...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Selasa, 14 September 2010

KSIEWSSM: "Kenapa Majikan Takut Terhadap Kesatuan Sekerja?"

KSIEWSSM hari ini melahirkan rasa kesal terhadap segelintir majikan yang takut untuk berhadapan dengan Kesatuan Sekerja serta mengiktiraf dan seterusnya membiarkan pekerjanya bebas memilih untuk menyertai Kesatuan Sekerja tersebut. Hal ini berlaku setiap kali KSIEWSSM menghantar surat untuk mendapatkan Pengiktirafan dari majikan tersebut dan malangnya majikan sering kali menafikan permohonan ini. Ini menjadikan proses tuntutan menjadi lebih panjang dan kebajikan pekerja mereka sering kali tergendala. Apakah majikan tidak mempedulikan kebajikan pekerja mereka dijaga oleh Kesatuan?

Tujuan Kesatuan Sekerja ditubuhkan adalah diantaranya menjaga kebajikan ahli (pekerja) yang kadangkalanya berada diluar pandangan dan perhatian majikan mereka. Apakah tindakan ini salah? Banyak tindakan para majikan yang boleh dipersoalkan selepas mereka ini menerima surat permohonan dari Kesatuan Sekerja, dan antaranya;
  • Tindakan Majikan: Menaikkan gaji atau pangkat pekerja yang disyaki terlibat dengan aktiviti Kesatuan dan juga majoriti pekerja. Persoalannya: Kenapa perlu menaikkan gaji atau pangkat pekerja secara mendadak selepas memperolehi maklumat atau surat rasmi dari Kesatuan? Kenapa tidak sebelum ini majikan secara sukarela menaikkan gaji mereka jika tiada Kesatuan?
  • Tindakan Majikan: Membuat undang-undang baru yang tidak terkandung didalam syarat perkhidmatan asal. Tindakan tatatertib dikenakan jika ingkar. Persoalannya: Kenapa majikan tidak mendapatkan persetujuan pekerja terlebih dahulu? Adakah tindakan ini mendapat "perkenan" dari Jabatan Buruh misalannya?
  • Tindakan Majikan: Mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kesatuan Sekerja peringkat dalaman (Kesatuan Dalaman) dan terdapat juga majikan yang membiayainya. Persoalannya: Ini adalah salah mengikut Akta Kesatuan Sekerja. Majikan berselindung dibelakang pekerja yang dikawalnya. Kenapa sebelum ini, terdapat kes pekerja yang cuba untuk menubuhkan Kesatuan Sekerja telah ditindas, didera secara psikologi atau dibuang?! Kenapa sekarang setelah wujudnya keahlian Kesatuan dikalangan pekerja mereka, majikan dengan kadar segera mencari, menaja dan mengalakkan penubuhan Kesatuan Dalaman?
  • Tindakan Majikan: Mengugut, memaksa dan mengarahkan pekerja membuat sesuatu pekerjaan diluar dari syarat perkhidmatan yang ditandatangani pekerja (spt: ditukar jabatan, disuruh membuat sesuatu kerja diluar skop bidang mereka, ditukar waktu kerja, tidak dibenarkan mengambil cuti bergaji, mencari kesalahan remeh dengan maksud untuk mengambil tindakan tatatertib dan sebagainya). Persoalannya: Apakah dengan tindakan majikan ini bertujuan untuk mengubah dan mempengaruhi psikologi pekerja supaya berpendapat wujudnya Kesatuan telah menyusahkan pekerja yang menyertainya? Kenapa tindakan ini menjadi rakus selepas menerima surat rasmi Kesatuan?
Wujudnya Kesatuan Sekerja bertujuan untuk memimpin pekerja teramai bagi mewujudkan suasana harmoni antara majikan dan pekerja mereka. Kewujudan Kesatuan Sekerja bukan untuk "berperang" dan berkerat rotan dengan majikan, jadi apa perlunya majikan takut? Kesatuan hanya mewakili pekerja yang selama ini takut, gentar dan bimbang untuk berhadapan dan menuntut hak mereka dengan majikan. Apakah hak mereka ini hanya boleh dituntut oleh mereka? Selama mana majikan telah beroperasi dan mengaut keuntungan tetapi berapa kali mereka berhadapan dengan tuntutan pekerja secara individu?

Perbandingan seperti negara-negara maju, Kesatuan Sekerja mereka dibenarkan dan diiktiraf malah pekerja mereka dibenarkan menyertainya kerana ianya menjadi pra-syarat majikan semasa perjanjian syarat perkhidmatan. Kesan psikologinya terhadap pekerja, mereka akan merasa bahawa majikan mereka mengambil berat terhadap kebajikan pekerja. Ini dapat menjamin masa depan pekerja tersebut bersama majikan dan juga meningkatkan produktiviti (pengeluaran) majikan.

Kesatuan Sekerja boleh memainkan peranan besar kepada industri keseluruhannya. Sama ada membantu pekerja mendapatkan hak mereka mahupun membantu majikan dalam menghadapi masalah pekerja; semuanya boleh dibawa didalam perbincangan mereka kelak. Adakah perkara ini menjadi penghalang kepada suasana harmoni?

KSIEWSSM dengan terbuka hati menjemput para majikan bersama-sama untuk membincangkan masalah yang dihadapi tentang pekerja dan menilai baik buruk setiap tuntutan Kesatuan dan apa yang boleh Kesatuan bantu majikan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan