...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Selasa, 12 Oktober 2010

Rang undang-undang ditarik balik, piket diteruskan oleh NGO

Walaupun kerajaan telah menarik balik rang undang-undang bagi meminda Akta Kerja 1955 yang dibidas oleh pelbagai kumpulan, piket yang dirancang lebih awal sebelum ini tetap diteruskan.

Piket itu diteruskan petang ini di dua tempat berasingan Bangi dan Balakong, Selangor dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Di Bangi, piket oleh 15 peserta berlangsung di hadapan Pasar Raya Warta selama 30 minit diketuai oleh koordinator NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) E Nalini.

Menurut Nalini, mereka tetap meneruskan bantahan walaupun pindaannya telah ditarik balik oleh parlimen hari ini "sebagai simbol kemenangan" mereka.

"Kita buat hari ini sebagai simbol penentangan walaupun kita tahu akta ini dipinda. Kita mengumumkan kemenangan kita, sebab itu kita berkumpul hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya lagi kesemua peserta program tersebut terdiri aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan aktivis mahasiswa. Mereka melaungkan "hidup rakyat" dan "kerajaan jangan pinda akta pekerjaan".

Katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat oleh lapan anggota polis yang mengawal di sekitar kawasan tersebut.

"Kami juga turut mengibarkan kain rentang dan poster yang bertulis 'Jangan Pinda Akta Pekerjaan', Jangan Cabut Hak Pekerja'," katanya.

Sementara di Balakong pula, piket lebih sejam bermula 5.20 petang di Perhentian Bas Simpang Balak disertai kira-kira 20 peserta, diketuai Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kajang D Ganesan.

Penerangan di Shah Alam
Menurut Ganesan, peserta yang hadir terdiri daripada aktivis PSM dan pekerja daripada kilang berdekatan.

Enam anggota polis kelihatan berada di tempat berkenaan tetapi mereka hanya kelihatan menggambil gambar peserta piket itu.

Katanya, pihaknya juga turut mempamerkan kain rentang anti pindaan akta itu yang antaranya berbunyi "Kerajaan rampas hak pekerja, hentikan pindaan akta sekarang".
Manakala poster bantahan pula bertulis "Gubal Akta Gaji Minima" dan BN jangan rampas hak pekerja".
Mereka juga turut mengedarkan risalah membantah cadangan kerajaan itu, kepada orang ramai yang lalu lalang selepas pulang daripada kerja, tambahnya.

Sementara itu di Shah Alam, piket tersebut dibatalkan dan digantikan dengan majlis penerangan kepada kira-kira 30 peserta yang hadir di kawasan perindustrian di seksyen 15.

Menurut Bendahari PSM A Sivarajan, menurut Sivarajan, mereka juga turut membawa kain rentang membantah pindaan berkenaan serta mengedarkan risalah kepada pekerja kilang yang baru pulang daripada kerja.

Bagaimanapun, menurutnya, dianggarkan sekitar 50 orang anggota polis hadir mengawal sekitar kawasan itu.

* sumber dari malaysiakini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan