...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Selasa, 15 Februari 2011

KSIEWSSM: 1 Tahun Perjalanan

Pada 11 Mac 2011 ini, KSIEWSSM bakal berusia setahun penubuhannya. Pelbagai cabaran dan dugaan ditempuhi selama setahun ini. Keahlian dari pekerja dari pelbagai syarikat merangkumi 3 negeri (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) bertambah saban bulan. Tenaga yang digemblengkan oleh Majlis Eksekutif, Pegawai Kesatuan dan juga ahli bagi menguatkan KSIEWSSM tidak pernah putus malah semakin bertambah. Ini adalah satu dari petanda baik bagi perjalanan KSIEWSSM berikutnya.

Pelbagai ragam pekerja dapat diperhatikan dan disaksikan oleh semua yang terlibat dalam KSIEWSSM. Ramai pekerja elektronik yang positif dan terbuka untuk menerima KSIEWSSM untuk mewakili mereka. Malah mereka tidak takut untuk bersama-sama berkempen untuk keahlian KSIEWSSM. Tidak sedikit juga ditemui, mereka-mereka yang negatif, takut, kuno dan terlalu percayakan mitos bahawa akan kehilangan kerja jika terbabit dengan Kesatuan Sekerja. KSIEWSSM tidak menyalahkan mereka kerana berpendirian begitu kerana kurang sekali pendedahan terhadap kebebasan untuk berkesatuan, kebebasan untuk bersuara, kebebasan untuk memperjuangkan hak sendiri dan sebagainya. KSIEWSSM melalui Majlis Eksekutif dan Pegawainya bersedia untuk memberikan penerangan yang sewajarnya kepada mereka yang ingin faham dan ingin tahu dengan lebih lanjut. Cuma yang tinggal adalah mereka-mereka yang langsung tidak mahu faham, seperti "katak didalam gelas".

Masalah pekerja yang dikutip selama setahun ini adalah sama setiap kali proses penerangan dan soaljawab berjalan. Masalah gaji pokok yang rendah, bayaran kerja lebih masa, masalah cuti, masalah kos hidup meningkat, masalah kebajikan yang tidak dipedulikan oleh majikan dan sebagainya sudah menjadi lumrah dalam setiap pekerja yang ditemui. Ini menunjukkan tidak kira sama ada pekerja itu bekerja di sebuah syarikat kecil (SME), multinasional atau transnasional, masalah ini akan tetap ada. Tetapi siapakah yang akan memahami permasalahan ini? Majikan atau Kerajaan? KSIEWSSM amat faham masalah ini, kerana kami terdiri dari para pekerja itu sendiri.

Dalam perjalanan memperjuangkan nasib pekerja Elektronik, KSIEWSSM akan senantiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak demi pekerja yang diwakilinya. Ini bagi memastikan matlamat asal penubuhan dapat direalisasikan. Jalinan kerjasama diantara Kesatuan Sekerja lain seperti KSIEWBSM, MTUC dan sebagainya, akan dieratkan lagi demi kepentingan pekerja keseluruhannya. KSIEWSSM juga tidak menolak untuk bersama-sama dengan majikan yang bertimbang rasa terhadap pekerja mereka dalam meningkat pengeluaran mereka.

Dalam tahun mendatang, KSIEWSSM berharap para pekerja sektor elektronik dapat membuka minda fikiran mereka untuk mendapatkan keterangan lanjut berkenaan dengan Kesatuan Sekerja. Usaha lebih berkesan bagi meningkatkan jumlah keahlian akan dijalankan dengan lebih berkesan dan kerap. Juga usaha untuk memperolehi Pengiktirafan dan seterusnya mengikat Perjanjian Bersama (CA) dengan majikan akan dipastikan supaya berjaya.

Akhir kata, perjalanan KSIEWSSM masih jauh dan banyak rintangan luaran dan dalaman pasti akan ada. Tetapi demi memperjuangkan hak pekerja, tiada apa yang dapat menghalang usaha KSIEWSSM untuk meneruskan perjalanan. Amat malang jika ada warga kita sendiri (Warga Malaysia) berusaha untuk mengagalkan usaha ini dalam melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Dari Pekerja Untuk Pekerja Demi Pekerja,

KSIEWSSM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan