...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Khamis, 18 November 2010

Bimbang Kehilangan Kerja atau Tidak Faham...

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Malaysia sebanyak 433,702 orang pekerja dalam sektor swasta dan 306,168 pekerja sektor awam menganggotai Kesatuan Sekerja masing-masing pada tahun 2009. Ini bermakna hanya lebih kurang 6% sahaja warga pekerja sama ada awam mahupun swasta menjadi ahli Kesatuan Sekerja masing-masing. Dengan jumlah warga pekerja melebih 12 juta orang diseluruh Malaysia dan tidak termasuk pekerja warga asing, jumlah 6% ini amat membimbangkan dengan majoritinya bekerja dengan tanpa perlindungan mahupun sokongan dari Kesatuan Sekerja.

Apakah sebabnya golongan ini tidak menyertai Kesatuan Sekerja? Mungkin perkara-perkara disebutkan dibawah ini menjadi alasan kenapa kadar penyertaan amat rendah:
  1. Ketakutan akan kehilangan kerja,
  2. Tiada kesedaran,
  3. Kurang pengetahuan,
  4. Selesa dengan kerja,
  5. Tidak Tahu Sumber/Bantuan yang ada,
  6. Bergantung harap kepada bantuan Kerajaan,
  7. Mempunyai pilihan kerja lain,
  8. Malas dan tidak peduli,
  9. Tidak yakin dengan Kesatuan,
  10. Terlalu rumit dan sebagainya...
Sekiranya generasi sekarang mempunyai alasan-alasan seperti diatas, permasalahan warga pekerja terutama pekerja swasta akan berterusan kepada waris generasi akan datang. Masalah gaji, persekitaran tempat kerja, syarat-syarat perkhidmatan, cuti, elaun dan bonus serta diskriminasi akan terus menerus membelenggu mereka. Sejak Kesatuan Sekerja mula bertapak di Malaysia pada lebih kurang 70 tahun dahulu (dizaman perlombongan), pelbagai Kesatuan Sekerja wujud bagi membantu dan membela pekerja. Usaha dari permulaan itu nampaknya tidak menunjukan kesan kepada warga pekerja sekarang. Lihat sahaja contoh statistik diatas dimana kadar keanggotaan amat rendah!. Ini menunjukan kaum pekerja tidak mementingkan generasi akan datang, manakala generasi baru tidak didedahkan tentang kebaikan Kesatuan Sekerja!.

Apakah mereka menunggu Kesatuan membela mereka jika mereka menghadapi masalah, tetapi tidak perlu menganggotainya? Lihat sahaja CUEPAC (Kesatuan Sekerja mewakili pekerja sektor awam), perjuangan mereka untuk mendapatkan COLA, bonus, cuti dan sebagainya adalah untuk lebih kurang 2 juta pekerja awam keseluruhan tetapi hanya sekitar 300 ribu orang sahaja yang menyertainya?

Sesebuah Kesatuan Sekerja yang kuat dan kukuh memerlukan keahlian yang ramai. Tetapi jika diambilkira statistik ini tadi, apakah Kesatuan Sekerja hanya mewakili golongan minoriti pekerja?

Bertindak sekarang...Timbulkan kesedaran diri dengan menjadi anggota Kesatuan Sekerja tidak kira dalam sektor apa pun kerana selagi "makan gaji" dikira sebagai pendapatan utama masyarakat, kita amat memerlukan Kesatuan Sekerja.

"Hidup bagaikan roda, sama seperti pekerjaan kita... hari ini kita selesa, tetapi sampai bila?"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan