...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Isnin, 15 November 2010

Protes dan Demonstrasi Pekerja Warga Asing… Hasilnya?

image
 
Protes lebih 5,000 pekerja asing (laporan http://libcom.org/news/5000-migrants-riot-malaysian-factory-16082010) yang mana meninggalkan kesan yang baik untuk dinikmati bersama mereka sendiri.
Pekerja asing tersebut adalah pekerja sebuah kilang elektronik bertempat dikawasan Perindustrian Tebrau, Johor, membuat protes di asrama pekerja disebabkan ketidakperihatinan majikan mereka apabila salah seorang rakan mereka mati akibat demam panas semasa bekerja. Ini berlaku pada 16 Ogos 2010 apabila majikan tidak membenarkan pekerja malang tersebut untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut. Terdapat juga laporan bahawa pada 4 Ogos, seorang lagi pekerja warga Nepal juga mati akibat lambat untuk mendapatkan rawatan perubatan.
image
 
Pekerja warga asing yang terdiri dari Nepal, Myanmar, Vietnam, Bangladesh dan India telah bersatu hati dalam menganjurkan protes dan demontrasi kerana kematian rakan mereka tersebut. Pekerja-pekerja juga mendakwa bahawa majikan mereka telah menindas mereka termasuk kadar gaji yang rendah dan tiada kemudahan pemantauan kesihatan di tempat kerja yang menggaji lebih kurang  8,000 pekerja tersebut. Lebih kurang 200 anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dipanggil oleh majikan untuk mengawal amarah pekerja yang terbabit dalam protes tersebut. Para pekerja tersebut telah menuntut 4 perkara untuk dipenuhi oleh majikan termasuk kenaikan gaji sebagai syarat untuk perundingan dengan majikan. Pihak Kedutaan Nepal juga menetapkan untuk masuk campur dengan konflik ini.
Protes 3 hari tersebut berakhir dengan kejayaan memihak kepada pekerja tersebut. Pihak majikan telah bersetuju untuk:
  • membayar pampasan sebanyak RM 10,000 kepada waris simati;
  • menaikkan gaji minimum dari RM 428 kepada RM546;
  • menyediakan perkhidmatan ambulan untuk kecemasan dan,
  • kemudahan klinik rawatan dalam premis kilang mereka.
Perjuangan ini menunjukkan apabila pekerja bersatu, mereka boleh memperolehi kejayaan yang dikehendaki, walaupun perjuangan ini membabitkan pelbagai negara, bangsa dan agama dan majikan telah cuba menggunakan taktik “pecah dan perintah” terhadap “kesatuan” pekerja tersebut. Baru-baru ini, semakin banyak pekerja warga asing semakin berani untuk berjuang bagi mempertahankan hak mereka.
Kes eksploitasi pekerja warga asing hanya sekelumit sahaja dilaporkan di Malaysia. Kebanyakan lebih dari 3 juta pekerja warga asing (hampir 10% populasi Malaysia) mendapat gaji yang sangat rendah, masa kerja yang panjang serta tempat kerja dan tempat tinggal yang serba kekurangan. Mengikut data Kedutaan Nepal; dalam tahun 2009, sebanyak 183 pekerja Nepal di Malaysia mati dan 81 orang yang lainnya; dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini, akibat penyakit dan bunuh diri. Terdapat banyak juga kes kematian disebabkan kemalangan industri membabitkan pekerja warga asing.
Dalam masa yang sama, majikan menggunakan tawaran gaji yang rendah kepada pekerja warga asing untuk menakutkan pekerja tempatan supaya tidak menuntut kenaikan gaji. Dengan wujudnya Kesatuan Sekerja Elektronik Wilayah, masalah pekerja akan diambil perhatian oleh majikan kerana ianya dilakukan mengikut suara pekerja itu sendiri. Hampir 90% pekerja tidak berkesatuan (sektor elektronik) dan dasar Kerajaan yang amat pro kepada pelabur dan undang-undang kesatuan sekerja membantutkan banyak usaha perjuangan hak pekerja sektor elektronik.
Walaupun pekerja tempatan kebanyakannya diberi gaji yang lebih sedikit dari pekerja warga asing, tetapi apabila dibanding dengan kadar inflasi yang tinggi, gaji mereka juga tidak mencukupi untuk kelangsungan hidup seharian. Banyak antara mereka terpaksa bekerja lebih masa, membuat dua pekerjaan dan banyak juga yang terpaksa meminjam dengan “lintah darat” apabila tiada jalan keluar.  Malah kajian Kerajaan baru-baru ini mendapati 1.3 juta pekerja telah menunjukan hampir 34% dari mereka menerima gaji dibawah RM 700 sebulan (DIBAWAH PARAS KEMISKINAN RM 720 SEBULAN!!!)
Banyak syarikat mutinasional dan pelabur kapitalis luar telah membuat perusahaan mereka di Malaysia untuk meningkatkan hasil mereka. Mereka tidak peduli sama ada pekerja tersebut tempatan atau warga asing, selagi mereka boleh memerah tenaga pekerja tersebut untuk mendapatkan keuntungan. Hanya pekerja sesama sendiri sahaja yang boleh bantu membantu, bersama-sama berjuang untuk hak mereka sendiri.
Adalah sangat penting untuk kita; Pekerja Sektor Elektronik agar dapat memperkuatkan KSIEWSSM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan