Malaysia tidak boleh bertindak dengan mengurangkan lagi subsidi kerana sebahagian besar rakyat di negara ini hidup di bawah garis kemiskinan, kata Kongres Kebangsaan Kesatuan Malaysia (MTUC).
Dibebani harga barangan keperluan yang terus naik, maka adalah wajar kerajaan memperkenalkan dasar gaji minumum, kata presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.
Sambil merujuk kajian yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia tahun lalu, Syed Shahir berkata 34 peratus golongan yang makan gaji sekarang berpendapatan kurang RM720 sebulan dan berada di garis kemiskinan negara.
"Tiada kerajaan penyayang yang akan menaikkan lagi kos hidup sehingga membebankan rakyat.
"Kerajaan Malaysia sekarang ini tidak peduli dan mereka terus menaikkan harga barangan keperluan asas yang diperlukan rakyat untuk terus hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula, semuanya akan menyebabkan kesan inflasi.
Syed Shahir berkata kerajaan tidak sensitif kerana kebanyakan isi rumah rakyat malaysia tidak dapat menampung kenaikan barangan keperluan itu.
Kerajaan katanya, tidak sepatutnya memotong subsidi untuk menjimatkan dana awam tetapi sebaliknya mengamalkan pentadbiran berjimat-cermat.
"Kerajaan mesti mencari jalan lain bagi memotong perbelanjaannya seperti mengurangkan perbelanjaan pertahanan dan mengurangkan rasuah, termasuk memberikan kontrak yang nilainya 'lebih tinggi' kepada kroni di semua peringkat.
"MTUC mengingatkan kerajaan supaya mengambil kira kebajikan dan masa depan rakyat, termasuk pekerja dan keluarga mereka sebagai tanggungjawab utama mereka,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan