...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Isnin, 21 Mac 2011

Hiruk Pikuk Kerenah Birokrasi = Kaum Pekerja Terabai

Memang terlalu banyak kerenah birokrasi dan “pantang-larang” yang perlu dipatuhi demi membela kaum pekerja. Apakah kaum pekerja ini bukan rakyat Malaysia yang perlu dibela? Apakah slogan YAB Perdana Menteri, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” hanya tinggal retorik semata-mata? Slogan ini hanya tahu diteriak oleh “para pengipas” Perdana Menteri tetapi tidak diamalkan? Apa guna Key Performance Index (KPI), jika tahap kerja masih ditakuk yang sama. “Boleh dikatakan sama macam penjajah gamaknya”, kata seorang pekerja yang menunggu untuk masa bersara.
Keadaan kerenah birokrasi ini sebenarnya memang telah dijangkakan. Kadang-kala sesuatu perkara itu yang sepatutnya boleh dimudahkan, tetapi ianya jadi susah. Mungkin kerana “orang” yang menjaganya atau mengendalikannya tidak begitu memahami selok belok perkara itu. Bagaimana mungkin seseorang itu yang menghabiskan masa kerja dari pagi hingga ke petang untuk duduk di pejabat yang selesa, berhawa dingin dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan boleh memahami keadaan pekerja seperti operator pengeluaran, pemandu lori, juruteknik dan sebagainya? Dengan keadaan selesa itu, mana mungkin mereka tahu masalah pekerja dan dapat mengatasinya? Apa yang mereka tahu adalah kaum pekerja perlu mengikuti “prosedur” yang adanya TIDAK MASUK AKAL!.
Pekerja tertindas selalunya akan cuba mendapatkan bantuan dari pelbagai pihak. Ada mereka yang terus mengadukan hal mereka kepada Jabatan Buruh, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan sebagainya. Jika pekerja itu lebih terdedah kepada “celik UNION”, mereka akan memohon bantuan kepada Kesatuan Sekerja mengikut industri yang mereka ceburi atau lebih tinggi lagi, pergi kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Tetapi apa penyelesaiannya? Jabatan Buruh atau JPP biasanya akan cuba mengadakan rundingan dengan majikan. Itupun jika majikan mahu dan boleh bertolak ansur, jika tidak? Apakah tindakan yang akan diambil oleh Jabatan Buruh atau JPP? Mahkamah Perusahaan/Buruh? Berapa lama akan selesai? Bagaimana periuk nasi pekerja itu? Jalan mudah bagi pekerja yang “malas” dan “tidak kuasa” melayan, baik mereka mencari pekerjaan baru.
Rujuk kepada Kesatuan Sekerja? Ya, Kesatuan Sekerja akan cuba membantu dengan menjadi wakil kepada pekerja itu dan prosesnya tetap sama seperti pekerja itu berjumpa secara terus dengan Jabatan Buruh atau JPP. Tetapi mungkin jika Kesatuan itu mempunyai sumber kewangan yang kukuh, pekerja itu akan dibantu dari segi khidmat nasihat, guaman dan juga bantuan kewangan. Tetapi proses menunggu itu yang memeritkan. Apa penyelesaiannya? Apakah pekerja, selain dari memerah keringat setiap hari dengan bayaran gaji yang murah, tugas mereka hanya menunggu dan terus menunggu?
Salah satu perkara yang nyata adalah tuntutan PROSES PENGIKTIRAFAN Kesatuan Sekerja bagi mewakili pekerja dalam sesebuah syarikat. Mengikut jawapan memorandum (rujuk http://ksiewssm.blogspot.com/2010/11/balasan-memorandum-dari-menteri-ksm.html), Kementerian memberikan tempoh 9 bulan penyelesaian tuntutan. Tetapi apakah janji ini dikota oleh Kementerian melalui Jabatan yang berkuasa? Untuk rekod, KSIEWSSM mempunyai lebih kurang 3 tuntutan pengiktirafan yang berjalan sejak dari Jun 2010. Mengambilkira dari tarikh itu, sudah 9 bulan tempohnya? Jika KPI Jabatan yang bertanggungjawab dinilai oleh Kesatuan, hasilnya? KSIEWBSM (Barat) mempunyai kes yang lagi teruk. Mereka telah bergerak lebih awal dari Selatan, tetapi sehingga kini tiada khabar berita seperti yang dimaklumkan.
Setelah berlaku pertukaran kepimpinan MTUC baru-baru ini, terdapat lawatan yang khabarkan untuk bertemu dengan YAB Perdana Menteri dan salah satu perkara yang akan ditimbulkan adalah Proses Pengiktirafan yang amat lama dan panjang. Apa status perkara ini? Ditimbulkan atau ditenggelamkan? Peranan MTUC adalah untuk memastikan kebajikan kaum pekerja yang diwakili mereka tidak terabai. Janganlah tenggelam dan timbul. Mainkanlah peranan sebagai GABUNGAN YANG KUAT DAN VOKAL. Jangan sampai Kesatuan gabungan bergerak secara sendirian tanpa memerlukan peranan MTUC pula bila tiba masanya. Kesatuan Gabungan tidak memerlukan surat sokongan seperti rakyat memerlukan surat sokongan dari wakil rakyat. Kesatuan Gabungan mahukan tindakan! Jika MTUC pun ada KPI, hasilnya?
Artikel ini tidak mahu menuding jari kepada mana-mana individu, tetapi “let us face the reality”. Kaum pekerja adalah rakyat Malaysia. Kami adalah penyumbang terbesar kepada pembangunan dan ekonomi negara. Kami tidak mahu lagi dianak tirikan. Kami tidak mahu hanya “hampas” manakala segala “isi” telah di”faraid”kan oleh golongan atasan sahaja. Cukup-cukuplah kerenah birokrasi hanya semata-mata untuk mendapatkan “sekeping anugerah” pengiktirafan. Banyak masa dan tenaga pekerja telah dicurahkan. Untuk pastikan keharmonian tempat tercapai dengan segera, lakukan kerja anda yang sepatutnya dan kita bersama membina negara Malaysia yang tercinta ini.
Hidup Pekerja!!!

2 ulasan:

  1. Apa yang kerajaan cuba buat untuk Rakyat yg berkerja di sektor elektronik.. ingin perubahan pastikan anda mengubahnya pada Pilihan Raya yg akan datang.. Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan.. PROSES PENGIKTIRAFAN yg dijanjikan masih gagal dilaksanakan.. mana silapnya.. fikir2kan.

    BalasPadam
  2. Kerajaan BN sekarang cuma nak selamatkan kuasa dia aje... semua pura-pura... sekali ketuk sekali jalan...hampeh...

    BalasPadam