...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Ahad, 28 Ogos 2011

Selamat Berlebaran dan Maaf Zahir dan Batin

Bersyukur kita kehadrat Illahi bahawa dengan kurnianya, kita telah bersama-sama mengharungi suasana Ramadan AlMubarak ini dengan kesederhanaan. Semoga ibadah yang telah kita jalankan ini akan diterima olehNya dan diberkati.
Pelbagai perkara berlaku sebelum dan semasa bulan Ramadan ini terhadap KSIEWSSM dan ahlinya. Sebelum ketibaan Ramadan, kita telah menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Bersama (CA) diantara Pekerja, KSIEWSSM dan STMicroelectronics, Muar. Ini merupakan suatu kejayaan yang sangat bermakna bagi pekerja itu sendiri dalam mencapai kesepakatan dalam memperolehi apa yang dituntut dan dalam masa yang sama pihak syarikat juga menunjukkan komitmen yang baik dalam mengekalkan hubungan harmoni perusahaan. Pihak KSIEWSSM sangat ambil maklum terhadap setiap rungutan, komen serta aduan yang diterima oleh ahli mahupun dari bukan ahli. Apa yang ingin ditekan disini adalah bagi setiap pekerja sama ada ahli mahupun bukan, perlulah bersama-sama menunjukkan keupayaan diri, meningkatkan produktiviti dan berikan sesuatu yang boleh membantu syarikat untuk berdaya saing. Kerana inilah yang diperlukan sebelum pekerja melalui KSIEWSSM dapat menuntut faedah yang lebih dari apa yang kita perolehi sebelum ini. Syarikat memerlukan pekerja yang produktif dan pekerja memerlukan upah dari syarikat yang stabil. Kerjasama erat ini akan berhasil jika semua pihak dapat tunjukkan kebolehan dan kelebihan masing-masing. Bagi pihak syarikat pula, perlulah bertolak-ansur dan lebih prihatin terhadap permasalahan pekerja.
Dalam pada itu juga, semasa kita sedang tekun melaksanakan ibadah puasa ini, KSIEWSSM sekali lagi duduk secara bersama dengan syarikat Precision Manufacturing Solution (PMS), Muar bagi membincangkan perihal perjanjian bersama. Ini dijangkakan juga akan mengambil masa yang tidak begitu panjang untuk diselesaikan dengan syarat setiap pihak iaitu KSIEWSSM, PMS dan JPP dapat memberikan komitmen yang berkesan dan terbaik demi kebajikan pekerja PMS itu sendiri.
KSIEWSSM juga bakal mengharungi proses undian sulit bagi syarikat CMKS, Pasir Gudang selepas Aidilfitri nanti. Majoriti pekerja CMKS ini telah menjalani proses cuti bergaji yang panjang sejak dari awal tahun sehingga dijangkakan untuk memulakan kerja bermula September ini. KSIEWSSM berharap proses undi sulit ini akan berjalan lancar dan berdoa agar majoriti pekerja memilih KSIEWSSM sebagai wadah untuk menuntut hak pekerja. Para ahli diharap dapat berhubungan dengan sesama mereka dan bersama untuk menjalani proses undi sulit ini tanpa sebarang halangan.
Antara sebuah syarikat terawal dalam tuntutan pengiktirafan iaitu GES Manufacturing (Venture), Senai juga dijangkakan akan dapat diselesaikan oleh JPP selepas Aidilfitri nanti. Permasalahan yang dihadapi adalah skop kelayakan sesetengah jawatan yang dilampirkan oleh pihak syarikat, mendapat bantahan dari KSIEWSSM dan JPP akan menyiasat perkara tersebut. Selepas dari itu, barulah proses undi sulit dapat dijalankan. Buat ahli-ahli syarikat GES, KSIEWSSM berharap supaya bersabar dengan proses ini.
Banyak lagi syarikat-syarikat yang masih menunggu keputusan dari JPP mahupun dari JHEKS tentang proses pengiktirafan. Antaranya Hitachi Cable PS Techo (Seremban), Sumitomo (Johor Bahru) dan sebagainya masih tergendala dan menanti. Diharapkan dengan Sinar Aidilfitri ini, dapat membawakan suatu perubahan dan perkembangan terbaru.
KSIEWSSM juga telah merancang dan akan mengembleng tenaga serta usaha dalam mengorganisasikan keahlian baru dari syarikat-syarikat lain. Kesedaran pekerja masih rendah dan banyak usaha perlu dilakukan.

Diakhir bicara ini, KSIEWSSM melalui Majlis Eksekutif, Para Pegawai, Pekerja dan Ahli Kesatuan ingin mengucapkan Salam Lebaran, Maaf Zahir dan Batin buat semua pekerja di Malaysia khususnya pekerja sektor elektronik di Wilayah Selatan Malaysia.

Memandulah dengan berhati-hati semasa berhari raya dan ingatlah orang yang tersayang...

Dari Pekerja Untuk Pekerja,
Rizuan Bin Zainal
Setiausaha Agung KSIEWSSM

Isnin, 25 Julai 2011

Perjanjian Bersama STMicroelectronics dan KSIEWSSM

DSC_0084

Untuk pertama kalinya didalam sejarah Kesatuan Sekerja diperingkat wilayah, satu majlis bagi menandatangani perjanjian bersama telah diadakan bagi menandakan termeterainya ikatan persefahaman diantara Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) dan juga pengurusan STMicroelectronics. Berlangsung di Hotel Classic Muar, perjanjian ini telah ditandatangani secara bersama oleh pihak pengurusan STMicroelectronics, wakil KSIEWSSM dan wakil pekerja. Turut hadir didalam majlis ini adalah Penolong Pengarah JPP dan Penolong Pengarah JTK Muar.
 scan0001
DSC_0104
Encik Hwang Jindoo (Pengurus Besar STMicroelectronics)

Dalam ucapan ringkas dari Pengurus Besar STMicroelectronics, Encik Hwang Jindoo (atas)  telah memberikan pujian terhadap pasukan perundingan dari kedua-dua pihak yang telah berjaya menyelesaikan perkara yang berbangkit didalam masa yang singkat. Tambah beliau, pasukan ini telah menunjukkan semangat yang positif dalam menjayakan dan menyelesaikan rundingan. Beliau juga melahirkan penghargaan terhadap kejayaan rundingan ini dan berharap agar ianya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing pekerja serta menaikkan prestasi syarikat.
DSC_0108
Mohd Salleh - Wakil KSIEWSSM

Sementara itu, dalam ucapan dari wakil KSIEWSSM, Sdr Mohd Salleh (atas) juga melahirkan penghargaan terhadap pihak pengurusan STMicroelectronics kerana perundingan ini telah berlangsung dengan baik dan harmoni. Menurut beliau, perjanjian ini merupakan satu titik penting dalam sejarah Kesatuan dimana ianya akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja di dalam Malaysia oleh Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Malaysian Employer Federation (MEF) tetapi juga bagi International Federation of Chemical, Energy, Mine and General Workers' Unions (ICEM), International Metalworker’s Federation (IMF) dan International Labour Organization (ILO) diperingkat antarabangsa. Tambah beliau, ini adalah suatu perkembangan yang amat baik bagi kedua-dua pihak dalam mempertahankan hubungan baik antara pekerja serta majikan. Perjanjian bersama ini juga dapat mewujudkan situasi “sama-menang” bagi kedua-dua belah pihak.

DSC_0110
Tuan Hj Shahrudin - Penolong Pengarah JPP Muar

Dalam pada itu, Tuan Hj Shahrudin (kanan)  dari Jabatan Perhubungan Perusahaan, Muar juga menghargai kerjasama kedua-dua pihak dalam menjalankan tanggungjawab perundingan tanpa melibatkan pihak-pihak lain. Ini menunjukan bahawa terdapat persamaan kefahaman dan sikap muafakat keduanya, ujar beliau lagi. Beliau berharap agar konsep perundingan sebegini akan menjadi contoh yang baik bagi syarikat dan kesatuan sekerja yang lain dan wajar diikuti. Tambah beliau, ia juga bagi menjamin kestabilan kerja, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sama ada pekerja dan syarikat malah ianya merupakan kejayaan yang dicapai secara bersama.
DSC_0118
Hwang Jindoo, Naginder Singh (HR Director) dan CL Ser (Financial Controller) sedang menandatangani perjanjian bersama
DSC_0128
Wakil-wakil KSIEWSSM (dari kiri: Sdr Faidzul Zainal (Presiden KSIEWSSM), Sdr Rizuan Zainal (S/U Agung KSIEWSSM) serta wakil worksite committee Sdr. Mahdar dan Sdri Suhaily.
DSC_0138
Penyerahan Perjanjian Bersama bagi kedua-dua pihak (STMicroelectronics dan KSIEWSSM)
 
Kemuncak majlis ini telah berlangsung majlis tandatangan kedua-dua pihak dan disaksikan oleh Tn Hj Shahrudin beserta para hadirin yang lain. Diantara kandungan perjanjian bersama adalah;
  • Peruntukan perlindungan Insurans bagi pekerja serta bantuan kilat bagi pekerja yang meninggal dunia kepada waris,
  • Pertambahan cuti berbayar,
  • Pertambahan jumlah caruman oleh majikan,
  • Sumbangan syarikat kepada pekerja yang mendapat cahaya mata,
  • Kenaikan gaji bagi tahun 2011 yang sama dan adil bagi kesemua operator dan juruteknik.

Khamis, 9 Jun 2011

Pemerdagangan Manusia Yang “Dihalalkan”?

Alam pekerjaan biasanya akan terdiri dari pekerja dan majikan. Pekerja menghabiskan sepanjang masa mereka untuk mendapat upah dari majikan dan dalam pada itu majikan juga terikat untuk memenuhi tuntutan kebajikan pekerja mereka antaranya adalah caruman KWSP, perlindungan insurans, kemudahan pengangkutan dan sebagainya seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan atau sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ini adalah perkara biasa yang sering berlaku pada setiap perusahaan di Malaysia.
Malangnya, seperti suatu penyakit atau wabak, apabila majikan mula bermainkan minat yang mendalam terhadap “kehadiran” pekerja secara kontrak. Atas alasan bahawa pekerja keluar dan masuk (berhenti) amat tinggi, sukar untuk “merekrut” pekerja baru, kos yang tinggi, pekerja memilih kerja dan sebagainya, majikan sering mendapatkan “bekalan” dari agen pekerja kontrak. Dalam pada itu, dengan kehadiran pekerja kontrak, majikan tidak perlu lagi memikirkan untuk memenuhi setiap kebajikan pekerja seperti KWSP, insurans dan sebagainya. Ini adalah suatu peluang baik untuk majikan “melepaskan tengkuk” dari bertanggungjawab terhadap pekerja mereka. Majikan ini boleh diumpamakan majikan label iaitu pekerja kontrak hanya bekerja dibawah label sahaja tetapi mereka mempunyai majikan sebenar iaitu AGEN.
Sedar atau tidak, berikut adalah perkara negatif tentangnya dan impak terhadap mereka:
  • Pekerja kontrak tidak dapat layanan yang sama seperti pekerja tetap. Status perjawatan mereka sebenarnya berada dalam keadaan tidak stabil, tiada jaminan dan tidak kekal. Pada bila-bila masa sahaja mereka ini boleh diambil bekerja dan diberhentikan mengikut kehendak majikan label (majikan utama bukan agen).
  • Ada kes menunjukkan bahawa ada dikalangan pekerja kontrak yang langsung tidak dilindungi insurans!. Bagaimana jika pekerja tersebut mendapat kemalangan di tempat kerja? Apakah majikan label akan bertanggungjawab? Jika benar, pekerja kontrak ini tidak dilindungi insurans, maka ini menyamai seperti amalan perhambaan (hamba abdi).
  • Ada juga kes bahawa pekerja kontrak ini langsung tidak dicarum untuk simpanan hari tua mereka (KWSP). Ini amat merugikan kerana banyak masa terbuang akibat tidak mencarum untuk hari tua mereka semasa mereka bekerja. Tidak kurang juga nilai caruman pekerja dipotong atau dikurangkan oleh agen kerana itulah pertambahan imbuhan kepada agen pekerja tersebut. Perkara ini sebenarnya salah dan boleh diambil tindakan tetapi ianya seperti menjadi perkara biasa bagi pekerja kontrak dan agen tersebut.
  • Pekerja kontrak sering mengadu bahawa pembayaran gaji oleh agen tidak tentu masa, kurang dari sepatutnya dan tidak telus. Ini kerana ada agen yang tidak menyediakan slip pembayaran gaji dengan betul kepada pekerja kontrak tersebut. Apabila hal ini timbul, secara tidak langsung, majikan label mudah lepas tangan dengan menyatakan bahawa bayaran telah dilakukan kepada agen.
  • Pekerja kontrak tidak layak untuk mendapat kemudahan yang dirunding oleh Kesatuan Sekerja dan Majikan. Ini adalah sesuatu yang merugikan kepada pekerja tersebut. Lagi malang apabila jika berlaku pertikaian pekerja kontrak dengan majikan label, mereka ini tidak akan diwakili Kesatuan Sekerja malah agen juga terpaksa menurut perintah majikan label demi menjaga “bisnes” mereka.
  • Gaji pekerja kontrak mungkin lebih tinggi dari pekerja tetap disebabkan ada yang tidak mencarum KWSP. Tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak dapat menikmati imbuhan tambahan seperti bonus, perkongsian keuntungan, pampasan dan sebagainya.
  • Perjanjian kontrak hanya berlaku diantara majikan label dan agen. Tiada pekerja kontrak terlibat atau terkandung didalamnya. Biasanya didalam kontrak, agen akan “membekalkan” sejumlah pekerja kontrak kepada majikan label untuk tempoh tertentu, menggantikan pekerja kontrak yang berhenti dan bertanggungjawab jika pekerja kontrak ada masalah disiplin. Ini amat menguntungkan hanya kepada agen dan majikan label. Manakan tidak, mereka seolah-olah menjual beli tenaga pekerja kontrak tanpa pekerja itu sedari.
  • Salah satu cara untuk mengawal kadar gaji atau upah dipasaran. Majikan label beranggapan bahawa kadar upah yang ditawarkan oleh pekerja kontrak adalah murah dan dalam masa yang sama pekerja kontrak pula anggap gaji mereka adalah tinggi dari pekerja tetap sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka telah memperjudikan masa tua mereka dengan tidak mencarum. Akhirnya kadar gaji/upah ini hanya berputar disekitar RM500 hingga RM600 sahaja.
Rasanya banyak lagi perkara negatif untuk dibuat penilaian. Ini adalah satu epidemic terhadap sektor pekerjaan. Sistem yang diamalkan ini umpama jualbeli manusia tanpa pekerja itu sedar dan mempersetujuinya. Dalam pada itu, seperti yang pernah dikeluarkan dalam blog ini juga, terdapat usul untuk diperbentangkan di Parlimen untuk “menghalalkan” urusan “jualbeli” ini melalui agen. Dalam erti kata lain, kewujudan agen atau agensi pembekalan pekerja kontrak ini akan disahkan mengikut undang-undang dan dianggap majikan sedangkan majikan label boleh berdondang sayang.
Peranan kita sebagai pekerja, perlulah mengelak untuk menjadi pekerja kontrak dan dalam masa yang sama, marilah kita bersama-sama mengesa Kerajaan yang ada sekarang memantau keadaan ini. Cegah sebelum parah. Hari ini pekerja kontrak untuk dikalangan pekerja bawahan atau operator dan tidak mustahil bahawa akan datang pasti akan ada pekerja kontrak untuk jawatan pertengahan dan atas. Pekerja sendiri yang tentukan. Pokok pangkalnya isu ini berlaku apabila tiada penetapan gaji minimum untuk pekerja swasta. Apakah ini dinamakan “pemerdagangan manusia yang dihalalkan” oleh mereka yang berkuasa?

Rabu, 1 Jun 2011

Kesatuan Sekerja: Keperluan atau Hanya Bila Timbul Masalah?

Kesatuan Sekerja (Union) adalah suatu perkara yang mungkin dianggap amat sensitif dikalangan pekerja. Malahan ada pula yang secara lantang menyatakan bahawa mereka akan kehilangan mata pencarian jika menyertainya. Ada pula yang menganggap Kesatuan Sekerja ini adalah suatu keperluan apabila timbul masalah jika tiada masalah, maka tidak ada pun tidak mengapa. Kenapa?

Sejarah selalu mengajar kita pelbagai perkara terutama tentang kehidupan. Keadaan kehidupan biasanya diibarat sebagai roda berpusing. Jika berada diatas, maka “selesa” kehidupan kita begitulah sebaliknya bila berada dibawah. Pernahkah kita berada dikedua-dua situasi tersebut atau orang disekeliling kita mengalaminya? Kita selalu diajar supaya jangan lupa diri bila berada diatas dan sentiasa beringat.

Tentunya kita ingat semasa keadaan ekonomi merudum sekitar tahun 1997, 2007 dan sebagainya. Sektor perkilangan mengalami pelbagai masalah sehinggakan ada diantara mereka mengambil tindakan drastik dengan “membuang” pekerja, menghadkan pengeluaran dan perbelanjaan, memotong peruntukkan dan sebagainya. Syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai cawangan diserata dunia seperti Seagate, Intel, Flextronics, Jabil, Hewlett Packard dan banyak lagi telah mencatatkan pembuangan pekerja mereka akibat tekanan ekonomi. Jangan dianggap nama-nama besar seperti ini mempunyai rekod bersih dan boleh dijadikan majikan terbaik kerana sistem kapitalis tidak akan sedikitpun memikirkan kebajikan pekerja mereka bila mengira keuntungan yang mereka perolehi.

Jangan menjadi dangkal akal apabila mengikut situasi semasa. Keadaan tidak mendesak, tiada masalah ditempat kerja, gaji yang baik dan sebagainya menjadikan alasan untuk tidak memerlukan Kesatuan Sekerja. Perlu diingat hari ini kita diatas, bila pula kita dibawah? Atau bila ditimpa masalah baru hendak mencari pertolongan ibarat “kapal hendak karam, baru sibuk mencari pelampung”. Itu sudah terlambat dan diri sendiri yang rugi.

Takut?. Apakah jika kita ingin menuntut hak dan kebajikan kita sendiri pun akan timbul rasa takut? Takut perlulah bertempat dan jangan sebarangan. Melalui Kesatuan Sekerja, anda akan sedar hak anda sebagai pekerja dan juga manusia. Sedangkan selama ini, kaum pemodal (syarikat) hanya tahu mengejar keuntungan dan mengabaikan kebajikan anda. Apakah anda akan takut jika mengetahui bahawa syarikat tempat anda bekerja tidak menyediakan atau melindungi pekerja mereka dengan insurans? Apakah anda akan takut jika mengetahui bahawa dalam beberapa bulan akan datang, akan ada pekerja (mungkin termasuk anda) terpaksa diberhentikan kerana syarikat hendak mengurangkan kos? Apakah anda akan takut jika anda dituduh melakukan kesalahan dalam perusahaan dan dipaksa berhenti tanpa anda boleh mempertahankan diri? Jika semua perkara ini akan berlaku kepada anda sedikit masa lagi, dan semasa itulah anda cuba untuk memohon bantuan Kesatuan ataupun mana-mana pihak, mungkin tindakan anda agak terlambat.

Masalah tempat kerja datang tidak kira waktu. Hari ini, esok, bulan depan atau tahun depan pasti akan timbul masalah. Contoh yang nyata apabila tiada kerja lebih masa (OT) diperuntukkan atau ianya dikawal, tiada bonus atau kenaikan gaji, sengketa antara rakan sekerja ataupun penyelia, elaun dan peruntukan dikawal dan sebagainya telah banyak dialami oleh pekerja. Sedar atau tidak, anda sendiri yang tentukan.

Kesimpulannya, wujudnya Kesatuan Sekerja adalah:

  • untuk membela pekerja yang ditindas;
  • untuk memberikan kesedaran kepada pekerja keseluruhannya;
  • memberi bantuan dan sokongan dalam berhadapan dengan majikan;
  • mewujudkan suasana harmoni diantara majikan dan pekerja;
  • mewujudkan situasi “menang-menang” majikan dan pekerja;
  • mencari penyelesaian dan keadilan kepada pekerja dan banyak lagi…

Logo

Sebagai pekerja, informasi ini perlu kita ketahui. Mari kita belajar dari sejarah. Jangan menutup peluang dan ruang untuk diri kita sendiri. Kelak , diri sendiri, keluarga dan masyarakat akan rugi dan tiada apa yang tinggal. Beringatlah, kita bukanlah yang membuat keputusan tetapi kita sentiasa terdedah dengan keputusan majikan yang tidak wajar. Kesatuan adalah untuk pekerja dan ia perlu wujud serta disokong oleh pekerja itu sendiri.

Logo KSIEWSSM

Dengan ini memperkenalkan logo rasmi Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM).

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan penggunaan logo, sila hubungi Majlis Eksekutif.


Isnin, 23 Mei 2011

Rasionalisasi Subsidi dan Rasionalisasi Gaji

Isu "merasionalisasikan" subsidi menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini. Dengan menggunakan ayat rasional ini sahaja telah menaikkan harga gula sebanyak 20sen. Kini ada pula ura-ura untuk menaikkan harga minyak popular dikalangan rakyat biasa iaitu RON95 dan belum reda hal ini, secara tiba-tiba pula wujud tarif elektrik. Nampaknya peningkatan harga barangan tidak dapat dielakkan lagi. Begitulah rasionalnya dengan penggurangan subsidi.
Memang tidak dinafikan, kebanyakan harga barangan adalah diluar kawalan. Dan setiap peningkatan harga diperingkat global akan menyebabkan beban tanggungan kerajaan terhadap subsidi semakin bertambah. Tetapi adakah rakyat khususnya pekerja mampu menyerap kos yang sengaja "dilepaskan" oleh kerajaan? Jika kerajaan tahu menggunakan perkataan "rasionalisasi subsidi" dan agak molek kiranya kerajaan juga menggunakan perkataan yang sama untuk menjadi "rasionalisasi gaji". Adakah rasional jika gaji pekerja khususnya bawahan pada kadar RM500 ~ 720 sebulan? Peningkatan kos dijangkakan akan berada disekitar 10 hingga 20% dari harga asal. Ini bermakna masyarakat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk barangan yang sama sedangkan kadar kenaikan gaji hanya sekitar 2.5 - 5% setahun!!. Tentunya ini tidak rasional.
Adalah lebih baik sebelum Kerajaan menetapkan untuk menarik semula pemberian subsidi, mereka perlulah membuat keputusan dalam menetapkan kadar gaji minimum dengan kadar segera. Jangan hanya tahu untuk menetapkan tarikh untuk berbincang tetapi semua kos telah dinaikkan. Cadangan asal untuk RM900 gaji minimum dan elaun COLA untuk pekerja swasta perlu difikirkan dan disegerakan. Pekerja sudah bosan mendengar perbandingan harga barangan di Malaysia dan di negara lain lebih murah dijadikan alasan.

Sebelum Rasionalisasikan Subsidi, sila Rasionalisasikan Gaji Pekerja!!!

Catatan Pekerja Marhaen

Sejak akhir-akhir ini, duniaku terasa amat sempit dan bagaikan dihimpit berterusan akibat peningkatan kos kehidupan. Aku tidak bimbang dengan kenaikan harga minyak 97 kerana aku tahu, kenderaan untuk aku pergi mencari rezeki ini masih boleh bergerak dengan minyak 95 walaupun ianya dikhabarkan berkualiti rendah dan bakal dinaikkan jua. Tetapi apa yang boleh aku buat? Aku tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan apa yang harus aku tuang dan apa yang harus aku guna sehari-hari. Biarlah mereka yang berkuasa tentukan. Tetapi yang paling aku runsingkan apabila mereka ini juga telah dan akan membuatkan harga diesel, gula, tepung, beras dan sebagainya naik. Ini akan menyebabkan nilai wang yang aku perolehi dari gaji aku makin susut. Apa guna aku merungut walaupun penat seharian membanting tulang? Siapa yang akan mendengarnya dan membantuku? Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Aku menjadi tidak keruan bila congakkan perbelanjaan harian aku akan meningkat tidak lama lagi. Anak dan isteri dirumah perlu makan, pakai dan sebagainya. Aku ini ketua keluarga, hendak tak nak terpaksa juga fikir mencari penyelesaiannya. Perlukah aku tunggu sehingga kenaikan gaji yang tidak seberapa? Apakah perlu aku mencari pendapatan sampingan? Itu mungkin mustahil, sebab hampir seharian aku membanting tulang ditempat kerja dan mana mungkin aku bisa memerah tenaga selanjutnya. Aku amat penat. Penat fikiran, penat seluruh tubuh malah penat segalanya. Penghidupan aku tetap sama. Kini aku dihimpit lagi. Nampaknya semakin berat beban yang aku tanggung. Aku memang tidak bisa menyimpan, rezeki ku ini selalunya tidak sempat menjengah ke hujung bulan. Aku selalu tebalkan muka untuk meminjam. Itulah rutin bulanan ku sehingga bulan mengambang penuh. Tapi aku terpaksa. Terpaksa mengharapkan belas rakan. Aku tidak tau bagaimana masa akan datang. Tetapi aku tahu esok tetap hari yang sama bagiku. Tetapi tiada apa yang mampu aku lakukan kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Aku sering mengharapkan majikan prihatin dengan masalah ku, rakan-rakan prihatin dengan masalahku, wakil rakyat prihatin dengan masalahku dan kerajaan prihatin dengan masalahku. Tetapi aku sedar hakikat pemodal tidak mahu rugi, rakan tidak mahu beban, wakil rakyat hanya mahu undi dan kerajaan hanya mahu kuasa. Tidak dapat mengharap mereka-mereka ini untuk membantuku. Kepura-puraan mengatasi segalanya. Media hanya ghairah untuk memaparkan isu sensasi. Aku tidak mahu isu politik, aku tidak suka isu moral, tetapi aku mahu mereka papar isu pekerja seperti aku. Penat aku mengais tetapi masih tidak cukup. Sensasikan cerita ku ini? Mungkin tidak. Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Aku perlu teruskan hidupku. Walaupun susah dan jerih, tetapi aku perlu juga mencari rezeki. Rezeki untuk anak, rezeki untuk isteri dan rezeki untuk sendiri. Aku juga sudah bosan, sudah bosan dengan janji para hipokrit. Mana gaji minimum ku? Mana pembelaan ku? Sudah bertahun aku menunggu dan janji para hipokrit bersilih ganti bergalang ganti. Apa guna bergelar bangsa Malaysia, melayu, cina atau india sekalipun, tetapi gagal membela anak Malaysia! Walaupun sedih tetapi aku akur. Aku terpaksa mengikat perut. Menganda tenaga yang ada. Kerana aku tau itulah yang bakal aku dapat seperti biasa. Tak mahu menunggu janji ataupun memang sudah suratan takdir bahawa hidup dan matiku sebagai buruh. Kerana aku hanya seorang buruh biasa!!.

Pekerja Marhaen...


Catatan ini dikirimkan oleh "Pekerja Marhaen" melalui email Kesatuan.

Selesakah penghidupan anda sekarang?