Bagi mana-mana pekerja di Malaysia atau dimana-mana sahaja pelusuk dunia, mendapat pekerjaan dan memperolehi upah yang baik adalah sesuatu penyelamat atau dianggap sebagai penyambung kehidupan seharian. Tetapi apabila seseorang pekerja itu ditamatkan atau dalam bahasa yang tidak mahu didengar oleh pekerja iaitu "dibuang kerja", ia umpama sesuatu "hukuman" berat terpaksa dipikul oleh pekerja terbabit. Hal ini akan memberikan kesan yang berat sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Saraan hidup yang digalas oleh pekerja tersebut semakin berat jika selagi tidak mendapat "ganti" kerja. Seseorang pekerja yang kehilangan pekerjaan bermakna beliau kehilangan mata pencarian atau punca rezeki. Kesannya besar untuk ditanggung oleh beliau sendiri dan keluarga terbabit. Secara ringkasnya, pekerjaan yang memberikan upah adalah sesuatu yang sangat penting dan berharga buat kaum pekerja.
Penulis pernah membaca kiriman email dari seorang pekerja warga Eropah yang mengadu terpaksa diberhentikan akibat perpindahan syarikat untuk mencari keuntungan yang lebih atas kadar upah yang lebih murah di negara lain. Pekerja juga menyatakan, sebelum ini beliau memperolehi kadar gaji yang cukup untuk mengupah 3 orang Jurutera dalam sektor perkilangan di Malaysia. Beliau cuba menyedarkan majikannya itu dengan menyenaraikan segala usaha dan sumbangannya terhadap syarikat tetapi majikannya lebih berminat untuk menambahkan lagi kadar keuntungan syarikat daripada memikirkan kebajikan pekerja tersebut. Syarikat tersebut telahpun memindahkan semua perusahaannya ke Malaysia dan berharap akan memperolehi keuntungan yang diharapkan. Dengan memperluaskan organisasi syarikat di Malaysia, syarikat tersebut dianggap diantara syarikat yang berkembang dengan pesat dan warga kerjanya di Malaysia mencapai lingkungan 10,000 orang pada sesuatu masa dan cawangannya boleh dilihat wujud di serata Malaysia. Malangnya disebabkan salah urus, salah perancangan dan terlalu boros, banyak cawangannya terpaksa ditutup dan digabungkan untuk mengurangkan kos. Ramai pekerjanya terpaksa diberhentikan atau bahasa yang selalu dipakai "retrenchment" dan ini adalah contoh salah satu punca kehilangan pekerjaan di Malaysia dan ianya biasa berlaku dan pasti akan berlaku terhadap industri ELEKTRONIK terutama pembuatan.
Terdapat juga pekerja yang dibuang kerja dengan cara yang tidak adil. Majikan biasanya menganggap mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap pekerja mereka termasuk memberhentikan pekerja tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang. Namun kegagalan majikan dalam mengadakan siasatan (inquiry), walaupun pekerja tersebut termasuk dalam Akta Kerja 1955 dan masih boleh dipulihkan melalui perbicaraan di Mahkamah Perusahaan. Jika pembuangan pekerja itu didapati tidak adil, maka Mahkamah akan memutuskan supaya pekerja tersebut diambil semula tanpa kehilangan apa-apa faedah. Persoalannya, adakah adil siasatan domestik yang dijalankan oleh majikan? Kebanyakan keputusan dari siasatan domestik akan berakhir dengan kehilangan pekerjaan oleh mereka yang disiasat dan biasanya "panel siasatan" terdiri dari pengurus atau pegawai syarikat. Jika pekerja tersebut menjadi ahli kepada sesuatu Kesatuan Sekerja, beliau boleh diwakili olehnya. Bagaimana jika tiada? Amat malang lagi jika sesuatu perusahaan itu tidak dibenarkan untuk diwujudkan Kesatuan Sekerja (seperti yang berlaku dalam industri elektronik sebelum ini). Sekarang ini pun, jumlah pekerja yang menyertai pelbagai Kesatuan Sekerja hanya berjumlah lebih kurang 10% dari jumlah pekerja seluruh Malaysia dan ini bermakna jumlah pekerja yang tidak berkesatuan pekerja adalah sangat besar dan ramai!.
Sudah tiba masanya bahawa sesuatu peraturan yang jelas dan mudah diadakan dalam Akta Kerja 1955 dimana proses penyiasatan dilakukan dan diambil sebelum tindakan disiplin diambil terhadap seseorang pekerja. Peraturan berkenaan diharapkan dapat memberikan hak dan perlindungan terhadap pekerja dari dibuang dan dikenakan tindakan disiplin dengan sewenang-wenangnya oleh majikan yang tidak bertanggungjawab. Dalam pada itu, syarikat yang terpaksa mengurangkan operasi atau berpindah tempat dan memungkinnya untuk membuang pekerja (retrench) perlulah dikenakan suatu peraturan yang lebih adil dari segi pembayaran pampasan yang wajar dan berpatutan. Kadar yang ditetapkan dalam Akta Kerja difikirkan amat terlalu rendah kerana kos hidup yang meningkat dan pekerjaan yang perlu diganti oleh pekerja tersebut. Adalah sangat wajar bagi kita terutama majikan untuk melihat bahawa para pekerja mereka itu sebagai insan yang punya maruah dan harga diri. Mereka juga merupakan aset (saham) penting bagi syarikat untuk menggandakan keuntungan. Layak mereka dilayan dengan lebih rasional dan berperikemanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan