Terdapat sebahagian dari pekerja mahupun mereka-mereka yang kononnya “bijak” mengeluarkan pendapat bahawa “jika wujudnya Kesatuan yang mewakili Pekerja, maka makin ramailah pelabur akan lari”. Apakah kenyataan ini ternyata benar atau hanya dongeng yang dijaja untuk menakutkan pekerja? Mari kita nilai berdasarkan fakta yang disenaraikan dibawah:
- Negara-negara yang lebih maju dari Malaysia, secara fakta yang diperolehi; mempunyai lebih banyak bilangan Kesatuan Sekerja.
- Contoh yang terdekat; Pelabur lebih berminat untuk melabur di Singapura walaupun pembayaran gaji pekerja disana lebih tinggi, wujud Kesatuan Sekerja dan kos lebih tinggi.
- Pelabur asal Eropah misalnya, mengalakkan wujudnya Kesatuan Sekerja kerana ianya dapat meningkatkan produktiviti, saling bantu membantu dan menjadikan suasana industri lebih harmoni.
- Pelabur telah mengeluarkan banyak perbelanjaan dan sepanjang proses “establishment” mereka, banyak perkara dan pelaburan telah dikeluarkan tetapi tindakan untuk menarik kembali pelaburan kerana wujudnya Kesatuan Sekerja adalah tidak masuk akal dan merugikan mereka sendiri lebih daripada apa yang tuntutan dari Kesatuan Sekerja.
- Pelabur sehingga kini dapat memunggut keuntungan yang berbillion-billion US Dollar tetapi adakah kerana peningkatan sedikit RM untuk kenaikan majoriti pekerja bawahan membawa kerugian kepada pelabur itu sendiri?
- Sesetengah pelabur itu sendiri beranggapan bahawa jika wujud Kesatuan, moral dan tahap kerja pekerja itu sendiri akan lebih baik.
- Pelabur kebanyakan sebenarnya tidak mempunyai halangan sekiranya dijelaskan dengan baik oleh Jabatan Sumber Manusia mereka sendiri yang mana mereka-mereka ini diambil bekerja terdiri dari orang-orang tempatan. Malangnya, orang tempatan ini tidak menjelaskan dengan tepat kepentingan Kesatuan Sekerja, malah menganggap ianya akan menyusahkan mereka.
- Pelabur di Malaysia sendiri mempunyai Kesatuan mereka sendiri seperti Malaysian Employer Federation (MEF), tetapi apabila pekerja ingin menubuhkan Kesatuan atau menyertainya, kenapa perlu takut?
- Malaysia adalah salah satu dari destinasi pelaburan bagus disebabkan iklim dan persekitaran sesuai, kestabilan politik, kemudahan tenaga kerja dan asas yang baik dan sebagainya. “Cost of living" pun boleh dikira amat sesuai untuk pelaburan jangka masa panjang berbanding dengan jiran terdekat, Singapura. Tetapi adakah kewujudan atau adanya Kesatuan Sekerja akan menjadikan Malaysia tidak stabil dari segi apa yang disebutkan diatas?
- Kerajaan juga tidak memainkan peranan penting dalam penerangan berkenaan dengan Kesatuan Sekerja kepada pelabur luar. Ekonomi dan taraf hidup rakyat menjadi lebih baik dengan adanya wakil pekerja. Tapi apakah ini berlaku?
- Nama baik pelabur tidak terjejas sekiranya aktiviti pemantauan dilakukan oleh Kesatuan Sekerja terhadap pengeluaran mereka. Bagaimana sekiranya pengurusan tempatan pelabur tersebut tidak mengendahkan aspek keselamatan dan keselesaan tempat kerja maka akhirnya berlaku tragedi meragut nyawa dan mengancam masyarakat kerana tiada pemantauan? Bukankan pelabur sendiri dipersalahkan?
Jelas, perkara-perkara yang disebutkan diatas sepatutnya tiada halangan bagi setiap pelabur sama ada baru atau lama, untuk menerima “kehadiran” Kesatuan Sekerja dalam meningkatkan keharmonian di tempat kerja. Pekerja perlu sesuatu entiti bagi mewakili mereka yang barangkali bukan sahaja ditekan dan ditindas oleh pengurusan “orang tempatan” tetapi pekerja-pekerja disekeliling seperti ketua bahagian, ketua pengeluaran dan sebagainya. Tindasan, diskriminasi, gangguan seksual dan sebagainya di tempat kerja menjadikan pekerja tertekan dan jarang dilaporkan serta diambil tindakan kerana mereka tidak berkeupayaan untuk menyuarakannya. Inilah menjadi tugas kepada Kesatuan Sekerja dimana dalam masa yang sama, boleh menjaga nama baik “pelabur” disebabkan tindakan yang tidak diketahui ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan