...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Sabtu, 30 April 2011

Temubual Eksklusif Bersama SUA KSIEWSSM



Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk menemubual Setiausaha Agung KSIEWSSM, saudara Rizuan Bin Zainal (gambar). Ikuti temubual berikut:


Blogger Kesatuan (BK): Boleh saudara terangkan serba sedikit tentang diri saudara?
Rizuan Zainal (RZ): Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pembaca blog Kesatuan Sekerja. Semoga informasi yang dipaparkan didalam blog ini akan memberikan inspirasi dan pengalaman penting kepada kaum pekerja khasnya sektor elektronik. Saya telah bergelumang di alam pekerjaan selama hampir 20 tahun dan kiranya saya ini berada digenerasi kedua dalam sektor elektronik. Saya katakan bahawa generasi pertama iaitu generasi elektronik semenjak 1970-an telahpun kebanyakannya bersara dari dunia pekerjaan dan kamilah yang mewarisi pekerjaan mereka. Pengetahuan saya berkaitan dengan Kesatuan Sekerja banyak dipelajari dari mereka-mereka yang lebih dahulu mencuba untuk mewujudkan Kesatuan bagi sektor elektronik semenjak dahulu lagi. Alhamdullilah, generasi kedua ini agak terbuka untuk menerima kehadiran Kesatuan Sekerja walaupun sering ditakutkan oleh majikan. Nampaknya mereka ini celik fikiran dalam segi penyertaan Kesatuan Sekerja.


BK: Saudara adalah salah satu watak penting dalam kepimpinan KSIEWSSM. Apakah halatuju dan misi saudara terhadap KSIEWSSM?
RZ: Sebenarnya kami di KSIEWSSM amat mengharap agar dapat bersama-sama dengan pekerja untuk mencapai misi negara maju dalam Wawasan 2020. Ia juga bersangkut paut dengan matlamat untuk mendapatkan masyarakat berpendapatan tinggi dan suasana kerja yang lebih mesra antara majikan dan pekerja bawahan mereka. Ini sangat penting kerana ianya boleh meningkatkan productiviti dan memajukan sosio ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Disamping itu juga, KSIEWSSM akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan terhadap kaum pekerja dan ahli kami sama ada dari pihak dalam atau luar negara.

BK: Apa pandangan saudara terhadap situasi pekerja elektronik di Malaysia kini?
RZ: Kebanyakannya masih tidak banyak berubah dan ada yang masih ditakuk lama. Jurang diantara majikan dan pekerja sangat jauh serta kurang suasana harmoni antara mereka. Banyak berlaku penindasan yang membuatkan pekerja merasa terkongkong dengan suasana dan waktu kerja yang panjang. Kadar gaji juga tidak berpatutan dengan takat ekonomi masa kini. Faktor keselamatan ditempat kerja juga, ada majikan yang tidak mengambil berat. Malah kadang-kala mereka mematuhi undang-undang keselamatan tempat kerja hanya untuk memastikan lesen perusahaan mereka tidak terjejas. Lagi teruk apabila majikan tidak melaporkan kepada pihak berwajib jika berlaku kemalangan di tempat kerja mereka dan pekerja yang dianggap cuai itu dipecat!. Majikan juga dikesan sering memaksa pekerja mereka untuk bekerja melebihi dari waktu dan hari bekerja yang sepatutnya.

BK: Apakah pendekatan yang saudara lakukan untuk melonjak KSIEWSSM menjadi penaung dan pelindung utama bagi pekerja-pekerja sektor elektronik di bahagian selatan Malaysia?
RZ: Dalam hal ini, kami di KSIEWSSM amat mengalu-alukan kesemua warga elektronik tidak kira bangsa, kaum, agama atau latarbelakang politik mereka untuk bersama-sama dengan kami, saling bantu-membantu satu sama lain untuk mengubah rentak dan suasana sektor elektronik. Ini adalah penting supaya dengan adanya pendedahan dan pengetahuan ini, membuatkan kita celik tentang hak pekerja dan dihormati majikan. Dengan keahlian yang ramai, kita akan saling berbincang untuk kepentingan bersama antara pekerja dan majikan. Secara automatiknya dengan kekuatan yang ada, ianya akan menjadi pelindung yang kukuh untuk kaum pekerja. Perlu diingatkan bahawa kekuatan sesebuah kesatuan itu adalah datang dari sokongan pekerja (keahlian) itu sendiri.

