpendapatan dibawah paras kemiskinan akan menjadi lebih miskin dan teraniaya.

Dengan kenaikan yang berkuatkuasa tengah malam semalam, harga gula menjadi RM2.10 manakala petrol RON95 menjadi RM1.90, boleh dianggap suatu penyeksaan kepada kaum pekerja swasta khasnya kerana rata-rata antara mereka memperolehi gaji dalam lingkungan RM400-RM500 sebulan. Kos sara hidup yang semakin meningkat ini akan membuatkan mereka;

  • membuat pinjaman sama ada sah atau dengan lintah darat bagi meneruskan kelangsungan hidup. Dengan gaji yang demikian, adakah mereka masih mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut?
  • terpaksa bekerja lebih masa dan meminggirkan kehidupan berkeluarga untuk mendapatkan pendapatan lebih. Masalah sosial akan timbul.
  • Mencuri dan merompak akan berleluasa, kadar jenayah akan meningkat mendadak,
  • Tekanan perasaan seterusnya membuat pertimbangan yang tidak waras akibat menanggung tanggungjawab saraan keluarga.

KSIEWSSM berpendapat kenaikan ini amat tidak wajar berikutan situasi pendapatan pekerja teramai masih rendah dan tidak mencukupi. Kerajaan sepatutnya membantu mereka-mereka terutama pekerja swasta yang berpendapatan dibawah paras kemiskinan ini dengan menetapkan gaji minima yang berpatutan dengan situasi ekonomi dan kos sara hidup sekarang. Secara rasional, walaupun pemberian subsidi dianggap membazir, tetapi jika gaji pekerja secara minima bermula dari angka RM1200 sebulan, alasan tersebut akan dikira sebagai berpatutan!.

Menggunakan alasan seperti kadar harga diMalaysia masih murah berbanding Singapura amat dangkal. Adakah gaji di Singapura sama di Malaysia?.