...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Selasa, 31 Disember 2013

Tahun 2014 dan Ringkasan Berita KSIEWSSM

Salam solidariti buat warga pekerja sekalian,

Dikesempatan ini pihak KSIEWSSM ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun 2014 dimana tahun 2014 dianggap akan mencabar kerana dijangkakan kos sara hidup akan meningkat. Pekerja pastinya mengharapkan terdapat kenaikan gaji, pemberian bonus dan sebagainya dari majikan mereka bagi mengimbangi kenaikan kos ini. Pada ketika ini, kita telahpun ketahui bahawa elektrik, tambang bas sekolah, harga makanan dan sebagainya meningkat dan pastinya perbelanjaan seisi rumah akan mengeluarkan belanja yang tinggi dari biasa. Mereka akan tertekan dengan kos ini dan berkemungkinan memberikan impak kepada prestasi kerja mereka seharian. Mungkin penyelesaian masa singkat adalah dengan kenaikan gaji, pemberian COLA, tawaran kerja ditempat lain dengan gaji yang tinggi wedikit dan seumpamanya akan mengurangkan tekanan ini. Amat rugi kepada para majikan jika mereka kehilangan pekerja yang mahir akibat dari tiada kenaikan gaji, tiada timbang rasa dan perihatin.

Dalam bulan Disember lepas, KSIEWSSM telah menghantar 8 perwakilan ke TDC MTUC yang telah diadakan di Universiti Malaya. Tahniah kepada pimpinan MTUC iaitu Sdr Khalid, Sdr Abdullah Sani, Sdr Gopal dan yang lain-lain kerana dipilih secara majoriti untuk sessi 2013 -2016. Diharap pimpinan baru ini akan dapat memperbetulkan kesilapan pimpinan yang lalu dimana kita dapat menyaksikan pelbagai akta berkaitan dengan pekerja yang tidak memihak kepada pekerja telah diluluskan di Parlimen seperti oursourcing agent, persaraan dan sebagainya.

Dalam pada itu, serba ringkas berita berkaitan dengan KSIEWSSM, dimana pihak kesatuan didalam proses permohonan pengiktirafan bagi 3 syarikat, proses rundingan bersama bagi 3 syarikat dan dalam proses organising sebanyak 6 syarikat. Pihak KSIEWSSM juga sedang merangka 3 lagi rundingan bersama buat kali 2. Insya Allah, sasaran bagi mencapai keahlian KSIEWSSM sebanyak 10,000 ahli akan tercapai dalam jangka masa 2 tahun mendatang. Ini juga memerlukan bantuan dan sokongan ahli sedia ada dalam mempromosikan kesatuan terutama di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sekian, salam solidariti.

Dari pekerja untuk pekerja.


Rabu, 27 November 2013

Contoh Salah Laku Majikan & Penentangan Terhadap "Outsourcing"

Inilah sebab kenapa KSIEWSSM dan Kesatuan lain menentang keras terhadap "outsourcing".
Walaupun berita ini sudah hampir 3 minggu berlalu, berikut adalah salah satu contoh salah laku majikan di Malaysia yang dipetik dari Apple Insider (http://http://appleinsider.com/articles/13/11/07/apple-supplier-flextronics-accused-of-using-indentured-servants-to-build-components)

Sebuah pengilang kontrak yang berpangkalan di Singapura, Flextronics telah didakwa melanggar garis panduan pembekal kepada Apple apabila mengajikan pekerja pada minggu sebelum pelancaran iPhone5 dengan menggunakan khidmat agensi pekerjaan di seluruh Asia Tenggara dan dikatakan "menjual" pekerjaan tersebut kepada pekerja asing dengan nilai ratusan dolar dan menyimpan pasport mereka, kemudiannya meninggalkan pekerja tersebut tanpa bayaran gaji atau makanan untuk berbulan-bulan.

Memaksa pekerja-pekerja asing untuk membayar yuran tertentu untuk mendapatkan pekerja di negara lain adalah suatu amalan operasi yang biasa di Asia, tetapi dalam laporan dari Businessweek mengatakan bahawa Flextronics - yang juga pengilang kontrak bagi Lockheed Martin dan Ford, antara lainnya - membenarkan agensi pekerjaan membawa masuk pekerja untuk memasang modul kamera iPhone 5 untuk mengenakan bayaran yuran lebih dari gaji setengah tahun - iaitu jauh lebih banyak dari dibenarkan oleh Apple.

Didalam laporan tersebut memetik satu kes seorang lelaki warga Nepal yang membayar kira-kira $1,000 kepada 3 agensi berasingan untuk mendapatkan pekerjaan sebagai penguji modul kamera di kilang pemasangan Flextronics di Malaysia, jawatan yang mana hanya memberikan gaji sekitar $180 setiap bulan. Garis panduan pembekal yang telah ditetapkan oleh Apple adalah bayaran untuk yuran maksimum adalah cuma 2 bulan gaji dimana memerlukan pembekal untuk membayar semula yuran lebihan kepada pekerja tersebut dan dasar ini telah di abaikan oleh Flextronics.

Menurut  laporan itu lagi, pihak Apple telah menarik kembali pesanan dari kilang Flextronics di Malaysia selepas mendapati kadar hasil menurun kepada serendah 30 peratus. Ini memaksa pembekal tersebut, untuk memberhentikan pekerja lebih daripada 3,000 orang itu. Walaupun Flextronics telah membayar gaji penuh dan pampasan, tetapi pihak syarikat telah didakwa tidak menyediakan penghantaran pulang tetapi mereka telah menyimpan pasport pekerja asing lebih dari 1,300 orang. Pekerja asing ini tidak mempunyai sebarang pilihan selain dari kekal di asrama Flextronics dengan disediakan sedikit dana dan didalam banyak kes, tiada makanan sehingga 2 bulan selepas kemudahan itu ditutup.

Hanya apabila Polis Malaysia melibatkan diri barulah pihak Flextronics mula menyediakan makanan dan penghantaran semula pekerja ke negara asal mereka berjalan kembali. Setelah kembali ke negara asal mereka, pekerja tersebut terpaksa menghadapi bebanan prospek hutang dan membayar balik disebabkan dengan yuran agensi pekerjaan dimana kebanyakannya terpaksa bekerja disyarikat lain untuk menyelesaikan hutang manakala ada juga yang terpaksa menjual tanah pusaka mereka bagi menyelesaikannya.

Dalam pada itu, Flextronics memberitahu kepada penerbitan bahawa pihak syarikat telah mula menyiasat dakwaan tersebut dan akan segera membuat pembayaran balik pada mana-mana pekerja yang telah dikenakan yuran secara berlebihan oleh agensi pekerjaan, menurut kata seorang jurucakap. Ini berlaku dalam masa yang sama Flextronics sedang bersedia untuk berperanan yang lebih besar dalan rantaian pembekalan Apple iaitu dalam pembuatan Mac Pro di kemudahan mereka di Austin, Texas.

Apple menyatakan bahawa syarikat mereka akan memastikan bahawa bayaran yang sepatutnya telah dibuat dan jurucakap Chris Gaither menyatakan bahawa syarikat telah membantu pekerja mendapatkan semula lebih $16 juta pembayaran sejak 2008.

"Kami menyiasat secara agresif tentang apa-apa tuntutan buruh dimana produk Apple dipasang" kata Gaither, sambil menambah bahawa syarikat itu akan terus mengaudit secara mendalam terhadap rantaian pembekalan serta mengambil serius setiap pertuduhan.

Dengan peningkatan populariti mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Apple seringkali dicemuh oleh media apabila timbul isu-isu buruh terhadap pengilang yang mempunyai hubungan dengan Apple. Sebagai reaksi balas, Apple telah memulakan program pertanggungjawaban pembekal dan pada tahun 2012 Apple telah menjadi syarikat teknologi pertama untuk menyertai "Fair Labour Assosciation", sebuah organisasi buruh yang bebas.


Isnin, 25 November 2013

Siasatan Dalaman (Domestic Inquiry)

Siasatan Dalaman (Domestic Inquiry)

Ia adalah suatu jawatankuasa siasatan dalaman terhadap pertuduhan salah laku yang disyaki dilakukan oleh seseorang pekerja. Objektif utama jawatankuasa siasatan dalaman ini adalah untuk menyiasat dan mengesahkan pertuduhan salah laku sama ada ia telah dilakukan atau tidak. Sekiranya ianya telah dibuktikan dan disahkan oleh jawatankuasa ini, mereka akan mengesyorkan kepada pihak majikan tentang hukuman yang berpatutan terhadap kesalahan tersebut. Pengadu kebiasaannya adalah pengurusan majikan tetapi ada juga kes, pengadu adalah terdiri dari mangsa terhadap salah laku tersebut. Secara lumrahnya, didalam jawatankuasa siasatan dalaman ini, pihak majikan akan membentangkan kes dan pekerja dibenarkan dan diberikan peluang untuk membela diri terhadap pertuduhan salah laku tersebut.

Berikut adalah perkara yang anda perlu ketahui:

Berapa lama notis sepatutnya diberikan kepada pekerja sebelum Siasatan Dalam dibuat?
- Majikan perlu memberikan minimum 7 hari dan maksimum 14 hari bekerja.