BK: Apakah pendirian KSIEWSSM terhadap gesaan untuk penetapan gaji minimum pekerja swasta?
RZ: Sepatutnya pihak Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat itu kerana atas dasar untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kita sedang mengharungi 2011, bermakna hanya tinggal lagi 9 tahun lagi dan kini gaji operator pengeluaran wanita, misalannya hanya sekitar RM400-RM600 sebulan. Lebih malang lagi, para majikan melalui persatuan mereka (MEF) secara terang-terangan membantah dan memperlecehkan usul gaji minimum ini. Malaysia menetapkan paras kemiskinan pendapatan adalah dibawah RM720 dan ini amat menyedihkan kerana majoriti pekerja berpendapatan pada kadar tersebut. Dengan kos kehidupan rata-rata semakin meningkat saban bulan tetapi ianya tidak seiring dengan kadar kenaikan gaji para pekerja swasta. Rasanya pihak kerajaan perlu merealisasikan slogan "Rakyat didahulukan".

BK: Bagaimana pula pandangan saudara terhadap kerenah "birokrasi" dalam jabatan kerajaan yang sedang dihadapi oleh KSIEWSSM?
RZ: Terus-terang saya tegaskan bahawa perkara ini amat mendukacitakan. Sepatutnya peranan Kerajaan melalui jabatan mereka bersama-sama membantu rakyat dengan lebih terbuka, bekerja dengan efisen dan cekap. Tidak guna jika mewar-warkan imej baru tetapi tahap pemikiran mereka masih dengan yang lama dan penuh birokrasi dan akhirnya merugikan rakyat iaitu pekerja itu sendiri. Saya rasa jabatan kerajaan tersebut perlu memahami apa itu produktiviti sebenar. Pekerja awam dan swasta adalah sama dan jangan anaktirikan pekerja swasta dan silap haribulan ianya akan merugikan kerajaan itu sendiri.

BK: Apa pandangan saudara terhadap barisan kepimpinan MTUC masa kini dan bagaimana pula pada pandangan saudara hala tuju mereka bersama dengan Kesatuan Gabungan?
RZ: Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan MTUC yang terdahulu khususnya Sdr. Syed Shahir kerana dengan inisiatif mereka maka Kesatuan Sekerja Elektronik dapat diwujudkan. Tahniah juga pada barisan baru ini. Pada pandangan saya, walaupun mereka ini baru mengambil alih peranan dalam MTUC, tetapi saya lihat MTUC seperti lemah dan tidak bertaring. Perlu diingatkan bahawa pimpinan sekarang juga bukan calang-calang orang, kerana mereka adalah wakil dari Kesatuan gabungan mereka dalam MTUC. Sepatutnya dengan keadaan sekarang ini, MTUC lah yang banyak berbicara dan berjuang dengan lantang membela pekerja, membantu kesatuan yang masih baru untuk kebaikan bersama. Bercakap dan berbincang tetapi tidak dilaksanakan seperti tiada guna. Halatuju bersama Kesatuan Gabungan masih nampak samar-samar. Banyak agenda tersembunyi seperti yang berlaku dalam MTUC cawangan Johor. KSIEWSSM sehingga kini pun tidak mengetahui perkembangan tersebut walaupun kami ini Kesatuan Gabungan yang sah. Ini masalah utama berlaku dalam MTUC.

BK: Isu "politik dalam MTUC" sentiasa menjadi isu sepanjang masa, khususnya membabitkan orang politik. Apa pandangan saudara terhadap situasi ini?
RZ: Ini adalah soalan yang menarik dan perlu kita terbuka terhadapnya. Undang-undang berkaitan pekerjaan dan pekerja dibuat di Parlimen, siapa yang berada di Parlimen jika bukan orang politik? Dahulu sdr. Zainal Rampak dilantik menjadi Senator Dewan Negara atas kapasiti beliau sebagai Presiden MTUC tetapi adakah cukup seorang dua untuk membuat undang-undang pekerja? Ini bermakna, ahli politik adalah penting untuk kita bicarakan tentang undang-undang pekerjaan untuk kepentingan pekerja. Kita tidak hanya duduk berbincang sehingga bertahun-tahun tetapi tiada apa yang dapat digubal kerana tiada kuasa politik. Disesetengah negara seperti Britain atau Australia, terdapat Parti Buruh yang mewakili kaum pekerja, tetapi di Malaysia, Parti Buruh seperti yang kita tahu telah diharamkan pada tahun-tahun 60an dahulu. Kini kita, kaum buruh hanya bersandarkan pada parti-parti politik yang ada untuk mengubal undang-undang pekerja. Amat merugikan kerana banyak ahli politik kini tidak begitu faham terhadap alam pekerjaan terutama pekerja swasta dalam mengubal undang-undang tersebut. Seperti seorang doktor diberikan tanggungjawab untuk membaiki kenderaan, apa perlu dia lakukan? Tiada kefahaman yang sebenar.

BK: Didalam hal ini, bagaimana sikap dan digaris mana KSIEWSSM berdiri?
RZ: KSIEWSSM mengambil sikap neutral dalam hal ini. Kami merasakan bahawa kepentingan pekerja perlu didahulukan. Kami titik beratkan keadilan lebih penting dari politiking. Diakui bahawa ada dikalangan Exco dan Pegawai mahupun ahli-ahli menjadi pendokong dan penyokong kuat parti politik sama ada kanan atau kiri, tetapi semua itu kami tolak ketepi kerana faktor ahli dan kepentingan pekerja. Tetapi itu tidak bermaksud kami tidak boleh bekerjasama dengan para politiking, dengan syarat utama dipenuhi iaitu PEKERJA.
Dalam sikap neutral ini dan juga masih baru, memang agak sukar untuk berdiri tegak diawal penubuhan, tetapi Alhamdulillah, KSIEWSSM akan sentiasa mengatur strategi untuk mara kehadapan bersama memperjuangkan nasib pekerja.

BK: Apakah matlamat KSIEWSSM seterusnya di peringkat Wilayah, Nasional dan Antarabangsa?
RZ: Kita masih baru dan masih banyak perlu dipelajari dari mereka-mereka yang berpengalaman. Dengan semangat untuk menjadikan KSIEWSSM sebagai satu Kesatuan yang kuat dan benar-benar membela nasib pekerja elektronik dan disenangi oleh semua peringkat di masa hadapan. KSIEWSSM juga merancang untuk bersama-sama dengan KSIEWBSM, KSIEWUSM dan KSIEWTSM untuk merealisasikan penubuhan Kesatuan Elektronik diperingkat Nasional (Pengabungan). Dalam pada itu, KSIEWSSM merancang untuk bersama-sama dengan Pertubuhan Sekerja Antarabangsa seperti IMF, ICEM dan sebagainya untuk memperkuatkan struktur Kesatuan Sekerja.

BK: Akhir kata saudara, apa pesanan saudara terhadap pekerja khasnya pekerja elektronik?
RZ: Di kesempatan ini, saya ingin menggesa semua kaum pekerja di negeri Johor, Melaka dan N.Sembilan khususnya pekerja elektronik untuk bersama-sama menyertai KSIEWSSM. Tidak perlu anda untuk menunggu sehingga timbul masalah baru hendak mencari (sertai) Kesatuan. Apa yang saya dapat katakan jika ini berlaku, ia sudah terlambat. Apa perlu rasa takut? Apakah untuk mempertahankan hak kita sendiri pun ada rasa takut? Saya tegaskan disini, bahawa kaum pekerja perlu bersatu demi masa depan kita sendiri, anak generasi kita akan datang. Pekerja jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang ini, jika sudah bergaji bagus, bonus banyak dan sebagainya kerana itu pada bila-bila masa sahaja majikan boleh menarik balik. Kita ada rekod bahawa ada pekerja yang dahulunya pandang rendah pada Kesatuan Sekerja kini terpaksa memohon bantuan KSIEWSSM. Saya rasa kesal juga apabila sesetengah anasir dikalangan pekerja menjaja perkara yang tidak benar tentang KSIEWSSM sedangkan mereka sendiri tidak tahu. Marilah kita bersama-sama agar sentiasa "celik" dengan pengetahuan perjuangan hak dan nasib pekerja. Akhir kata, KSIEWSSM adalah dari pekerja untuk pekerja. Jadilah warga Malaysia yang berani berjuang untuk hak sendiri. Kenapa warga asing berani tuntut hak mereka dan kita menikus? Selamat Hari Pekerja.



Perutusan Hari Pekerja

Saudara dan saudari yang saya hormati dan kasihi,
Para Pekerja, Buruh, Tenaga Kerja dan apa jua gelaran yang diberikan,


Sebagai pembuka bicara, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur dan berterima kasih kita kepada Allah, Tuhan Pencipta kerana telah menemukan kita pada wadah Kesatuan ini bersempena Hari Pekerja, 1 Mei 2011 (May Day) dalam keadaan suasana sejahtera, aman, tenteram dan ceria.

Jika kita kembali menyorot keadaan dan suasana pada sekitar tahun 1949 dahulu, iaitu semasa sekumpulan pimpinan buruh berkumpul di suatu tempat sulit kerana membincangkan perkara penubuhan "trade union", mungkin kita turut merasa betapa daif dan naifnya gerakan buruh di Malaya pada ketika itu kerana kekangan dek penjajah. Dengan pelbagai kekurangan yang terpaksa ditempuhi dikalangan buruh tanpa badan organisasi khusus yang membela dan membantu meringankan rintihan mereka.

Selepas negara mencapai kemerdekaan,  wujudlah pelbagai Kesatuan Sekerja yang mewakili golongan pekerja dan mereka bergabung didalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kini keahlian pekerja dalam gabungan tersebut telahpun mencapai lebih 500 ribu pekerja seluruh Malaysia. Ketika Malaysia menetapkan dasar pandang ke timur, negara telah membuka ruang kepada sektor elektronik untuk melabur dan bertapak di Malaysia. Tetapi agak malang apabila dasar pandang ke timur ini tidak membenarkan pekerja disektor elektronik untuk mewujudkan Kesatuan Sekerja.


Dan sekarang, setelah sekian lama dibelenggu dan dihalang untuk mewujudkan Kesatuan Sekerja sendiri, pekerja sektor elektronik boleh menarik nafas lega apabila ianya dibenarkan untuk diwujudkan. Hasil dari usaha para pekerja sendiri, maka tertubuhlah Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia pada tanggal 11 Mac 2010 walaupun sektor elektronik telah bertapak lebih dari 30 tahun di Malaysia. Kesatuan Sekerja Elektronik dibenarkan bergerak mengikut wilayah yang ditetapkan iaitu Barat, Selatan, Utara dan Timur. Diatas kapasiti Kesatuan Sekerja Elektronik Wilayah, kini pekerja sektor tersebut boleh bersama-sama mengatur langkah dan berdiri sebaris dengan Kesatuan Sekerja lain yang lebih lama dan berpengalaman. Usaha untuk memperjuangkan nasib pekerja elektronik kini semakin kukuh apabila pekerja mendapat platform atau wadah khusus dari sebelumnya.

Saudara dan saudari yang dirahmati Tuhan,
Dalam perutusan ini, kami mengemukakan beberapa perkara yang akan memihak kepada kebajikan pekerja sektor elektronik. Antaranya; peruntukan tambahan cuti bersalin, penetapan gaji minimum, penubuhan pusat latihan kemahiran, faedah perubatan, faedah persaraan dan pemberhentian kerja, waktu dan hari bekerja. Namun sebelum dihuraikan secara lanjut perkara-perkara tersebut, penjelasan ringkas terhadap hal hubungan antara pekerja dan majikan perlu diketahui dan dengan penjelasan ini akan dapat dimanafaatkan oleh setiap generasi pekerja.
  1. Pekerja, sebagaimana sifat tabii manusia ciptaan Tuhan, tentulah juga mempunyai perasaan, emosi, keinginan dan memerlukan layanan yang bersifat "memberi dan menerima" disamping memerlukan kepuasan bersifat "menang-menang". Oleh itu, pekerja dalam sesebuah organisasi, sama ada industri besar, syarikat, institusi, kilang, ladang dan sebagainya, maka hubungan diantara pekerja dan majikan perlulah berada dalam hubungan "atas ke bawah" yang autoritatif tetapi harmoni dan hubungan "bawah ke atas" yang terbuka tetapi bukan bersifat "melawan tauke". Majikan tidak boleh menganggap pekerja mereka umpama hamba atau "benda mati" yang boleh mereka buat sebarangnya. Kuasa wang yang ditekankan kepada pekerja tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya demi meneruskan kuasa kapitalis kaum pemodal. Dalam pengertian yang mudah, seseorang pekerja itu setelah mereka menerima tawaran bekerja dengan gaji tertentu, perlu bekerja menurut tugasan yang ditetapkan oleh majikan. Setiap perkhidmatan yang diberikan perlu diberikan ganjaran sewajarnya pada pekerja tersebut. Tetapi seseorang pekerja itu tidak boleh dianggap "dipunyai" atau dimiliki sepenuhnya oleh majikan. Para pekerja juga perlu bersedia melakukan kerja dengan penuh berkualiti disamping bersikap jujur dan amanah. Mereka juga diingatkan untuk menjaga perhubungan harmoni dengan ketua mereka, pekerja-pekerja lain dan majikan. Sikap saling hormat-menghormati dan bertolak ansur terbukti mampu mewujudkan suasana yang kondusif ditempat kerja. Jika perkara-perkara tersebut tidak diamalkan, lama-kelamaan ianya akan menimbulkan bibit-bibit ketidakpercayaan antara pekerja, pecah amanah, tiada kualiti dalam pekerjaan dan mungkin akan menimbulkan sikap tidak puas hati berlaku. Ini akan menjadi suasana huru-hara!.
  2. Kita sedar kepentingan pekerja swasta terhadap suasana ekonomi negara masa kini, maka perlulah Kerajaan kini memandang serius terhadap setiap tuntutan yang dikemukakan oleh kebanyakan Kesatuan Sekerja. Diantara yang dituntut adalah penetapan kadar gaji minimum yang mana pada masa ini, kadar gaji minimum tidak ditetapkan dan ianya bergantung kepada majikan itu sendiri. Dengan peningkatan kos taraf hidup sama ada di bandar atau di mana mana tempat diseluruh Malaysia, kadar gaji minimum perlu disegerakan dan dimuktamadkan. Rata-rata, golongan pekerja bawahan menerima gaji dibawah paras kemiskinan RM720 sebulan! Justeru itu, kami beranggapan bahawa kadar gaji minimum yang berpatutan adalah sebanyak RM750 sebulan dan ianya perlu dikaji setiap tahun mengikut kesan taraf hidup yang semakin meningkat.\
  3. Kami juga sedang meneliti setiap faedah perubatan, faedah persaraan, waktu dan hari bekerja, umur persaraan yang ideal, pemberian bonus dan termasuk pemecatan akibat tindakan tatatertib. Terdapat faedah yang tidak dipedulikan oleh majikan. Kami beranggapan bahawa ianya menjadi tanggungjawab sosial majikan bagi memenuhi dan melaksanakan setiap faedah yang ditetapkan. Namun begitu, majikan dialu-alukan untuk mengadakan perbincangan khusus berkaitan faedah tersebut bersama dengan KSIEWSSM demi kepentingan dan kebajikan pekerja mereka sendiri. 
  4. KSIEWSSM ingin mengingatkan kepada saudara dan saudari, para ahli Kesatuan untuk sentiasa terus menjalankan dan melaksanakan tugas dengan dedikasi, penghasilan pengeluaran yang berkualiti dan memahirkan pengetahuan dan kebolehan sendiri. Dengan tiga aspek ini, melayakan pekerja untuk mendapat gaji yang setimpal, disamping berkelayakan untuk menerima faedah sampingan dari majikan mereka sendiri. Para pekerja juga diingatkan untuk bekerja dengan rajin, jujur, amanah dan saling hormat-menghormati diantara satu sama lain.
Juga, dalam kesempatan ini, saya selaku Setiausaha Agung KSIEWSSM dan mewakili Ahli-ahli EXCO dan Pegawai Kesatuan, dengan rendah diri, memohon kerjasama erat dari barisan kepimpinan MTUC dan pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia agar kita bersama melaksanakan agenda-agenda kepentingan dan kebajikan pekerja keseluruhannya. 

Marilah kita bersama-sama meraikan hari khusus untuk kita sebagai generasi pekerja.

Semoga Tuhan memberkati Hari Pekerja 

Dari Pekerja Untuk Pekerja,  
Wassalam,

Rizuan Bin Zainal,
Setiausaha Agung KSIEWSSM
1 Mei 2011

Rabu, 27 April 2011

Kerajaan Perlu Lulus Gaji Minimum (Sumber: Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 27 April: Kerajaan sekali lagi diingatkan agar menjaga kepentingan golongan pekerja dengan meluluskan tuntutan gaji minimum yang sejak sekian lama disuarakan mereka.
Penyelaras Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes), Dr Mohd MHatta Ramli (gambar) berkata, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini seharusnya memberikan suatu perubahan ke arah meningkatkan kualiti dan taraf hidup pekerja yang berada di bawah paras kemiskinan.
"Sempena hari pekerja ini, kita (Protes) harap segala tuntutan khususnya gaji minima ini diambil serius oleh para majikan untuk mengeluarkan para pekerja kita daripada kongkongan kemiskinan dan mula bergerak ke arah pendapatan sederhana, kalau pun tidak melebihi RM2,000 sebulan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Bendahari PAS itu juga menegaskan, untuk memastikan golongan pekerja terbanyak ini dapat menyumbang kepada produktiviti negara, majikan seharusnya terlebih dahulu menimbangkan segala tuntutan mereka.
"Kita mengharapkan kumpulan pekerja yang teramai ini diperkasakan supaya kita mendapat pekerja yang produktif. "Ini bermakna para majikan harus menimbangkan tuntutan-tuntutan yang wajar seperti gaji minima,elaun perumahan dan sebagainya supaya isu ini tidak membebankan para pekerja adan menyebabkan produktiviti mereka terjejas," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan harga barang keperluan asas supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati hasil pendapatan mereka dengan lebih baik. "Untuk menjaga kepentingan golongan pekerja ini, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang drastik untuk menangani isu kenaikan harga barang dan berjanji tidak akan menaikkan harga-harga barangan penting seperti minyak dan sebagainya supaya pekerja dapat menikmati hasil pendapatan mereka lebih baik dan juga mengekang inflasi daripada terus naik," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberi tempoh selama dua bulan untuk kerajaan menurunkan harga barang yang telah naik selain menjelaskan perangkaan inflasi negara yang tenat di sebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika. Lim berkata, pengukuhan matawang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara iaitu mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.
Namun anehnya apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.
Lim berkata berdasarkan perangkaan kerajaan, kadar inflasi sejak tiga bulan lalu dicatatkan pada kadar 2.8 peratus. "Kenapa kita tidak lihat harga barangan di luar negara turun tetapi di Malaysia harga barang terus naik? Adakah awak lihat harga tepung susu turun. Semua ini diimport. "Kita adalah rakyat yang bertolak ansur. Kita beri dua bulan lagi untuk harga barangan turun. Jika tidak kerajaan mesti berikan jawapannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, dekat sini, semalam.

Sabtu, 23 April 2011

Deklarasi Sempena Hari Pekerja

Sebanyak 25 kumpulan yang terdiri daripada parti politik, NGO dan persatuan mahasiswa menuntut kerajaan menghentikan segala bentuk sandiwara dalam pelaksanaan akta gaji minimum. Sempena deklarasi Hari Pekerja Sedunia itu, kumpulan tersebut juga menuntut supaya Kerajaan mengawal kenaikan harga barangan yang berterusan meningkat sehingga membebankan rakyat ekoran kenaikan kos hidup yang semakin tinggi. "Kenaikan harga barang seperti minyak dan gula memberi impak yang tinggi kepada rakyat dan kaum pekerja khususnya yang berpendapatan rendah. "Alasan yang diberikan oleh kerajaan – 'penyelarasan subsidi' iaitu mengalihkan beban subsidi dan defisit yang ditanggung oleh kerajaan kepada rakyat untuk mengelakkan kerajaan menjadi muflis. “Ini merupakan satu hujah yang tidak rasional kerana pada masa yang sama kerajaan dengan bangganya mengumumkan pelbagai projek mega seperti bangunan 100 tingkat yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut deklarasi 1 Mei sempena hari pekerja itu lagi pembaziran seumpama itu tidak seharusnya dilakukan dalam keadaan rakyat terbelenggu dengan pelbagai tekanan ekonomi akibat sistem kapitalis ini. “Walaupun kerajaan kerap mengisytiharkan kejayaannya menguruskan ekonomi namun ia tidak mampu mengubah kehidupan rakyat.

“Rakyat masih terbelenggu dengan pelbagai beban yang dialihkan oleh pihak kerajaan kepada mereka.," kata mereka dalam satu kenyataan. "Yang miskin terus miskin, yang kaya terus mengawal dan menikmati sumber kekayaan negara. "Malaysia mempunyai jurang perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin paling tinggi di Asia Tenggara. "Kira-kira 40 peratus penduduk hanya memiliki 14.3 peratus pendapatan negara sedangkan golongan atas 20 peratus memiliki 50 peratus pendapatan negara."

Memetik sumber daripada kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, kumpulan itu berkata 34 peratus daripada pekerja di negara ini menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu RM720 sebulan. "Dasar ekonomi yang menjurus ke arah pertumbuhan ekonomi dan sistem pasaran terbuka semata-mata terus dipersoalkan kerana ia tidak menjamin agihan ekonomi yang adil. "Tumpuan terhadap arah pertumbuhan ekonomi semata-mata hanya akan merangsang persaingan di kalangan kaum pemodal tanpa kawalan seterusnya menggalakkan penindasan ke atas pekerja," kata mereka.

Sehubungan itu menjelang sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini, mereka menuntut 18 perkara daripada kerajaan:

•Hentikan rundingan Perjanjian Perdagagan Bebas (FTA) dengan EU dengan melibatkan rakyat dalam proses membuat keputusan.

•Hentikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat

•Gubal rang Undang-undang anti gangguan seksual untuk mengelakkan diskriminasi terhadap kaum wanita, pastikan tempat kerja selamat serta diberi perlindungan dari gangguan seksual.

•Tingkatkan penglibatan tenaga kerja wanita yang terbantut selama 30 tahun pada tahap 46.7 peratus. Sediakan tempat asuhan kanak-kanak yang dibiayai oleh kerajaan untuk membolehkan wanita melibatkan diri dalam pembangunan negara.

•Hentikan penswastaan khususnya terhadap perkhidmatan awam seperti hospital dan air dan hentikan Skim Pembayaran Penuh Pesakit (Full Paying Patient) di hospital kerajaan dengan segera.

•Laksanakan pendidikan percuma untuk semua dengan memansuhkan segala jenis yuran dari prasekolah hingga universiti.

•Isytihar kesatuan sekerja secara automatik dengan mansuhan undang-undang yang mendiskriminasi pekerja dan sebarang peraturan yang memangsakan ahli kesatuan sekerja.

•Iktiraf hak tanah adat orang Asli/Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah rizab orang Asli di Malaysia. Rancangan pembangunan tanah orang Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi orang Asli.

•Hak perumahan hak rakyat dengan sediakan perumahan yang mampu dimilik, yang selesa, cukup ruang, dengan kemudahan yang perlu untuk pembangunan sosial keluarga dan komuniti.

•Mansuhkan segala undang-undang yang menindas dan mendiskriminasi rakyat dan pekerja, antaranya ISA, OSA, EO, DDA, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU), Akta Pertubuhan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

•Wujudkan tabung pemberhentian kerja dengan segera dan bantuan terus kepada pekerja yang kehilangan kerja. Kerajaan harus memperuntukkan RM0.5 billion untuk mulakan tabung ini dan gunakannya untuk membantu mereka yang dibuang sehingga dapat kerja.

•Wujudkan polisi dan perundangan domestik bagi melindungi pekerja tidak rasmi.

•Tandatangan beberapa Konvensyen lain seperti Konvensyen 1951 berkaitan Status Pelarian dan Protokol 1967 dan Konvensyen Pekerja Asing bagi membolehkan hak migran, pelarian dan pencari suaka bekerja secara sah dan bebas daripada eksploitasi dan penindasan.

•Laksanakan polisi ekonomi berlandaskan keperluan tanpa mengira kaum dan jantina. Menuntut suatu model pembangunan yang saksama, yang memberi kepentingan kepada rakyat setempat di mana segala rancangan pembangunan mestilah dibincang dan dipersetujui oleh semua

•Menuntut sistem pentadbiran kerajaan yang adil serta pelaksanaan dan agihan ekonomi yang benar-benar telus, bersih dan bebas dari segala bentuk rasuah, kronisme dan penyelewengan.

•Selamatkan bumi kita, hentikan pembinaan reaktor nuklear di Malaysia, hentikan penghapusan hutan tanpa kawalan untuk tujuan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

NGO dan Parti Politik yang menandatangani deklarasi 18 tuntutan itu adalah seperti berikut:

•AWAM - All Women's Action Society
•CAN - Community Action Network
•CDC- Community Development Centre
•CIJ – Centre for Independent Journalism
•DEMA – Malaysia Youth and Students Democratic Movement
•EMPOWER - Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor
•JAG - Joint Action Group for Gender Equality
•JERIT - Jaringan Rakyat Tertindas
•KOMAS - Pusat Komunikasi Masyarakat
•ODHA - Orang yang Hidup Dengan HIV dan AIDS
•Pemuda Sosialis
•PERMAS - Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan
•PRM - Parti Rakyat Malaysia
•PSM - Parti Sosialis Malaysia
•PSWS - Persatuan Sahabat Wanita Selangor
•PWW - Perak Women for Women
•SABM - Saya Anak Bangsa Malaysia
•SAWO - Sabah Women's Action-Resource Group
•SIS - Sisters in Islam
•SMM - Solidariti Mahasiswa Malaysia
•SUARAM - Suara Rakyat Malaysia
•WAO - Women's Aid Organization
•WCC- Women's Centre for Change
•KAMI - Kumpulan Aktivis Muda Independen
•Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar, PAS

Artikel deklarasi ini dipetik dari laman web Malaysiakini.
 

Khamis, 21 April 2011

Malaysia - Destinasi Pelabur dari Negara China?

Penulis agak bingung dengan siaran Buletin Utama (TV3) sebentar tadi, kerana diberitakan terdapat dikalangan pelabur dari Negara China dikatakan berminat untuk membuat pelaburan di Malaysia. Berita ini dikupas hasil dari lawatan Timbalan Perdana Menteri ke negara tersebut. TPM juga ada menyebut bahawa kadar kos upah dikalangan pekerja tempatan di China agak meningkat dan kebanyakan pelabur China tersebut memikirkan untuk memindahkan pelaburan mereka ke Malaysia kerana kosnya murah dan banyak insentif yang ditawarkan oleh Malaysia. Apakah ini dianggap berita baik? Adakah ianya bermakna banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan?

Penulis tidak menafikan perkara ini baik dan ianya memberikan peluang pekerjaan. Tetapi apakah fakta yang terselindung disebalik berita ini? Faktanya adalah kadar kos upah (termasuk operasi) di Malaysia masih di takuk lama!!!. Dahulu kebanyakan majikan menutup perusahaan mereka kerana kos gaji di China dikatakan tiga kali ganda (3X) lebih murah dari Malaysia dan sekarang apa yang berlaku berlainan sekali. Barangkali kadar upah warga China meningkat dan melebih dari Malaysia dalam tempoh lebih kurang 10 tahun sahaja. Ini bermakna, peningkatan terhadap kadar gaji/upah pekerja di Malaysia sangat perlahan berbanding China yang pada tahun lepas sahaja, peningkatan kadar upah/gaji mereka telah meningkat sebanyak 30-40%!!!.

Adakah mungkin pekerja di Malaysia ini akan kekal pada kadar gaji yang rendah? Masih dibawah paras kemiskinan RM720? Dan paling kritikal apabila mungkin untuk menarik pelaburan, tiada organisasi Kesatuan Sekerja dibenarkan atau dibiarkan menjadi lemah. Sama-samalah kita nantikan hasil dari pelaburan ini.