Malangnya, seperti suatu penyakit atau wabak, apabila majikan mula bermainkan minat yang mendalam terhadap “kehadiran” pekerja secara kontrak. Atas alasan bahawa pekerja keluar dan masuk (berhenti) amat tinggi, sukar untuk “merekrut” pekerja baru, kos yang tinggi, pekerja memilih kerja dan sebagainya, majikan sering mendapatkan “bekalan” dari agen pekerja kontrak. Dalam pada itu, dengan kehadiran pekerja kontrak, majikan tidak perlu lagi memikirkan untuk memenuhi setiap kebajikan pekerja seperti KWSP, insurans dan sebagainya. Ini adalah suatu peluang baik untuk majikan “melepaskan tengkuk” dari bertanggungjawab terhadap pekerja mereka. Majikan ini boleh diumpamakan majikan label iaitu pekerja kontrak hanya bekerja dibawah label sahaja tetapi mereka mempunyai majikan sebenar iaitu AGEN.
Sedar atau tidak, berikut adalah perkara negatif tentangnya dan impak terhadap mereka:
- Pekerja kontrak tidak dapat layanan yang sama seperti pekerja tetap. Status perjawatan mereka sebenarnya berada dalam keadaan tidak stabil, tiada jaminan dan tidak kekal. Pada bila-bila masa sahaja mereka ini boleh diambil bekerja dan diberhentikan mengikut kehendak majikan label (majikan utama bukan agen).
- Ada kes menunjukkan bahawa ada dikalangan pekerja kontrak yang langsung tidak dilindungi insurans!. Bagaimana jika pekerja tersebut mendapat kemalangan di tempat kerja? Apakah majikan label akan bertanggungjawab? Jika benar, pekerja kontrak ini tidak dilindungi insurans, maka ini menyamai seperti amalan perhambaan (hamba abdi).
- Ada juga kes bahawa pekerja kontrak ini langsung tidak dicarum untuk simpanan hari tua mereka (KWSP). Ini amat merugikan kerana banyak masa terbuang akibat tidak mencarum untuk hari tua mereka semasa mereka bekerja. Tidak kurang juga nilai caruman pekerja dipotong atau dikurangkan oleh agen kerana itulah pertambahan imbuhan kepada agen pekerja tersebut. Perkara ini sebenarnya salah dan boleh diambil tindakan tetapi ianya seperti menjadi perkara biasa bagi pekerja kontrak dan agen tersebut.
- Pekerja kontrak sering mengadu bahawa pembayaran gaji oleh agen tidak tentu masa, kurang dari sepatutnya dan tidak telus. Ini kerana ada agen yang tidak menyediakan slip pembayaran gaji dengan betul kepada pekerja kontrak tersebut. Apabila hal ini timbul, secara tidak langsung, majikan label mudah lepas tangan dengan menyatakan bahawa bayaran telah dilakukan kepada agen.
- Pekerja kontrak tidak layak untuk mendapat kemudahan yang dirunding oleh Kesatuan Sekerja dan Majikan. Ini adalah sesuatu yang merugikan kepada pekerja tersebut. Lagi malang apabila jika berlaku pertikaian pekerja kontrak dengan majikan label, mereka ini tidak akan diwakili Kesatuan Sekerja malah agen juga terpaksa menurut perintah majikan label demi menjaga “bisnes” mereka.
- Gaji pekerja kontrak mungkin lebih tinggi dari pekerja tetap disebabkan ada yang tidak mencarum KWSP. Tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak dapat menikmati imbuhan tambahan seperti bonus, perkongsian keuntungan, pampasan dan sebagainya.
- Perjanjian kontrak hanya berlaku diantara majikan label dan agen. Tiada pekerja kontrak terlibat atau terkandung didalamnya. Biasanya didalam kontrak, agen akan “membekalkan” sejumlah pekerja kontrak kepada majikan label untuk tempoh tertentu, menggantikan pekerja kontrak yang berhenti dan bertanggungjawab jika pekerja kontrak ada masalah disiplin. Ini amat menguntungkan hanya kepada agen dan majikan label. Manakan tidak, mereka seolah-olah menjual beli tenaga pekerja kontrak tanpa pekerja itu sedari.
- Salah satu cara untuk mengawal kadar gaji atau upah dipasaran. Majikan label beranggapan bahawa kadar upah yang ditawarkan oleh pekerja kontrak adalah murah dan dalam masa yang sama pekerja kontrak pula anggap gaji mereka adalah tinggi dari pekerja tetap sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka telah memperjudikan masa tua mereka dengan tidak mencarum. Akhirnya kadar gaji/upah ini hanya berputar disekitar RM500 hingga RM600 sahaja.
Peranan kita sebagai pekerja, perlulah mengelak untuk menjadi pekerja kontrak dan dalam masa yang sama, marilah kita bersama-sama mengesa Kerajaan yang ada sekarang memantau keadaan ini. Cegah sebelum parah. Hari ini pekerja kontrak untuk dikalangan pekerja bawahan atau operator dan tidak mustahil bahawa akan datang pasti akan ada pekerja kontrak untuk jawatan pertengahan dan atas. Pekerja sendiri yang tentukan. Pokok pangkalnya isu ini berlaku apabila tiada penetapan gaji minimum untuk pekerja swasta. Apakah ini dinamakan “pemerdagangan manusia yang dihalalkan” oleh mereka yang berkuasa?