Siapa yang boleh mewakili pekerja pada Siasatan Dalaman?
- Pekerja boleh diwakili oleh Pegawai Kesatuan Sekerja sekiranya dia menjadi ahli sah kepada Kesatuan Sekerja. Sekiranya tiada, dia boleh memohon bantuan sukarela dari rakan sekerja.

Siapa yang akan menganggotai Jawatankuasa Siasatan Dalaman?
- Panel didalam Jawatankuasa Siasatan Dalaman kebiasaannya dikendalikan seramai 3 atau 5 orang. Pengerusi siasatan adalah seseorang yang berjawatan sekurang-kurangnya sama atau lebih tinggi dari ahli panel lain. Kesemua mereka ini selalunya berjawatan lebih tinggi dari orang yang dituduh (pekerja). Panel dikehendaki untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak dan bertindak dengan adil semasa mendengar dan menilai kes siasatan. Terdapat juga setiausaha, pegawai pertuduhan (pendakwa) dan pegawai penyiasat.

Apa yang berlaku semasa Siasatan Dalaman?
- Pertamanya, majikan akan membentangkan setiap bukti yang dikumpul dan membawa para saksi untuk menguatkan lagi pertuduhan tersebut. Pada masa yang sama, pihak majikan akan mempertahankan tindakan mereka dengan membawa saksi dan bukti lain untuk menguatkan dakwaan tersebut. Bagi pihak pekerja (tertuduh), mereka juga perlu untuk membawa sebarang bukti untuk mempertahankan diri. Dia juga dibenarkan untuk membawa saksi yang dipercayai untuk membela dirinya.

Apa yang berlaku selepas Siasatan Dalaman?
- Jawatankuasa panel siasatan dalaman akan ditangguhkan untuk perbincangan sesama panel lain. Mereka akan membuat penilaian dan keputusan sama ada pekerja (tertuduh) bersalah atau tidak. Jika pekerja didapati bersalah, ahli panel akan mengesyorkan kepada pihak pengurusan majikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan tertuduh.

Apakah hukuman yang disyorkan?
Kebiasaannya, tertakluk kepada syarikat, berikut adalah hukuman yang biasa dikenakan terhadap salah laku tersebut:


  • Amaran bertulis,
  • Digantung tanpa gaji,
  • Diturunkan gred pangkat,
  • Dinafikan kenaikan gaji atau bonus, atau
  • Diberhentikan
Bolehkah pekerja membuat rayuan?
- Setiap pekerja tertakluk kepada Akta Kerja 1955 dan boleh membuat aduan kepada Jabatan Buruh. Sekiranya pekerja diberhentikan, pekerja boleh membuat aduan kepada  Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk memulihkan semula status kerjanya. 


Setiap pekerja perlulah mengetahui hak mereka terhadap kelangsungan siasatan dalaman ini. Sekiranya pekerja telah dituduh dan dihadapkan ke panel jawatankuasa siasatan dalaman, mereka perlulah menghubungi pihak Kesatuan untuk membantu beliau sekiranya benar pertuduhan tersebut terdapat unsur yang tidak adil dan terdapat tekanan. Pekerja yang dituduh tidak keseorangan. Segeralah dapatkan bantuan mereka yang mengetahui.


Salam solidariti. Hidup pekerja.

KSIEWSSM



Cuti Mingguan - Jumaat dan Sabtu

Umum telah pun mengetahui bahawa negeri Johor akan memulakan cuti mingguan iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pada Januari 2014. Pengumuman perubahan ini telah dititahkan oleh Sultan Johor bersempena dengan Hari Keputeraan baginda baru-baru ini. Ini bermakna setiap sekolah, pejabat kerajaan dan sebilangan sektor swasta akan bekerja pada hari Ahad bermula Januari depan, manakala hari Jumaat dan Sabtu akan menjadi hari bekerja lebih masa sekiranya ada.

Perlulah diingatkan sekiranya syarikat atau majikan memerlukan pekerja untuk bekerja lebih masa pada hari Jumaat dan Sabtu (sekiranya syarikat anda mengikut perubahan ini), pihak majikan perlulah untuk membayar upah lebih masa yang kebiasaannya dibayar sebanyak x1.5 dan juga x2 dari upah biasa.

Para pekerja sektor elektronik yang tertakluk kepada pengumuman ini, sekiranya pihak majikan tidak membayar seperti sepatutnya, bolehlah membuat aduan kepada Kesatuan dengan kadar segera.

Sekiranya pihak syarikat masih mengekalkan cuti mingguan pada hari Sabtu dan Ahad, tiada perubahan yang akan berlaku terhadap struktur gaji lebih masa.

Ahad, 17 November 2013

Penukaran alamat

Salam solidariti,

Untuk makluman para pembaca terutamanya bagi ahli KIEWSSM, Kesatuan telah pun berpindah pejabat dimana urusan Kesatuan akan berpusat dialamat terbaru seperti surat menyurat, mesyuarat adhoc, penyimpanan peralatan dan sebagainya.

Alamat KSIEWSSM adalah seperti dibawah:

Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia,
No. 2655-1A, Jalan Sri Putri 8/1,
Lavendar Park,
Taman Putri Kulai,
81000 Kulai,
Johor.

Sebarang urusan, sila hubungi Setiausaha Agung, Sdr Rizuan dan juga Setiausaha Eksekutif, Sdr Mohd Salleh.

Sekian, harap maklum.

Jumaat, 15 November 2013

Persidangan Dwi Tahunan Asian Transnational Corporations (ATNC) Monitoring Network

Baru-baru ini telah berlangsung Persidangan Dwi Tahunan Asian Transnational Corporation (ATNC) bertempat di Bogor, Indonesia pada 9hb sehingga 11 November 2013 dimana KSIEWSSM telah menghantar dua orang wakil bagi menghadirinya.

Persidangan pada kali ini telah dikendalikan oleh Asia Monitor Resource Center, Labour Action China dan Lembaga Informasi Perburuhan Sedane (LIPS). Ia dibantu oleh Association of Independent Labour Union (GBSI), Federation of Indonesia Pulp dan Paper Labour Union (FSP2KI).

Pelbagai Kesatuan Sekerja dan juga NGO dari 16 buah negara telah menghadiri persidangan tersebut dan ianya merupakan diantara penyertaan yang teramai telah dicatatkan. Perwakilan tersebut diantaranya mewakili bagi negara;

  • Indonesia
  • Malaysia
  • Filipina
  • Thailand
  • Sri Lanka
  • Taiwan
  • Nepal
  • India
  • Myanmar
  • China
  • Japan
  • Korea
  • Australia
Persidangan ATNC kali ini telah membincangkan pelbagai isu-isu Kesatuan dan juga Pekerja. Antaranya isu hangat yang diperbincangkan adalah pengambilan pekerja secara kontrak (outsourcing), gaji minimum, halangan penubuhan Kesatuan Sekerja (Union Busting), pendidikan, kempen dan juga rangkaian/perhubungan. Dalam persidangan kali ini juga, para perwakilan telah mempelajari dan mendalami 3 isu penting iaitu kajian (research), kempen (campaign) dan pendidikan (education)

Dalam pada itu juga, perwakilan telah dibawa untuk melawat pejabat Syarikat Buruh Transportasi - SBTPI (di Indonesia, Kesatuan Sekerja dipanggil "Syarikat Buruh") yang bertempat di Tanjung Priuk, Pejabat Pengendali Radio Buruh Perempuan dan kawasan perindustrian terbesar di Bekasi.

Wakil KSIEWSSM, Sdr Rizuan dan Sdr Mohd Salleh berkesempatan untuk bertukar-tukar pengalaman dalam isu-isu membabitkan Kesatuan Sekerja dan juga pekerja dengan perwakilan dari Kesatuan dan NGO dari pelbagai sektor dan juga negara. Perbincangan tentang cabaran masa depan pekerja, isu Undang-undang, perubahan senario pekerjaan dan politik, pekerja imigran dan ekonomi telah dibincangkan bersama.

Keahlian KSIEWSSM didalam ANTC telah diluluskan oleh Sekretariat ANTC pada akhir persidangan. Ini adalah satu pendedahan yang sangat berguna buat KSIEWSSM dalam hubungan rangkaian dengan lain-lain Kesatuan dari pelbagai negara terutamanya membabitkan isu pekerja.

Akhir kalam, persidangan ini telah berlangsung dengan jayanya. Berikut adalah sebahagian potret dari persidangan tersebut.







 

Selasa, 29 Oktober 2013

Senarai Majlis Eksekutif KSIEWSSM 2013-2016

Berikut adalah senarai Majils Eksekutif KSIEWSSM sessi 2013-2016


Presiden                  : Sdr. Hj Azaman

Tim. Presiden         : Sdr. Faidzul

Setiausaha Agung : Sdr. Rizuan

Tim SUA                  : Sdr. Mohd Suhaimi

Bendahari               : Sdr. Khairul Zurain

Ahli Majlis

Sdr. Othman

Sdr. Amin

Sdri. Zarani

Sdri Rosmawati

Sdri Jariah

Sdr. Rohasmilie.