...KESATUAN BERJUANG BAGI MENDAPATKAN TANGGA GAJI YANG BERPATUTAN, TEMPAT KERJA YANG SELAMAT SERTA SELESA DAN TIADA DISKRIMINASI...

Isnin, 21 Mac 2011

Hiruk Pikuk Kerenah Birokrasi = Kaum Pekerja Terabai

Memang terlalu banyak kerenah birokrasi dan “pantang-larang” yang perlu dipatuhi demi membela kaum pekerja. Apakah kaum pekerja ini bukan rakyat Malaysia yang perlu dibela? Apakah slogan YAB Perdana Menteri, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” hanya tinggal retorik semata-mata? Slogan ini hanya tahu diteriak oleh “para pengipas” Perdana Menteri tetapi tidak diamalkan? Apa guna Key Performance Index (KPI), jika tahap kerja masih ditakuk yang sama. “Boleh dikatakan sama macam penjajah gamaknya”, kata seorang pekerja yang menunggu untuk masa bersara.
Keadaan kerenah birokrasi ini sebenarnya memang telah dijangkakan. Kadang-kala sesuatu perkara itu yang sepatutnya boleh dimudahkan, tetapi ianya jadi susah. Mungkin kerana “orang” yang menjaganya atau mengendalikannya tidak begitu memahami selok belok perkara itu. Bagaimana mungkin seseorang itu yang menghabiskan masa kerja dari pagi hingga ke petang untuk duduk di pejabat yang selesa, berhawa dingin dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan boleh memahami keadaan pekerja seperti operator pengeluaran, pemandu lori, juruteknik dan sebagainya? Dengan keadaan selesa itu, mana mungkin mereka tahu masalah pekerja dan dapat mengatasinya? Apa yang mereka tahu adalah kaum pekerja perlu mengikuti “prosedur” yang adanya TIDAK MASUK AKAL!.
Pekerja tertindas selalunya akan cuba mendapatkan bantuan dari pelbagai pihak. Ada mereka yang terus mengadukan hal mereka kepada Jabatan Buruh, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan sebagainya. Jika pekerja itu lebih terdedah kepada “celik UNION”, mereka akan memohon bantuan kepada Kesatuan Sekerja mengikut industri yang mereka ceburi atau lebih tinggi lagi, pergi kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Tetapi apa penyelesaiannya? Jabatan Buruh atau JPP biasanya akan cuba mengadakan rundingan dengan majikan. Itupun jika majikan mahu dan boleh bertolak ansur, jika tidak? Apakah tindakan yang akan diambil oleh Jabatan Buruh atau JPP? Mahkamah Perusahaan/Buruh? Berapa lama akan selesai? Bagaimana periuk nasi pekerja itu? Jalan mudah bagi pekerja yang “malas” dan “tidak kuasa” melayan, baik mereka mencari pekerjaan baru.
Rujuk kepada Kesatuan Sekerja? Ya, Kesatuan Sekerja akan cuba membantu dengan menjadi wakil kepada pekerja itu dan prosesnya tetap sama seperti pekerja itu berjumpa secara terus dengan Jabatan Buruh atau JPP. Tetapi mungkin jika Kesatuan itu mempunyai sumber kewangan yang kukuh, pekerja itu akan dibantu dari segi khidmat nasihat, guaman dan juga bantuan kewangan. Tetapi proses menunggu itu yang memeritkan. Apa penyelesaiannya? Apakah pekerja, selain dari memerah keringat setiap hari dengan bayaran gaji yang murah, tugas mereka hanya menunggu dan terus menunggu?
Salah satu perkara yang nyata adalah tuntutan PROSES PENGIKTIRAFAN Kesatuan Sekerja bagi mewakili pekerja dalam sesebuah syarikat. Mengikut jawapan memorandum (rujuk http://ksiewssm.blogspot.com/2010/11/balasan-memorandum-dari-menteri-ksm.html), Kementerian memberikan tempoh 9 bulan penyelesaian tuntutan. Tetapi apakah janji ini dikota oleh Kementerian melalui Jabatan yang berkuasa? Untuk rekod, KSIEWSSM mempunyai lebih kurang 3 tuntutan pengiktirafan yang berjalan sejak dari Jun 2010. Mengambilkira dari tarikh itu, sudah 9 bulan tempohnya? Jika KPI Jabatan yang bertanggungjawab dinilai oleh Kesatuan, hasilnya? KSIEWBSM (Barat) mempunyai kes yang lagi teruk. Mereka telah bergerak lebih awal dari Selatan, tetapi sehingga kini tiada khabar berita seperti yang dimaklumkan.
Setelah berlaku pertukaran kepimpinan MTUC baru-baru ini, terdapat lawatan yang khabarkan untuk bertemu dengan YAB Perdana Menteri dan salah satu perkara yang akan ditimbulkan adalah Proses Pengiktirafan yang amat lama dan panjang. Apa status perkara ini? Ditimbulkan atau ditenggelamkan? Peranan MTUC adalah untuk memastikan kebajikan kaum pekerja yang diwakili mereka tidak terabai. Janganlah tenggelam dan timbul. Mainkanlah peranan sebagai GABUNGAN YANG KUAT DAN VOKAL. Jangan sampai Kesatuan gabungan bergerak secara sendirian tanpa memerlukan peranan MTUC pula bila tiba masanya. Kesatuan Gabungan tidak memerlukan surat sokongan seperti rakyat memerlukan surat sokongan dari wakil rakyat. Kesatuan Gabungan mahukan tindakan! Jika MTUC pun ada KPI, hasilnya?
Artikel ini tidak mahu menuding jari kepada mana-mana individu, tetapi “let us face the reality”. Kaum pekerja adalah rakyat Malaysia. Kami adalah penyumbang terbesar kepada pembangunan dan ekonomi negara. Kami tidak mahu lagi dianak tirikan. Kami tidak mahu hanya “hampas” manakala segala “isi” telah di”faraid”kan oleh golongan atasan sahaja. Cukup-cukuplah kerenah birokrasi hanya semata-mata untuk mendapatkan “sekeping anugerah” pengiktirafan. Banyak masa dan tenaga pekerja telah dicurahkan. Untuk pastikan keharmonian tempat tercapai dengan segera, lakukan kerja anda yang sepatutnya dan kita bersama membina negara Malaysia yang tercinta ini.
Hidup Pekerja!!!

Ahad, 13 Mac 2011

Garis Panduan OECD - Apa kepentingan Pekerja dan Kesatuan Sekerja?

Apa itu OECD?
  • Pertubuhan Kerjasama Ekonomi & Pembangunan (Organization of Economic Cooperation & Development)
  • Pertubuhan Antarabangsa untuk negara-negara "kaya" diketuai AS dan Eropah.
  • Ditubuhkan pada tahun 1948.
  • 34 negara anggota
    • Eropah: 24 negara (Austria, Belgium, Czech, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Turki dan UK)
    • Asia Pasifik: Jepun, Korea, Australia, New Zealand.
    • Amerika: AS, Kanada, Mexico, Chile.

Garis Panduan OECD Untuk Syarikat Multinasional (MNC)
  • Piawaian antarabangsa untuk "amalan korporat yang baik".
  • Dibentuk pada 1976 dan versi baru disemak semula pada Jun 2000.
  • Digunapakai negara-negara anggota OECD dan 6 negara bukan anggota (Brazil, Mesir, Israel, Romania, Latvia dan Slovenia).
  • Tujuan MNC ialah "bukan sahaja membuat untung, tetapi memperbaiki keadaan sosial di seluruh dunia".
  • Tiada ikatan undang-undang, hanya garis panduan sukarela.
  • Mengalakkan pembekal dan subkontraktor menggunapakai Garis Panduan ini.
  • Konsep syarikat Multinasional:
    • Syarikat yang beroperasi di lebih dari sesebuah negara,
    • Mengandungi 10 bab (garis panduan)
    • Terdiri dari:
      • Gagasan dan prinsip,
      • Dasar Umum,
      • Keterbukaan Maklumat,
      • Pekerjaan dan Hubungan Industri
      • Alam Sekitar,
      • Memerangi Rasuah,
      • Kepentingan Pengguna,
      • Sains & Teknologi,
      • Persaingan,
      • Percukaian.

Pekerjaan dan Hubungan Industri
Kesatuan Sekerja hanya akan menyentuh terhadap bab 4 yang biasanya menjadi pertikaian para majikan/syarikat MNC asal negara OECD ini.
  • Hak menjadi ahli Kesatuan Sekerja dan terlibat dalam Perundingan Bersama,
  • Penghapusan penggunaan buruh kanak-kanak,
  • Penghapusan amalan buruh paksa,
  • Tiada diskriminasi terhadap pekerja berdasarkan kaum, jantina, agama, pegangan politik, kewarganegaraan dan asal usul.
Adalah menjadi garis panduan bagi mana-mana syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi atau berasal dari negara OECD untuk:
  • Menyediakan kemudahan kepada wakil-wakil pekerja untuk Tuntutan Bersama,
  • Menyediakan maklumat yang cukup untuk perundingan yang membina,
  • Memerhatikan piawaian buruh kebangsaan di negara hos,
  • Mempromosikan kesihatan dan keselamatan pekerjaan,
  • Menyediakan latihan pekerjaan yang wajar,
  • Menyediakan notis wajar dan kerjasama yang bermakna dalam kes pembuangan beramai-ramai,
  • Tidak mengancam untuk memindahkan keseluruhan atau sebahagian kilang ke negara lain sebagai alasan tindakan tuntutan bersama,
  • Membenarkan wakil-wakil pekerja untuk berbincang dengan wakil pengurusan yang berkuasa untuk membuat keputusan.

Dalam permasalahan kes perlanggaran Garis Panduan OECD, tindakan berikut boleh dilakukan oleh Kesatuan Sekerja:
  • Kumpul bukti yang jelas mengenai permasalahan,
  • Tulis laporan kes dengan kukuh,
  • Hubungi Kesatuan Sekerja Wilayah/Nasional
  • Melalui kerjasama Kesatuan Sekerja Wilayah/Nasional dan Kesatuan Sekerja Antarabangsa seperti IMF, ICEM dan sebagainya, akan menyediakan maklumat dan kempen solidariti.
  • Membangkitkan kes atau isu tersebut kepada National Contact Point (NCP) dari negara OECD yang berkaitan dan ibupejabat OECD sekaligus.
Dalam prosedur ini, penyelarasan dan kerjasama antara kesatuan/individu dan pertubuhan gabungan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah sangat penting dan perlu untuk menyelesaikan masalah. Ia mungkin memerlukan masa yang panjang untuk selesai, tetapi melalui proses ini, tekanan kepada syarikat, membangkitkan kesedaran pekerja, publisiti kes kepada umum dan memperkukuhkan hubungan dengan kesatuan termasuk antarabangsa.

Sabtu, 5 Mac 2011

Kesetiaan Pekerja Kepada Syarikat: Apakah balasannya?

Seperti yang telah dibicarakan sebelum ini, seseorang pekerja yang dibuang kerja akan menganggap itu suatu "hukuman" berat yang perlu ditanggung oleh pekerja tersebut. Itulah tindakan yang biasa diambil jika syarikat mendapat sesuatu masalah terutama dari segi ekonomi. Contoh, seperti kegawatan ekonomi yang berlaku dalam tahun 1998 dan 2008. Adakah ini perkara biasa yang sentiasa ditanggung oleh kaum pekerja?. Banyak juga diberhentikan kerana salah urus tadbir syarikat?. Apakah salah urus tadbir ini disebabkan oleh kaum pekerja?

Tetapi kali ini kita akan membicarakan tentang KESETIAAN. Kaum pekerja boleh bekerja bertahun lamanya dengan syarikat yang sama. Ada yang bekerja semenjak mula mengenali alam pekerjaan sehingga menjejaki usia persaraan. Ada juga pekerja yang mula bekerja sejak syarikat memulakan operasi dan berterusan sehingga syarikat berkembang pesat. Kesetiaan ini bukan boleh dijualbeli dengan mudah oleh syarikat walaupun syarikat itu mungkin mengabaikan kebajikan pekerja tersebut dan ada juga tidak mengiktiraf kesetiaan mereka. Bagi kebanyakan yang lain, syarikat boleh bermegah dengan award perkhidmatan yang biasanya diberikan kepada mereka yang berkhidmat 5, 10, 15, 20 tahun dan seterusnya. Award biasanya merupakan wang tunai, jam tangan, emas atau sebagainya. Mari kita berfikir sejenak berkenaan dengan persoalan-persoalan dibawah ini dan diharap para pekerja ataupun jika ada pihak majikan yang membacanya dapat menilainya:

  • Berpatutankah harga kesetiaan dibayar dengan award yang tetapkan?
  • Apa pula purata kadar kenaikan tahunan mereka? 
  • Apa sebabnya pekerja masih meneruskan kesetiaan mereka walaupun syarikat mungkin ada ketikanya tidak mempedulikan kebajikan pekerja itu?
  • Apakah pekerja itu hanya "alat" kepada syarikat untuk mengeluarkan produk mereka?
  • Apakah opsyen untuk mengurangkan kos, pekerja yang setia ini akan dikecualikan dari dihentikan dari tugasnya?
Banyak aduan yang didengari oleh pegawai kesatuan berkenaan dengan pekerja yang setia ini. Mereka kadang-kala seolah-olah tidak dihiraukan pengorbanan kesetiaan mereka terhadap syarikat. Ada yang mengadu bahawa tangga gaji mereka telah menjadi maksimum dan tidak memungkinkan mereka untuk mendapat kenaikan lagi. Untuk mendapat kenaikan pangkat, jauh sekali. Ada juga yang menunggu saban tahun, menagih sebarang bonus dari keuntungan syarikat. Malah, ramai juga diberhentikan semata-mata untuk mengurangkan kos dengan mengambil pekerja baru yang bergaji lebih murah.

Kesimpulan dari ini,
  • Pekerja yang setia telah terbukti bahawa mereka mampu bersama dengan syarikat walaupun disaat-saat ekonomi syarikat tidak baik. Dalam erti kata lain, bersama dengan syarikat semasa waktu susah dan senang.
  • Pengorbanan kesetiaan bagi mencapai belasan mahupun puluhan tahun perkhidmatan amat memerlukan kesabaran. Dengan pelbagai kerenah birokrasi dalaman, penuh dengan hieraki atasan, tekanan pengeluaran dan sebagainya, mereka tetap bersabar dan terus berkhidmat. 
  • Pengorbanan mereka dibayar dengan gaji bulanan dan award. Jika pekerja bernasib baik, mereka juga mungkin mendapat bayaran bonus tahunan. 
  • Mereka terdedah secara langsung kepada pengeluaran syarikat tetapi imbuhannya hanya sekelumit dari keuntungan syarikat.
Kaum pekerja disesebuah perusahaan sebenarnya adalah merupakan pemegang saham yang terbesar. Tanpa mereka, tiada pengeluaran dan tiadalah keuntungan. Apatah lagi mereka yang terus setia berkhidmat dalam jangka masa lama. Peranan mereka ini sepatutnya majikan atau syarikat tidak memandang remeh dan hanya menganggap bahawa gaji yang mereka terima berpatutan. Kebajikan mereka perlu dijaga kerana mereka juga berperanan menjaga kebajikan syarikat dan menjaga harta syarikat. Saling hormat menghormati paling penting untuk memupuk keharmonian tempat kerja. Imbuhan atau ganjaran itu hanya solekan sahaja. Pekerja tidak mahu majikan menganggap mereka ini umpama meminta sedekah dari majikan. Majikan yang prihatin akan membuatkan pekerja terus setia berkhidmat. Jangan hanya bersikap hipokrit dalam berhadapan dengan pekerja. Dan janganlah pula bila terpaksa mengurangkan kos, pekerja ini digantikan dengan pekerja baru yang lebih murah dan tidak semestinya pekerja baru ini akan berterusan setia dengan syarikat. Akhirnya siapa yang rugi?

RESPECT AND TAKE A GOOD CARE OF LOYAL WORKERS...